Wednesday, March 31, 2010

Keselamatan Rumah Pangsa

Koma bantu ibu sidai pakaian
Gambar Hiasan
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
KUALA LUMPUR: Niat murni seorang remaja perempuan membantu ibunya menyidai pakaian bertukar tragedi apabila dia koma selepas terjatuh dari tingkat lima rumahnya, di Flet Lembah Jaya, Ampang di sini, semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, remaja berkenaan dikatakan tergelincir ketika memanjat tingkap untuk menyidai pakaian sebelum terjatuh. Remaja belasan tahun itu dikatakan terjatuh ke kawasan belakang flet berkenaan sebelum disedari ibunya. Ibu mangsa berusia awal 30-an bergegas turun sebelum menghubungi ambulans dan membawanya ke Hospital Ampang (HA) di sini untuk rawatan kecemasan. Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata remaja terbabit dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dari tingkat lima rumahnya. “Keadaan remaja terbabit dilaporkan kritikal. Berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak hospital, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi, semalam. Menurutnya, ketika kejadian, remaja malang itu dikatakan sedang membantu ibunya menyidai pakaian sebelum tergelincir. “Ibunya yang menyedari kejadian berkenaan bergegas mendapatkan anaknya itu sebelum menghubungi pihak hospital. “Sebuah ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum membawa remaja terbabit ke HA untuk rawatan kecemasan,” katanya. “Saya juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Certificate Of SHO-Part Time

SHO Extra

Tuesday, March 30, 2010

Mati tertimbus

Mati tertimbus simen
Oleh Zaid Salim dan Khairul Hamizy Ramlee
KUALA TERENGGANU: Keasyikan lima warga Bangladesh menjalankan kerja lebih masa di tapak pembinaan sebuah bangunan dalam kawasan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut ditimbus simen lantai konkrit yang runtuh kira-kira jam 5 petang, semalam.Lantai simen yang runtuh daripada tingkat empat bangunan berkenaan turut menyebabkan empat rakan mangsa parah. Kejadian itu dikatakan berlaku selepas besi sokongan lantai tapak projek bangunan Institut Oceanografi dan Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak runtuh dipercayai akibat dirempuh kabel kren pengangkut simen berhampiran tempat kejadian. Mangsa berusia 55 tahun yang terperangkap dalam cecair simen serta timbunan besi sokongan berkenaan mati di tempat kejadian dan dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat kira-kira jam 6 petang.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia secara kebetulan berada di tingkat berkenaan bersama pekerja terbabit dan bernasib baik apabila beredar lebih awal daripada tempat kejadian. “Saya memang bernasib baik kerana beredar awal dari kawasan itu, jika tidak mungkin saya senasib dengan mereka,” katanya yang baru tiga bulan bekerja di tapak projek berkenaan. Menurutnya, sebelum kejadian kelima-lima pekerja terbabit sedang menjalankan kerja pembinaan lantai di tingkat empat bangunan berkenaan dan secara tiba-tiba besi sokongan lantai berkenaan runtuh menyebabkan semuanya jatuh dari bangunan setinggi kira-kira 15 meter itu. “Saya tidak pasti bagaimana besi sokongan berkenaan boleh runtuh dan terkejut dengan kejadian itu, saya segera menghubungi bomba,” katanya. Katanya, empat pekerja warga asing yang parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan. Dia berkata, kejadian itu menyebabkan pekerja terbabit tertimbus dalam cecair simen dan besi sokongan berkenaan. Rakannya yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Mamat, 38, berkata dia terkejut selepas terdengar bunyi kuat ketika baru menghabiskan kerja dan bersiap untuk pulang ke rumahnya kira-kira satu kilometer dari tapak pembinaan itu. “Selepas terdengar gegaran kuat akibat runtuhan itu, saya terkejut dan terus membayangkan nasib pekerja Bangladesh yang bekerja lebih masa di tingkat berkenaan,” katanya yang masih trauma dengan tragedi itu. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohamad Pauzan Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan jam 5.25 petang dan bergegas ke tempat kejadian. Katanya, sebaik tiba, pihaknya segera menjalankan kerja menyelamat dengan mengeluarkan mangsa yang terperangkap. "Setakat ini hanya seorang pekerja warga Bangladesh berusia 55 tahun disahkan mati manakala empat lagi parah dan dikejarkan ke hospital,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Beliau berkata, siasatan awal mendapati, runtuhan berkenaan dipercayai berpunca daripada runtuhan besi sokongan dan bukan membabitkan struktur pembinaan bangunan berkenaan. Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi mencari punca sebenar kejadian dan memastikan sama ada masih ada pekerja atau orang awam terperangkap dalam tragedi itu. Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, yang melawat tempat kejadian menyifatkan kejadian itu bukan berpunca daripada struktur bangunan tetapi disebabkan kecuaian pekerja.

Dirempuh Ketika Isi Minyak

Dirempuh ketika isi minyak

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Malang buat seorang lelaki yang sedang mengisi minyak keretanya apabila maut selepas dilanggar sebuah kereta yang terbabas akibat kemalangan di stesen minyak di Jalan Cheras, Taman Midah di sini.Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin itu, mangsa Mohd Yusri Abdul Wahab, 32, yang parah di keseluruhan kepala dan badannya dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sebelum disahkan meninggal dunia jam 2.15 pagi semalam. Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning, berkata lelaki itu mengisi minyak dilanggar sebuah kereta Hyundai Getz. “Ketika itu mangsa baru sampai ke stesen minyak itu sebelum keluar daripada Proton Iswaranya. “Siasatan awal mendapati Hyundai Getz itu dipandu seorang perempuan berusia 23 tahun. Kenderaan itu terbabas selepas terbabit satu lagi kemalangan dengan sebuah kereta di jalan raya berhampiran stesen minyak itu. “Namun, pemandu wanita itu hanya cedera ringan” katanya di sini, semalam.

Monday, March 29, 2010

Perketat Polisi kemasukan

Perketat polisi kemasukan

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Polisi kemasukan pelancong asing ke negara ini perlu diperketatkan bagi membendung kegiatan pemerdagangan manusia yang menjadikan Malaysia sebagai transit untuk ke negara ketiga dapat ditangani.Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata prosedur seperti pengeluaran visa perlu diteliti dan diperinci bagi memastikan dokumen kemasukan itu tidak disalahgunakan pelancong asing untuk melakukan jenayah. “Perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak kerajaan. Bukan semua pelancong datang ke negara ini untuk melancong. Ada yang mempunyai niat tidak baik tidak menggunakan visa yang diberikan untuk kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat dua hala antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Persekutuan Polis Australia (AFP), semalam. Menurutnya, usaha lebih tegas perlu dalam membendung kegiatan jenayah yang kini merentasi sempadan terutama membabitkan penyeludupan dan pemerdagangan manusia yang didalangi sindiket antarabangsa. “Proses saringan di semua pintu masuk negara juga perlu diperketatkan kerana ada di antara warga asing yang memasuki negara ini menggunakan pasport palsu sebelum ke negara ketiga. “Jaringan kerjasama dengan negara-negara luar seperti AFP juga perlu bagi membendung kegiatan pemerdagangan manusia, keganasan global dan pengedaran dadah,” katanya. Katanya, hubungan kerjasama antara PDRM dan AFP telah terjalin sejak 1970 membabitkan perkongsian maklumat dan kepakaran, risikan, latihan bersama serta bantuan peralatan dan teknikal.

