Saturday, November 14, 2009

Kereta dihempap lori, pemandu maut

RAUB – Pasukan Bomba dan Penyelamat Raub bersama polis serta pasukan paramedik Hospital Raub terpaksa mengambil masa selama tiga jam untuk mengeluarkan mayat pemandu kereta jenis Honda yang tersepit selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori yang sarat dengan muatan balak, di sini semalam. Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kemalangan yang berlaku jam 6.15 pagi itu berlaku di Kilometer 358, Jalan Kuala Lumpur–Kota Bharu, kira-kira lima kilometer dari Bandar Raub. Menurut beliau, pemandu kereta terbabit, Muhammad Faisal Noordin, 31, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Fraser untuk mengikuti kursus, sebelum bertembung dengan lori balak dari Benta, Lipis itu. “Tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan lain di laluan garisan berkembar, tetapi bertembung dengan lori balak dipandu Mohamad Rosly Mohd, 31, berasal dari Kuala Krai, Kelantan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Kejadian mengakibatkan kedua-dua kenderaan berkenaan terbabas ke kiri jalan dan menjunam ke gaung sedalam kira-kira tiga meter, menyebabkan kereta yang dipandu mangsa dihempap lori berkenaan. Wan Mohd Samsudin berkata, Muhammad Faisal mati di tempat kejadian akibat tersepit, sementara pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan. “Kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa mengambil masa lebih tiga jam, bermula dengan mengalih muatan balak terlebih dahulu. “Bahagian belakang lori balak dialihkan sebelum kereta yang remuk teruk diangkat ke atas jalan menggunakan kren,” katanya. Beliau berkata, pasukan bomba menggunakan Hydraulic Power Cutter untuk memotong bahagian kereta mangsa, sebelum berjaya mengeluarkan mayat dan dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat. Menurutnya, mangsa yang berasal dari Pulau Pinang dipercayai bertugas sebagai Pegawai Perpustakaan Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Lipis. “Keluarga mangsa sudah pun dimaklumkan untuk menuntut mayat mangsa di Hospital Raub, manakala kita menahan sementara pemandu lori balak terbabit bagi membantu siasatan. “Terima kasih diucapkan kepada semua terlibat atas kerjasama diberikan termasuk pengguna jalan raya yang sabar menghadapi kesesakan hampir tiga jam di lokasi kejadian,” katanya.

No comments:

Post a Comment