Tuesday, November 3, 2009

Tragedi Kuala Dipang bukti ketepi budaya keselamatan

Tragedi Kuala Dipang bukti ketepi budaya keselamatan
BHARIAN / 2.11.09
TRAGEDI yang berlaku baru-baru ini di tapak perkhemahan pelajar di Kuala Dipang, Kampar, Perak dengan tiga pelajar terkorban apabila jambatan gantung yang baru siap dibina, runtuh ketika pelajar sedang menyeberanginya, sekali lagi menunjukkan kepada kita betapa kurangnya perhatian diberikan kepada aspek keselamatan. Ini juga menunjukkan bahawa kita masih tidak dapat menghayati keselamatan sebagai budaya dan cara hidup kita. Pelbagai persoalan timbul berikutan tragedi itu antaranya: Adakah jambatan gantung berkenaan dibina dengan betul dan selamat?;
Adakah kemudahan di tapak perkhemahan ini sudah diperiksa bagi memastikan ia selamat untuk digunakan?; dan Di kalangan guru yang menyelia pelajar terbabit, adakah di antara mereka yang mempunyai pengetahuan mengenai aspek keselamatan pelajar? Sebagai seorang yang komited kepada keselamatan dan kesihatan, saya amat berduka cita dengan tragedi yang tidak sepatutnya berlaku jika aspek keselamatan di tapak perkhemahan dijadikan sebagai keutamaan.
Adalah suatu yang merugikan bahawa objektif mulia Kementerian Pelajaran dalam projek yang dirancang untuk memupuk pelajar supaya bergaul dan berinteraksi di antara satu sama lain di kalangan pelbagai kaum dalam mencapai perpaduan, dirosakkan oleh suatu tragedi yang tidak sepatutnya berlaku.
Pengajaran yang boleh diambil dari tragedi ini dan tragedi yang lalu adalah kita tidak boleh dan tidak sepatutnya mengambil mudah aspek keselamatan tidak kira di mana kita berada.
TAN SRI LEE LAM THYE,
Pengerusi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh).

No comments:

Post a Comment