Wira Muda

Abang jadi ‘Superman'
Gambar Hiasan
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
IPOH: Remaja lelaki berusia 13 tahun bagaikan Superman mengharungi api yang marak untuk menyelamatkan empat adiknya berusia antara tiga hingga 11 tahun selepas kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran, di Rapat Setia, kira-kira 4 pagi semalam. Selepas dikejutkan ibu, remaja berkenaan bergegas mengejutkan semua adiknya sebelum mengumpulkan mereka di dapur rumah selepas sebuah bilik serta ruang tamu rumah marak dijilat api. Tanpa memikirkan keselamatan diri, dia mendukung adik bongsunya berusia enam dan tiga tahun serta mengheret dua lagi adiknya berusia sembilan dan 11 tahun keluar melalui pintu depan rumah biarpun terpaksa berdepan kesukaran kerana api marak dan asap tebal. Dalam kejadian itu, sebuah rumah yang didiami sepasang suami isteri bersama lima anak mereka musnah dijilat api selain memusnahkan sebuah kereta, lori dan motosikal milik keluarga berkenaan. Remaja terbabit, Mohd Azraey Normansor, berkata sebaik dikejutkan ibunya, dia segera bangun dan mengejutkan adiknya yang tidur dalam sebuah bilik manakala ibunya, Norlina Mat Lias, 34, cuba menyelamatkan beberapa dokumen. “Saya bernasib baik kerana tidak cedera. Kebakaran berlaku sangat pantas dan saya bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya, semalam.
Sementara itu, Norlina berkata, dia nekad membawa keluar sebuah kenderaan pacuan empat roda miliknya bagi mengelak dari terbakar namun gagal mengalihkan sebuah lagi kenderaan.
Suaminya, Normansor Mat Jini, 50, yang juga pengusaha kilang memproses ayam, berkata dia keluar bekerja kira-kira jam 3 pagi. “Isteri hubungi saya. Sebaik tiba kira-kira jam 5 pagi, rumah berkenaan sudah musnah terbakar namun saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak selamat,” katanya. Sementara itu, Pegawai Kanan II, Bomba dan Penyelamat Balai Ipoh, Mahir Saad berkata, pihaknya dengan tiga jentera serta 16 anggota tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit selepas dihubungi kira-kira 4.15 pagi dan dapat memadamkan kebakaran lima minit kemudian. Katanya, sebaik pasukannya tiba, rumah setingkat itu sudah 90 peratus terbakar, namun usaha memadam kebakaran terus dilakukan.

Sunday, March 28, 2010

Peraturan Tarik Kereta

Peraturan bank tarik kereta lebih ketat

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Sewa Beli 1967 yang akan dibuat bakal menyaksikan institusi kewangan dan perbankan perlu mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dulu sebelum bertindak menarik kenderaan pengguna yang gagal menjelaskan ansuran bulanan mereka. Pindaan itu dibuat bagi melindungi pengguna terutama apabila berhadapan dengan penarik kereta yang bertindak ganas dan sewenang-wenang menarik kenderaan mereka, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.“Isu tukang tarik kereta yang bertindak ganas dan tidak mengikut undang-undang menyebabkan pengguna berada dalam ketakutan apabila berhadapan dengan mereka dan tindakan mereka ini pula dibenarkan oleh pihak institusi kewangan. “Jadi kita akan pinda akta ini, bagi memperkenalkan peraturan yang lebih ketat dan tarik kereta hanya boleh dilakukan selepas mendapat kebenaran mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat ‘Bulan Agensi Kerajaan’, Bahagian Wangsa Maju, di sini semalam. Beliau berkata, bagaimanapun kebenaran mahkamah itu mungkin hanya diberi kepada pengguna atau peminjam yang sudah menjelaskan lebih dari satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pinjaman yang dibuat. “Kalau kurang dari satu per tiga, orang ini mungkin memang tidak berminat atau memang ada niat untuk tidak membayar, jadi kita tidak akan melindungi orang macam ini,” katanya.

Kereta Dipecah

Pecah kereta kebas beg

Gambar Hiasan

BESUT: Kecuaian seorang wanita meninggalkan beg tangan di bawah tempat duduk penumpang untuk ke kedai makan membawa padah apabila kesempatan itu digunakan seorang perompak memecahkan cermin kereta mangsa sebelum melarikan barangan berkenaan, malam kelmarin.Difahamkan, mangsa berusia 38 tahun berasal dari bandar Jertih, memberhentikan kereta di tepi jalan beberapa meter dari kedai makan di bandar berkenaan sebelum menyelitkan beg tangannya di bawah kerusi tempat duduk hadapan keretanya. Mangsa yang tidak menyedari perbuatannya itu diperhatikan, terus meninggalkan keretanya sebelum memasuki kedai makan itu untuk menikmati makan malam bersama beberapa rakan kira-kira jam 8.45 malam. Kira-kira 15 minit kemudian, mangsa keluar menuju ke keretanya terkejut apabila mendapati cermin sisi keretanya dipecahkan dan beg tangannya lesap. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata mangsa terus ke Balai Polis Jertih dan membuat laporan berhubung kejadian kira-kira jam 9.15 malam hari sama. Beliau berkata, dalam laporannya, mangsa kehilangan semua dokumen penting seperti lesen memandu dan kad pengenalan yang tersimpan dalam beg tangan berkenaan. "Dua utas rantai tangan dan satu gelang emas bernilai RM3,000 bersama wang tunai RM600 dalam beg tangan turut dilaporkan hilang,” katanya.

