Friday, November 20, 2009

38 Penumpang Nyaris Maut

38 penumpang nyaris maut

SUNGAI BESAR - Seorang ibu melalui detik mencemaskan untuk menyelamatkan bayinya berusia lima bulan apabila bas ekspres yang mereka naiki terhumban ke dalam parit setelah dirempuh dari belakang oleh sebuah treler di kilometer 59, Jalan Teluk Intan-Klang, Sungai Limau di sini, semalam. Noramila Abdullah, 23, mendakap erat anaknya, Muhammad Syahmi Shahrom, bagi mengelak tercampak setelah bas yang dalam perjalanan dari Puduraya ke Teluk Intan itu terbabas dalam parit sedalam kira-kira satu meter. Dia yang dalam perjalanan ke Sungai Besar bersama suami dan adiknya bagi menghadiri kenduri saudara mereka berkata, rempuhan itu menyebabkan semua penumpang terhumban ke hadapan. “Pada waktu kejadian, Syahmi (anak) ada bersama saya sementara suami dan adik duduk di kerusi berasingan, dalam keadaan cemas itu saya cuma terfikir untuk peluk erat-erat anak saya dengan harapan dia tidak tercampak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian. Noramila mengalami calar di tangan dan kaki sementara bayinya selamat dari sebarang kecederaan. Menurutnya, itu adalah pengalaman pertama menghadapi saat cemas setelah pertama kali bergelar ibu. “Perasaan cemas, takut semua jadi satu, yang saya fikirkan hanyalah keselamatan anak, syukurlah semua selamat,” katanya. Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang semalam, 38 penumpang bas ekspres termasuk pemandunya yang rata-rata dalam perjalanan pulang ke Sabak Bernam dan Teluk Intan, Perak terselamat. Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata, semua penumpang hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar. Bagaimanapun, menurutnya, anggota bomba dan penyelamat terpaksa dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan kelindan treler yang tersepit di bahagian tepi kenderaan. “Kelindan treler yang berusia lingkungan 19 tahun itu mengalami cedera parah sementara pemandunya mengalami kecederaan di bahagian kaki,” katanya. Noor Mushar berkata, bas berkenaan dipercayai mahu menurunkan penumpang di sebuah perhentian yang terletak kira-kira 10 meter dari tempat kejadian sebelum dirempuh sebuah treler membawa muatan habuk kelapa sawit yang dalam perjalanan dari Klang ke Pulau Pinang. Pemandu bas, P Paremasamy, 60, berkata, rempuhan secara tiba-tiba itu menyebabkan dia hilang kawalan. “Keadaan dalam bas menjadi cemas, masing-masing menjerit, saya terpaksa memecah cermin hadapan bas untuk keluar sebelum mengarahkan semua penumpang keluar melalui pintu kecemasan,” katanya. Seramai 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar dan Sekinchan dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 3.19 petang.

No comments:

Post a Comment