Tuesday, November 10, 2009

Pelajar Terjun Bangunan Sekolah

Pelajar tak hadir perhimpunan terjun bangunan sekolah

KANGAR: Gara-gara takut dikenakan tindakan disiplin kerana tidak menghadiri perhimpunan mingguan, seorang pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Perlis (SMPs) parah selepas bertindak nekad terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah terbabit, pagi semalam. Pelajar tingkatan empat bersama seorang lagi rakan terjun pada ketinggian kira-kira 12 meter apabila menyedari kehadiran guru disiplin yang membuat pemeriksaan, kira-kira jam 8 pagi semalam. Bagaimanapun, rakannya tidak cedera kerana badannya kurus dan menghilangkan diri manakala pelajar terbabit yang berbadan gempal dan juga anak ahli perniagaan di sini, patah kaki kiri serta berdarah di hidung. Sumber berkata, abang pelajar yang juga ketua pengawas sekolah berkenaan bergegas ke tempat kejadian serta memangku dan menenangkan adiknya yang dalam keadaan separuh sedar sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini. Katanya, ketika kejadian, semua pelajar yang berhimpun sempena minggu terakhir persekolahan di dataran bersebelahan bangunan terbabit berkejar ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan kejadian itu. “Pelajar terbabit tertiarap di atas rumput dalam separuh sedar sebelum dipangku abangnya. Selain patah kaki kiri, dia dipercayai mengalami kecederaan dalaman memandangkan pendarahan di hidung. “Ibu pelajar terbabit yang dimaklumkan kejadian itu bergegas ke sekolah sebelum menemani anaknya menerima rawatan di HTF,” katanya ketika ditemui di sini. Sumber itu berkata, kejadian seumpama itu yang kedua di SMPs selepas seorang pelajar perempuan terjun di bangunan sama apabila gagal mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan dua tahun lalu. “Sudah dua kes pelajar terjun dari bangunan baru sekolah sejak kebelakangan akhir ini dan pihak pentadbiran sekolah perlu memikirkan sesuatu untuk mengatasinya supaya kejadian ini tidak berulang,” katanya. Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa, berkata pelajar berusia 16 tahun itu gagal menghadiri perhimpunan mingguan sekolah sebelum perbuatannya bersama seorang pelajar lain dikesan seorang guru. Katanya, pelajar terbabit ditemui terbaring dalam keadaan parah bersebelahan bangunan berkenaan selepas terjatuh pada ketinggian hampir 12 meter manakala rakannya gagal dikesan. “Ketika dihampiri guru berkenaan, kedua-dua pelajar terbabit terus melompat dari koridor bangunan, sebelum seorang daripadanya ditemui terbaring dalam keadaan parah. “Mangsa ditemui dalam keadaan patah paha kiri, selain mengalami pendarahan pada hidung oleh beberapa pelajar, sejurus selepas terjatuh. Dia dihantar ke HTF untuk rawatan lanjut,” katanya. Ismail berkata, maklumat diterima mengesahkan mangsa terjun daripada bangunan untuk mengelak tindakannya ponteng dikesan pihak sekolah. Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan menyiasat motif mangsa melompat pada ketinggian itu termasuk kemungkinan ada unsur lain dalam kes terbabit.

No comments:

Post a Comment