Saturday, March 27, 2010

Maut DiTetak

Duda maut ditetak
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Nor Azimah Othman
PORT DICKSON: Seorang ahli perniagaan maut dalam keadaan ngeri dengan beberapa kesan tetakan di paha manakala teman sebiliknya parah dipercayai diserang di sebuah chalet, awal pagi semalam.Ramli yang juga seorang duda beranak dua mati dipercayai kerana kehilangan banyak darah akibat beberapa tetakan di bahagian kiri dan kanan paha serta kaki dan mayatnya ditemui di atas katil. Kejadian itu disedari selepas wanita berkenaan menghubungi pihak chalet berkenaan memaklumkan kejadian berkenaan jam 6 pagi sebelum pengawal keselamatan bergegas ke tempat kejadian. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata wanita yang cedera di tangan, paha dan kaki kanan itu sempat membuka pintu bagi membolehkan pengawal keselamatan masuk ke dalam bilik berkenaan sebelum dia rebah. “Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menemui kesan pecah masuk pada bahagian depan dan belakang chelet disewa mangsa,” katanya. Beliau berkata, polis percaya hanya seorang penyerang yang terbabit dalam kejadian itu dan siasatan lanjut mengenai motif sebenar kes itu masih diteruskan.
Menurutnya, polis tidak menemui sebarang senjata namun percaya kedua-dua mangsa ditetak menggunakan parang. “Polis juga tidak menolak kemungkinan penyerang mangsa datang melalui jalan laut. Kita juga sedang menjalankan pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (cctv) di kawasan chelet berkenaan untuk membantu siasatan. “Berdasarkan kepada penemuan beberapa barang berharga di tempat kejadian, polis menolak kemungkinan pembunuhan itu bermotifkan samun,” katanya. Difahamkan, ahli perniagaan itu mendaftar masuk menginap di chalet berkenaan jam 3 petang kelmarin. Sepasukan polis dari Unit Forensik dan Anjing Pengesan (K9) turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu kerja-kerja penyiasatan. Mayat mangsa yang beralamat di Shah Alam, Selangor dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk dikebumikan. Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati. Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999 atau balai polis berhampiran.

Kereta Tersangkut

Kereta dipandu wanita tersangkut
Oleh Mohd Amin Jalil
SEREMBAN: Seorang wanita berdepan saat cemas apabila kereta Proton Waja yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Taman Cempaka Senawang, pagi semalam.

TERSANGKUT...kereta dipandu seorang wanita yang gagal dikawal ketika mengundur tersangkut pada tiang elektrik di Taman Cempaka Senawang semalam.

Seorang saksi, Soupi Ahmad, 40-an, berkata ketika mengundurkan kereta itu dia tidak menyedari kenderaan itu sudah menghampiri kawasan tiang elektrik di tepi jalan itu.Menurutnya, sebaik menghampiri tiang elektrik itu, mangsa dikatakan tidak dapat mengawal kenderaan dan tertekan minyak menyebabkan kereta itu tersangkut pada wayar sokongan tiang letrik. “Bahagian belakang kereta itu kemudiannya tersangkut pada tiang letrik terbabit, bagaimanapun wanita berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.“Saya dan beberapa orang penduduk setempat kemudian membantu wanita itu keluar daripada berkenaan,” katanya.

Friday, March 26, 2010

Maut Terkejut Dalam Lombong

Maut terkejut dalam lombong
Gambar Hiasan
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
BATU GAJAH: Terkejut dan sedih selepas mengetahui ibu mentuanya tiada harapan untuk sembuh akibat serangan strok dipercayai menjadi punca seorang menantu lelaki panik sehingga motosikal dinaikinya gagal dikawal sebelum terbabas dan tercampak ke sebuah lombong tinggal kira-kira 50 meter dari tempat kerjanya.M Muniandy, 45, dari Desa Changkat, di sini, yang turut menghidap darah tinggi ditemui lemas telepas tercampak di lombong tinggal di Jalan Changkat Larang berhampiran Kawasan Perindustrian Batu Gajah 2, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam. Isteri mangsa, U Poongothai, 40, berkata pada jam 9 pagi, dia bersama suami melawat ibunya, S Seenama, 56, di Hospital Batu Gajah (HBG). Katanya, beberapa minit kemudian, suaminya meninggalkannya di hospital dan menuju ke tempat kerjanya menaiki motosikal. “Dia baru sebulan lebih bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang konkrit di kawasan perindustrian itu dan sepatutnya memulakan tugas pada jam 11 pagi tadi (semalam),” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad, berkata ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya sebelum motosikal dinaiki tiba-tiba terbabas dan tercampak di lombong tinggal berkenaan. Katanya, mayat Muniandy ditemui tertiarap di dasar lombong sedalam kira-kira 11 meter empat jam selepas kejadian dan dipercayai tersangkut di bawah pokok. “Mangsa yang dipercayai menghidap penyakit darah tinggi dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke tepi lombong sebelum terhumban dengan motosikalnya. “Dia yang dikatakan tidak pandai berenang gagal menyelamatkan diri dan tenggelam ke dalam lombong, sebelum ditemui kira-kira jam 1.50 tengah hari,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. Najib berkata, mayat mangsa ditemui dua penyelam Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh yang memulakan pencarian kira-kira jam 11.30 pagi sebelum menemui mangsa dua jam kemudian. Sementara itu, Eksekutif Worldwide Society Services Sdn Bhd, Ahmad Suhaimi Abdul Karim yang juga majikan mangsa berkata, dia mendapat tahu berita kemalangan itu selepas dimaklumkan pekerja kontrak kilang berkenaan yang ternampak motosikal dinaiki Muniandy terbabas sebelum tercampak ke dalam lombong. Katanya, Muniandy meminta izin daripadanya kelmarin untuk melawat ibu mentuanya di hospital.

Kenderaan Dihempap Pokok

16 kenderaan dihempap pokok
KUALA LUMPUR: Hujan lebat serta ribut petir kira-kira jam 5 petang semalam mengakibatkan 16 kenderaan yang diletakkan di tempat meletak kereta awam di dua kejadian berasingan di ibu kota, rosak dihempap pokok, petang semalam.
POTONG...kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memotong pokok yang menghempap kenderaan selepas hujan ribut di Jalan Raja Chulan, semalam.
Selain itu, beberapa jalan utama sesak akibat dihalang rimbunan pohon tumbang yang menghalang lalu lintas selain keadaan menjadi lebih buruk apabila kebanyakan warga kota keluar pejabat.Bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam dua kejadian berkenaan. Di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini, lapan kereta remuk hampir 80 peratus selepas semua kenderaan di tempat meletak kereta awam itu dihempap beberapa pokok dalam tiga kejadian di situ. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.30 petang dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian. Menurutnya, sebuah jentera dengan lapan anggota dan pegawai dikejarkan ke tempat kejadian.“Terdapat tiga tempat berasingan di Seksyen 1, Wangsa Maju yang membabitkan lapan kenderaan dalam kejadian pokok tumbang ini. “Kami sudah melakukan kerja pembersihan, memotong serta mengalihkan pokok daripada kenderaan yang dihempap,” katanya di sini, semalam. Beliau berkata, tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Thursday, March 25, 2010

Meletup 5 Kali

Sangka gimik
Oleh Mohamad Hussin
SINTOK: “Saya nampak lampu kecemasan menyala dan menyangka ia sebahagian daripada gimik persembahan formasi. “Selepas itu, saya nampak pesawat terbabit menjunam sebelum meletup lima kali,” kata Muhammad Fairuz Mohd Mokhtar, 22, saksi kejadian pesawat Pilatus PC-7 Mark II terhempas di kawasan hutan simpan Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, semalam. Muhammad Fairuz yang menuntut di UUM berkata, ketika kejadian dia berkumpul bersama rakan menyaksikan majlis perasmian Karnival Konvokesyen ke-23 di Stadium Pusat Sukan universiti berkenaan. Difahamkan, karnival berkenaan yang dirasmikan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat dan dihadiri Naib Canselor UUM, Tan Sri Nordin Kardi, gempar berikutan letupan kuat diikuti asap hitam keluar dari kawasan hutan tempat pesawat itu terhempas. Suasana majlis perasmian itu menjadi gamat apabila kira-kira 1,500 hadirin, terutama penuntut menjerit kerana terkejut. Muhammad Fairuz berkata, pada mulanya dia menganggap itu gimik persembahan, tetapi apabila melihat pesawat itu menjunam dia terkejut. Selepas itu, kedengaran letupan kuat dua kali diikuti asap tebal di kawasan hutan berkenaan. “Selepas 15 minit kejadian, saya dengar tiga lagi letupan kecil dan bergegas ke tempat kejadian di hutan berkenaan,” katanya yang ditemui di tempat kejadian di sini, semalam. Dalam nahas itu, pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Kolej Tentera Udara (KTU) di sini, terhempas di kawasan hutan simpanan UUM, jam 10.15 pagi semalam. Juruterbangnya, Mejar Muhammed Zulrihan Jusof, 39, yang juga jurulatih di Kolej Penerbangan TUDM Alor Star di sini, meninggal dunia di tempat kejadian. Jenazah Mejar Muhammed Zulrihan ditemui pasukan mencari dan menyelamat TUDM berdekatan pesawat yang terhempas dan dibawa keluar dari hutan menggunakan helikopter S61A-4 Nuri untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star. Mangsa yang menetap di Taman Desa Bukit Tinggi Kepala Batas, berasal dari Kampung Pasir Kasar Sering, Kota Bharu, Kelantan, meninggalkan seorang balu, Wizana Abdul Ghani dan tiga anak. Muhammad Fairuz yang mengambil jurusan kaunseling di universiti itu berkata, orang ramai dan penuntut yang menyaksikan persembahan pancaragam terkejut serta tergamam melihat pesawat yang membuat persembahan ketika itu tiba-tiba terhempas di hutan simpan berkenaan. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Zakaria Ahmad, berkata mayat mangsa ditemui kira-kira 15 meter dari pesawat dan dipercayai sempat melonjak keluar menggunakan kerusi anjal. “Kami percaya berdasarkan kedudukan dan kesan di kawasan nahas, mangsa berusaha keluar dari pesawatnya ketika menjunam. “Mayat juruterbang dikeluarkan dari tempat kejadian menggunakan helikopter TUDM sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sisa Buangan Berselerak

3 bulan sisa bangunan berselerak
Gambar Hiasan
Oleh Petah Wazzan Iskandar

GEORGETOWN: Segelintir pemilik premis di bandar ini didapati membiarkan sisa runtuhan rumah atau bangunan milik mereka yang dirobohkan sehingga membahayakan penduduk setempat serta mencacatkan pemandangan sekitar. Mereka didapati tidak membersihkan tapak premis apabila kerja merobohkan selesai, sebaliknya membiarkannya sehingga berbulan-bulan. Keadaan itu boleh dilihat di Jalan Nordin, Tanjung Tokong dan Sungai Pinang. Kebanyakan tapak rumah atau bangunan itu dipenuhi serpihan batu-bata daripada runtuhan dan semak-samun yang memenuhi ruang hingga menjadi tempat pembiakan nyamuk serta tikus. Malah, jika hujan lebat untuk tempoh yang lama, ia sudah pasti membawa banjir kilat kerana longkang tersumbat dengan serpihan runtuhan. Masalah ini turut dihadapi di tiga tapak yang pernah menempatkan kedai makan dan asrama berhampiran Balai Bomba Dan Penyelamat Jalan Perak. Lebih teruk lagi, ia mempunyai struktur reput, serpihan kayu tajam, paku berkarat yang bersepah hingga boleh membahayakan kanak-kanak yang merasakan kawasan itu boleh dijadikan taman bermain. Ia juga boleh menjadi tempat persembunyian penagih dadah kerana masih ada struktur bangunan yang menghalang pandangan awam dan tapak terbabit tidak berpagar. Walaupun premis itu sudah berbulan-bulan terbiar, namun tiada tindakan dilakukan pihak berkuasa khususnya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk tindakan selanjutnya. Sehubungan itu, MPPP perlu melaksanakan pendekatan terbaik untuk memastikan premis berkenaan dibersihkan dan tidak mendatangkan kemudaratan penduduk sekitar. Ketua Pasukan Tindakan Khas Parti Cinta Malaysia (PCM), Tham Weng Fatt, berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk yang risau dengan keadaan yang tidak ada penyelesaian dari MPPP sejak tiga bulan lalu. Katanya, pihaknya sedia maklum bahawa ia adalah tanggungjawab tuan tanah tetapi MPPP sebagai pihak berkuasa tempatan perlu memastikan kehidupan masyarakat tidak terjejas. "Daripada pemerhatian, banyak lagi kawasan sekitar bandar ini mengalami masalah sama dan ini menunjukkan MPPP tidak prihatin keselesaan penduduk. "Ia merbahaya untuk kanak-kanak kerana tapak berkenaan tidak dipagar dan boleh mendatangkan kecederaan kepada mereka yang bermain di situ," katanya ketika melawat tapak terbiar itu.

Tuesday, March 23, 2010

Tayar Lori Meletup

Kelindan maut tayar lori letup
Gambar Hiasan
BAHAU: Seorang kelindan sebuah lori maut selepas kenderaan yang dinaikinya terbabas lalu melanggar tebing dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Bahau-Keratong, dekat sini, Kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai M Thirukumaran, 27, berasal dari Setapak, Kuala Lumpur maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala manakala, pemandu lori berkenaan, M Prakash, 27, parah.
Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan, kejadian itu dipercayai berlaku apabila tayar bahagian depan sebelah kiri lori dipandu Prakash meletup menyebabkan ia hilang kawalan.
Menurutnya, lori yang membawa muatan kelapa sawit itu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tebing.

Anak Tercampak

Cemas empat anak tercampak
Oleh Khairul Hamizy Ramlee
KUALA TERENGGANU: “Sukar untuk saya bayangkan apabila melihat empat anak tercampak ke tengah jalan menerusi tingkap kereta manakala suami, Muhammad Razali Manan, 46, pula berlumuran darah di tempat pemandu. “Saya bergegas keluar dari kenderaan yang remuk dan mengheret mereka ke bahu jalan,” kata Latifah Majid, 39, menceritakan detik cemas kemalangan yang menimpa suami dan enam anaknya di Kampung Kelulut, Marang, Selasa lalu.
Kejadian kira-kira jam 7 malam itu berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan ke Kuantan dan singgah di Kampung Kelulut, Marang untuk membeli keropok lekor sebelum Proton Wira dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda dari belakang ketika membuat pusingan ‘U’. Ibu kepada enam anak yang tidak cedera dalam kemalangan itu ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkata dia tidak menduga percutian ke rumah ibunya di Kampung Badak, Bachok, Kelantan berakhir tragedi. Menurutnya, suaminya menerima lebih 200 jahitan dan doktor terpaksa menjalankan pembedahan plastik di muka manakala bahu dua anaknya patah serta luka di beberapa bahagian badan. Katanya, dua anaknya iaitu, Nur Farisa Nadia, 18, dan Muhammad Iqbar, 12, serta suami, kini masih dirawat di HSNZ manakala empat lagi anaknya dirawat sebagai pesakit luar. “Ketika melalui jalan berkenaan untuk pulang ke rumah di Sungai Isap, Kuantan, anak memberitahu mereka mahu makan keropok dan suami singgah di Kelulut untuk memenuhi permintaan mereka. “Selepas beberapa minit singgah di kedai keropok terbabit, kami menaiki kereta dan suami membuat pusingan ‘U’ untuk ke Kuantan dan tidak menyedari kehadiran kenderaan lain dari arah belakang sebelum merempuh Proton Wira dinaikinya,” kata isteri kepada peniaga ikan terbabit. Latifah memberitahu ketika kemalangan dia duduk bersebelahan suaminya dan kejadian itu berlaku dengan pantas serta tidak sempat memberi bantuan kepada pasangannya yang parah di muka itu kerana ingin menyelamatkan empat anaknya yang tercampak di tengah jalan. Katanya, dia bersyukur ketika anaknya tercampak tiada kenderaan lain melalui jalan terbabit dan keadaan itu membolehkannya mengalihkan seorang demi seorang anaknya ke bahu jalan sebelum dibantu orang ramai. “Ambulans tiba selepas beberapa minit dihubungi, semua anak dibawa ke HSNZ untuk rawatan manakala suami yang luka serius di muka dan mengalami pendarahan ditempatkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke wad pembedahan lelaki selepas menerima lebih 200 jahitan,” katanya. Dia berkata, dua anaknya yang parah kini di bawah pemerhatian doktor kerana kecederaan sama. “Walaupun kenderaan kami remuk akibat dirempuh, saya bersyukur kerana tiada seorang pun ahli keluarga kehilangan nyawa dan saya percaya ada hikmah di sebalik tragedi ini,” katanya. Sementara itu, jurucakap Polis Bahagian Trafik Balai Polis Daerah Marang, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil memberikan keterangan.

Sunday, March 21, 2010

DiTelan Ombak

Guru ditelan ombak
Gambar Hiasan
Oleh Ahmad Othman
KOTA TINGGI: Kegembiraan lima sekawan membabitkan guru dan bekas pelajar dari Johor Bahru menghabiskan cuti hujung minggu bermandi- manda di pantai Desaru, di sini, bertukar tragedi apabila salah seorang mereka ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang, petang kelmarin. Mayat Zahari Ibrahim, 29, seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selesa Jaya 1, Johor Bahru, dekat sini sejak lima tahun lalu ditemui manakala Mohd Ramzi Mohamed Jasmin, 18, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang juga bekas murid sekolah sama, masih hilang. Seorang rakan mangsa, Syed Ahmad Syed Sahardin, 23, berkata mereka ke pantai peranginan itu menaiki dua kereta berasingan dari Johor Bahru. “Walaupun ketika itu hujan renyai dan ombak agak kuat, kami tetap menukar pakaian dan berenang sebaik tiba di pantai itu pada kira-kira jam 12 tengah hari semalam. “Selepas dua jam berenang, saya bersama dua rakan lain naik ke darat dan bersiap-siap pulang tetapi Allahyarham Zahari dan Mohd Ramzi enggan naik kerana belum puas berenang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kota TInggi (HKT), semalam. Menurutnya, melihat dua rakannya masih ingin berenang dia bersama dua rakan lain mengambil keputusan bersiar-siar di pantai berhampiran resort di situ, sebelum kembali setengah jam kemudian. Katanya, sebaik tiba di lokasi dia melihat Allahyarham Zahari terkapai-kapai meminta tolong manakala Mohd Ramzi tidak kelihatan. “Melihat rakan dalam cemas, saya berlari mendapatkan pertolongan daripada orang ramai dan petugas penyelamat pantai yang berada tidak jauh dari situ,” katanya.Sementara itu, Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian lemas di pantai awam Desaru pada kira-kira jam 3 petang. Sebaik menerima panggilan kecemasan, katanya, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan membabitkan pasukan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar. “Mayat Zahari ditemui kira-kira jam 3.30 petang, manakala usaha mencari Mohd Ramzi dikhuatiri lemas diteruskan sehingga jam 7 petang semalam (kelmarin) dan hari ini,” katanya. Difahamkan Allahyarham Zahari masih bujang serta anak ketiga daripada lima beradik berasal dari Kampung Paku Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan. Mohd Ramzi pula bekas pelajar di sekolah sama dan mereka dipercayai rapat sejak di bangku sekolah lagi. Dua pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi (PPDKT), Zulkifli Mohamed dan Ishak Ismail, turut berada Unit Forensik Hospital Kota TInggi (HKT) bagi membantu pihak Jabatan Agama Islam mengurus tuntutan jenazah dan pengangkutan. Jenazah Zahari dituntut keluarganya lewat malam kelmarin.

Melayang Keluar Kereta

Melayang keluar keretaGambar Hiasan
Oleh Khairulmizan Yahya
am@hmetro.com
RAUB: Tiga wanita maut selepas ‘melayang’ keluar daripada kereta dinaiki sebelum terhempas atas jalan apabila kenderaan itu dirempuh sebuah kereta lain di Kilometer 323, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Kampung Batu Buaya di sini, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Hasimah Ibrahim, 65; Salmah Abdul Hamid, 50, dan Hadijah Arsad, 68, dari Kampung Batu Buaya meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan tubuh. Ketua Polis daerah, Superintendan Wan Samsuddin Wan Osman, berkata sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan menuju Kuala Lipis untuk menghadiri kenduri tahlil majlis perkahwinan saudara mereka. Menurutnya, kemalangan berlaku apabila belakang kereta Daihatsu Charade dipandu Kamaruzaman Osman, 64, dirempuh ketika membelok ke kanan di garisan berkembar laluan berkenaan. “Ketika pemandu kereta yang dinaiki mangsa cuba membelok ke kanan, tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Persona yang dinaiki tiga lelaki dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu berlanggar. “Kesan rempuhan kuat itu menyebabkan tiga wanita terbabit tercampak keluar,” katanya ketika dihubungi, semalam. Katanya, Kamaruzaman cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) manakala dua lagi penumpang keretanya, Mohamad @ Ishak Sili, 68, dan seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Santi yang turut tercedera dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh. Pemandu Proton Persona terbabit, Abdul Halim Abdul Rahman, 27, dan dua adiknya, Abdul Fatah, 24, dan Abdul Muiz, 16, dari Kampung Umbai, Merlimau, Melaka, hanya cedera ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Benta. “Mangsa yang cedera dikeluarkan dari kenderaan masing-masing dengan bantuan penduduk kampung sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. “Kereta Daihatsu Charade itu terbakar sedikit di bahagian tangki minyaknya. Mujurlah, mangsa yang cedera dalam kenderaan itu sempat dikeluarkan sebelum kejadian lebih buruk berlaku,” katanya. Wan Samsuddin berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Raub (HR) untuk dibedah siasat dan jenazah mereka sudah dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan. “Tiga beradik terbabit kini ditahan sementara untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Saturday, March 20, 2010

Konkrit Terbang

Konkrit terbang

Gambar Hiasan

Oleh Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my
KOTA BHARU: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang berlaku kepada seorang guru wanita Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) yang nyaris maut sebaik dirinya dihempap serpihan batu konkrit, petang semalam. Kejadian kira-kira jam 4.30 petang berlaku ketika mangsa, Nor Shuhada Lee Abdullah, 41, sedang membuang sampah berdekatan bangunan Perkim dua tingkat terbabit. Peristiwa mencemaskan itu berlaku selepas tangki simen yang terletak berdekatan tapak projek Bazar Tok Guru rebah dan mengenai sebahagian bangunan Perkim menyebabkan serpihan konkrit sebesar dua pemeluk jatuh di situ. Situasi itu menyebabkan guru terbabit yang berada di lokasi kejadian jatuh tertiarap selepas badannya terkena serpihan konkrit bangunan dua tingkat terbabit ketika berada di tepi kanan bangunan itu. Dia yang luka di lutut dan lenguh-lenguh di bahagian anggota badan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dengan menaiki sebuah ambulans untuk mendapatkan rawatan. Menceritakan detik cemas itu, Nor Shuhada berkata, sebelum kejadian dia sibuk membersihkan bangunan terbabit berseorangan sebagai persiapan untuk sesi pembelajaran yang akan bermula Ahad ini. Katanya, sebaik selesai menyapu dia keluar untuk membuang sampah di hadapan bangunan Perkim berkenaan dan tiba-tiba terdengar dentuman kuat yang jatuh berhampirannya. “Dengan tidak semena-mena badan saya terus berada dalam keadaan tertiarap selepas terkena serpihan konkrit bangunan yang jatuh sebaik dihempap tangki simen di kawasan berkenaan. “Tanpa memikirkan apa-apa, saya bangun dari lokasi terbabit untuk menyelamatkan diri, walaupun ketika itu habuk simen memenuhi ruang kawasan berkenaan,” katanya di Balai Polis Kota Bharu, semalam. Menurutnya, dalam keadaan kelam-kabut, dia turut nyaris terpijak wayar elektrik. Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan petang semalam dan siasatan lanjut masih dilakukan.

DiLanggar Pacuan 4 Roda

Kanak-kanak 3 tahun maut dilanggar bapa saudara

Gambar Hiasan

KUANTAN: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda yang dipandu bapa saudaranya di Kampung Perawas, Hulu Dong, Raub, semalam. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian pada 6.10 petang itu, bapa saudara mangsa menghidupkan kenderaan itu yang diletakkan berhampiran rumahnya. "Tanpa disedari, dia kemudian terlanggar anak saudaranya yang berada di hadapan kenderaan tersebut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Katanya, orang ramai yang berada di kawasan itu menjerit bagi memberitahu Norainal Fazilah Mohd Sabri berada di hadapan kenderaan itu, namun ia tidak disedari lelaki tersebut. "Adik Norainal Fazilah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik Dong, katanya.-Bernama

Thursday, March 18, 2010

Nasihat Pelajar Utamakan Keselamatan

PPD nasihatkan pelajar utamakan keselamatan
Gambar Hiasan
KUALA KRAI - Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mengingatkan semua pelajar di daerah ini supaya mengutamakan keselamatan semasa menjalankan sebarang aktiviti termasuk pada musim cuti persekolahan. Pegawai Pelajaran Daerah, Zulkifli Mohd Noor berkata, walaupun mereka bebas melakukan apa jua aktiviti pada musim cuti sekolah, faktor keselamatan perlu sentiasa diberikan keutamaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Menurutnya, ibu bapa juga perlu mengawasi pergerakan anak-anak dan mengambil tahu bentuk aktiviti yang mereka lakukan untuk menghabiskan cuti persekolahan. “Kalau mereka (pelajar) nak bermain waktu cuti, tidak ada masalah tetapi biarlah pada masa yang sesuai dan lebih penting, mengutamakan keselamatan kerana malang tidak berbau. “Saya juga nak nasihatkan pelajar agar memanfaatkan musim cuti sekolah dengan aktiviti berfaedah yang dapat memberi impak kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tragedi yang mengorbankan dua pelajar berusia 13 tahun dalam kejadian lemas di Sungai Lebir, dekat Kampung Manjor, Manek Urai, kelmarin. Kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu meragut nyawa pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pahi, Wan Suzaimi Wan Ali dan Muhammad Irfan Mustafha, juga pelajar tingkatan satu dari SMK Sultan Yahya Petra 1, dekat sini. Zulkifli yang turut berada di tempat kejadian ketika mayat dua pelajar itu ditemui kelmarin berkata, mewakili seluruh warga PPD Kuala Krai, dia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka bersabar menerima hakikat apa yang sebagai ujian daripada Allah SWT. Dalam pada itu, beliau turut meminta ibu bapa terutama yang mempunyai anak di prasekolah, tahun 1 dan tahun 2 agar memastikan anak-anak mereka mengulangkaji pelajaran sepanjang musim cuti khususnya bila cuti panjang. Menurutnya, proses pembelajaran dan latih tubi di rumah terutama pada waktu malam amat penting memandangkan ramai pelajar di peringkat awal persekolahan dikesan gagal mengingati apa yang dipelajari walaupun selepas bercuti dua hari pada hujung minggu. Katanya, sokongan ibu bapa dalam membantu pelajar mengulangkaji pelajaran di rumah amat penting kerana rata-rata pelajar di daerah ini bergantung sepenuhnya kepada guru dan tidak ada kelas tuisyen seperti pelajar di bandar. “Banyak kes yang kita (PPD) kesan membabitkan pelajar terutama di peringkat permulaan ini yang baru boleh membaca dan menulis tetapi bila sahaja cuti walaupun dua hari, mereka sudah lupa bila balik semula ke sekolah kerana tidak berlaku proses pembelajaran di rumah,” kata Zulkifli.

Tidak Sengaja Langgar Adik

Kakak tidak sengaja langgar adik

Gambar Hiasan

KUALA KRAU - “Lagi along...lagi along,” itulah kata-kata terakhir Nurul Zalia Natasya Zakaria, 9, ketika melihat kakaknya sedang mengundurkan kereta untuk disimpan di garaj depan rumah mereka. Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa dikatakan duduk di kerusi di hadapan rumahnya, kira-kira jam 10 malam ketika keluarganya menonton perlawanan akhir badminton Terbuka Seluruh England antara Malaysia dengan Jepun. Ibu mangsa, Romadiah Mohd Desa, 47, berkata, ketika itu mangsa dikatakan bermain guli dalam rumahnya dan selepas itu mangsa memberitahu untuk mencabut uban. Menurutnya, hanya tiga helai uban dicabut arwah kerana katanya, sudah banyak dan mahu menyambung bermain guli. “Selepas itu, bapanya Zakaria Tahir, 57, menasihati arwah supaya berhenti bermain guli kerana dari pagi sampai malam tidak berhenti bermain permainan itu. Selepas ditegur, kami ingat dia sudah masuk ke dalam bilik. “Kami tidak sedar kerana melihat perlawanan badminton itu dan dia keluar setelah melihat alongnya itu mengundur kereta,” katanya. Ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Desa, di sini, ibunya berkata, pada malam kejadian Zarina melihat adik lelakinya (anak kedua) sedang mencuci kereta di hadapan rumah. Menurutnya, selepas melihat adiknya itu mencuci kereta milik bapanya Zarina pula menyimpan kereta jenis Viva miliknya yang baru dibeli beberapa bulan lalu. “Ketika mengundurkan kereta, tiba-tiba besi penutup longkang terpatah menyebabkan Zarina terpaksa menekan minyak dengan kuat. Ketika itu Zarina tidak perasan dan tidak nampak mangsa duduk di kerusi belakang kereta itu. “Selepas menekan minyak, kereta itu bergerak laju dan melanggar kerusi di belakang namun masih belum menyedari mangsa berada di belakang. Kami yang sedang menonton televisyen terdengar bunyi kereta itu yang melanggar kerusi dan bergegas melihat apa yang berlaku. “Selepas itu, kami terkejut melihat mangsa terkulai layu di belakang akibat perlanggaran tersebut. Kami segera mengambil mangsa dan membawanya ke klinik berdekatan,” katanya. Romadiah berkata, apabila sampai di klinik, pegawai perubatan memberitahu Nurul Zalia Natasya meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala. Menurutnya, semasa kejadian itu mangsa dikatakan duduk bersila di atas sofa dan dipercayai terhantuk di kepala ketika tunduk untuk mengambil gulinya yang terjatuh di bawah kerusi itu. Mangsa adalah murid Tahun Tiga, Sekolah Kebangsaan Kuala Krau dan anak kelapan daripada sembilan adik-beradik. Dia juga seorang anak periang, rajin belajar serta disayangi ahli keluarga. Sebelum mangsa meninggal dunia, kakaknya sempat menunaikan hasrat mangsa untuk berkelah di Gambang Water Park dengan menaiki kereta barunya itu. Romadiah berkata, dia tidak menyangka anaknya itu pergi buat selama-lamanya kerana dia tidak mendapat sebarang petanda atau mimpi berkenaan mangsa sebelum meninggal dunia. “Apa yang pelik mengenai arwah ialah dia sangat berselera makan sejak seminggu lalu dan badannya pula cepat naik. “Adik-beradiknya lain hairan melihat dia begitu berselera ketika makan. Selain itu, dia juga rajin pergi mengaji bersama abangnya,” katanya. Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, setelah kakak mangsa mendapati tiada sesiapa di belakang keretanya, Zarina mengundurkan keretanya itu ke dalam garaj depan rumahnya. Menurutnya, semasa mengundur pemandu kereta itu terasa terlanggar sesuatu di belakang dan terus menghentikan keretanya itu. “Setelah memberhentikan kereta dan keluar melihat apa yang berlaku, dia mendapati melanggar adiknya secara tidak sengaja,’ katanya.

Wednesday, March 17, 2010

Mendarat Cemas Di Padang

Terkejut lihat helikopter mendarat cemas di padang sekolah

TAMPIN: Penduduk di Taman Pegoh Baru, Rumah Awam Peringkat 3 dan Taman Mahsuri, dekat sini, gempar apabila sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat cemas di padang Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Pulau Sebang di sini, awal pagi semalam.

BAIKI...kerja baik pulih helikopter Nuri yang mendarat cemas di padang Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Pulau Sebang, semalam.

Helikopter SK 61A Nuri dari 10 Skuadron yang berpangkalan di Pangkalan Udara Sungai Besi, Kuala Lumpur itu mendarat cemas kira-kira jam 8.40 pagi dipercayai mengalami kerosakan teknikal tanpa berlaku insiden buruk dengan seorang juruterbang berpangkat kapten dan tiga kru berada dalam keadaan selamat. Pengawal keselamatan sekolah berkenaan yang enggan namanya disiarkan, berkata helikopter itu dilihat terbang rendah di atas bumbung sekolah.
Menurutnya, ketika itu, dia berada di pintu depan sebelum tiba-tiba ternampak sebuah helikopter terbang rendah dan hampir mencecah bumbung bangunan sekolah. “Saya berlari ke bahagian belakang dan melihat helikopter itu mendarat cemas di padang sekolah dan melihat empat anggota tentera terjun keluar sambil memegang alat pemadam api sebelum menyembur ke bahagian dalam helikopter berkenaan,” katanya. Penduduk, Azman Md Nor, 30, berkata dia terdengar bunyi pesawat itu begitu kuat dan berada pada paras rendah dalam keadaan berlegar-legar dipercayai mahu mendarat. Menurutnya, apabila melihatkan keadaan pesawat itu seolah-olah tidak stabil, dia menghubungi bomba untuk mendapatkan pertolongan kecemasan. Penduduk lain, Mohd Razak Rasol, 13, berkata dia dan beberapa rakannya yang bermain di tepi pagar sekolah berkenaan melihat helikopter itu terbang rendah dan melihat asap keluar. “Mulanya, saya ingat ia latihan tentera dan sejurus selepas itu, helikopter berkenaan terus mendarat di padang sekolah. Sebaik pintu helikopter dibuka, saya nampak empat anggota tentera yang lengkap dengan pakaian seragam terjun sambil memegang alat pemadam api,” katanya. Sementara itu, dalam satu kenyataannya, Markas Tentera Udara, Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur mengesahkan kejadian berkenaan. Menurutnya, sebuah helikopter Nuri melakukan pendaratan (pre-cautionary landing) di padang sekolah berkenaan ketika dalam perjalanan menuju Kem Terendak, Melaka bagi tujuan latihan kepada Pusat Latihan Darat (Pulada). “Ketika penerbangan, juruterbang mengesan sedikit gangguan teknikal pada pesawat lalu mengambil langkah mengikut prosedur yang ditetapkan dengan mendaratkan pesawat bagi melaksanakan pemeriksaan lanjut,” kata kenyataan itu.

Monday, March 15, 2010

Pesawat Jatuh Laut

Pesawat jatuh laut

Oleh Hamzah Osman
am@hmetro.com.my

LANGKAWI: “Pesawat itu seolah-olah meluncur dengan senyap di udara sebelum menjunam ke laut,” kata Ulong Ahmad Shahidan, 43, saksi kejadian pesawat sekolah penerbangan HM Aerospace Sdn Bhd (HM Aerospace), yang cuba melakukan pendaratan cemas sebelum menjunam ke laut di pantai Pasir Hitam, dekat sini, pagi semalam.

ROSAK...pesawat Diamond DA-40 TDI syarikat penerbagan HM Aerospace yang terhempas ke dalam laut, semalam.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, jurulatih penerbangan warga Perancis, Kapten Guillaume, 38, dan seorang pelatih warga tempatan yang dikenali Tea, 26, terselamat selepas kedua-duanya sempat terjun dari pesawat sebelum berenang ke pantai dan diselamatkan nelayan. Nahas itu berlaku kira-kira 40 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini, bagi latihan penerbangan biasa. Pesawat jenis Diamond DA-40 TDI dua tempat duduk itu dilaporkan mengalami masalah enjin dan dikatakan terbang rendah melakukan pendaratan kecemasan sebelum menjunam ke laut, kira-kira 500 meter dari pangkalan nelayan pantai Pasir Hitam di sini. Ulong ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia berada di pangkalan nelayan itu bersama rakan membaiki pukat sebelum melihat pesawat itu terbang rendah. “Ia meluncur senyap ketika melintasi Pulau Pasir menghala ke arah kilang Lafarge Cement di Teluk Ewa dengan bahagian kepala menjunam. “Nasib baik ketika kejadian, tiada bot nelayan melalui kawasan itu yang sebelum ini agak sibuk,” katanya yang bekerja sebagai nelayan pantai lebih 30 tahun lalu. Saksi lain, Adenan Saod, 57, berkata sejurus selepas pesawat menjunam ke laut, dua juruterbang yang memakai jaket keselamatan timbul ke permukaan air dan berenang ke arah pantai. Katanya, beliau kebetulan berada di kedai makan berhampiran pantai bersama tiga rakan bergegas mendapatkan sebuah bot gentian kaca sebelum menghampiri kedua-dua mangsa. “Kami mencapai tangan kedua-dua juruterbang sebelum menarik mereka ke bot dan membawa ke pantai. Seorang penduduk menghantar mangsa ke Hospital Langkawi untuk rawatan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Ishak Hasan, berkata pesawat dalam latihan penerbangan itu mengalami kerosakan enjin ketika pada ketinggian 3,000 meter sebelum juruterbang cuba mendarat cemas di kawasan laut.

Rahsia Kapal Berhimpit

Rahsia kapal berhimpit

Gambar Hiasan

Oleh RUDY FAZRUNISYAM SAMARUDIN
JOHOR BAHRU: Aktiviti pemindahan minyak secara haram oleh kapal yang berterusan di perairan Pengerang di Kota Tinggi, dekat sini, bukan saja menyalahi undang-undang maritim negara ini, malah menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.Terbaru, dua kapal ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan ketika melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran dari kapal ke kapal di perairan Tanung Stapa, Pengerang, kira-kira jam 9.05 pagi, semalam.Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili Wilayah Selatan, Komander Maritim Abdul Hadib Abd Wahab, berkata kegiatan kapal berkenaan dikesan ketika KM Tegas bersama seorang pegawai dan 32 anggota menjalankan Operasi Perkasa selatan di perairan terbabit. Katanya, Kapal MT Royal Salute dan MT Ai Maru yang kedua-duanya didaftarkan di Honduras dilihat dalam keadaan berhimpit antara satu sama lain dan mencurigakan pada kedudukan 3.5 batu nautika di perairan Tanjung Stapa."Pemeriksaan mendapati mereka gagal mempamerkan dokumen bagi menjalankan aktiviti pemindahan minyak di perairan berkenaan dan siasatan lanjut turut mendapati sebanyak 30,000 liter minyak kapal dipindahkan dari MT Royal Salute ke MT Ai Maru," katanya.Katanya, sehubungan itu semua 28 kru kedua-dua kapal terbabit yang membabitkan warga Thailand dan seorang rakyat Indonesia berumur 19 hingga 53 tahun ditahan untuk siasatan lanjut."Kedua-dua kapal berkenaan melakukan kesalahan tidak mempunyai permit untuk melakukan pemindahan di laut mengikut Seksyen 491b(1)(k) Akta Perkapalan Saudagar 1952," katanya.Kegiatan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Sehubungan itu, APMM menggesa orang ramai supaya segera menghubungi 07-2219231 07-2219231 jika melihat sebarang aktiviti mencurigakan bagi membendung kegiatan yang boleh merugikan negara di kawasan perairan berkenaan.

Mati Kerana Lintah

Mati kerana lintah
Oleh Kamal Majid
JELI: Sukar dipercayai, namun, itu hakikatnya apabila seekor lintah memasuki dubur seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ketika mandi di sungai berdekatan rumahnya dipercayai menjadi punca dia meninggal dunia di hospital, semalam.

REDA...Abdul Kadir menunjukkan gambar Siti Nazirah.

Mangsa, Siti Nazirah Abd Kadir, 10, awalnya hanya mengalami sakit perut sebelum membuang air besar di tandas rumahnya untuk meredakan kesakitan. Bagaimanapun, kesakitan kian memuncak di dubur murid Sekolah Kebangsaan Gemang (SKG) itu sebelum dibantu ibunya, Mariam Yakob, 34, untuk melihat keadaan sebenar. Mariam yang melihat bahagian sulit terbabit terkejut mendapati seekor lintah sudah mati muncul di seluar anak perempuannya dengan berlumuran darah. Ekoran kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Jeli petang kelmarin sebelum keadaannya yang kritikal menyebabkan dia dirujuk ke Hospital Tanah Merah dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, selepas hampir 16 jam dirawat sebaik dikejarkan ke hospital kira-kira jam 5 petang kelmarin, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi semalam. Menceritakan kejadian menimpa arwah, Abd Kadir Safei, 44, berkata tragedi terbabit berlaku selepas anaknya itu mandi di sungai berdekatan rumahnya di Kampung Gemang di sini, kelmarin. Kejadian berlaku ketika arwah anak bersama seorang sepupu, Hayati Idris, 11, mandi di sungai sebaik pulang dari mengikuti latihan sukan di sekolah kira-kira jam 4 petang, kelmarin. “Sebaik tiba di rumah, arwah terus keluar bersama sepupunya menuju ke sungai tidak jauh dari rumahnya dan pulang kira-kira jam 5 petang, kelmarin. “Selepas kejadian, mangsa pergi ke tandas membuang air besar dan mengadu sakit di bahagian dubur. Ibunya menanggalkan seluar mangsa sebelum ternampak seekor lintah mati serta disaluti darah dalam seluar anaknya,” katanya. Katanya, ibunya terperanjat melihat lintah terbabit dan mengesyaki ia memasuki bahagian dubur Siti Nazirah selepas berlaku pendarahan bahagian itu. Abd Kadir berkata, selepas mengesyaki dubur anaknya dimasuki lintah, isterinya bertindak menghubunginya ketika sedang menyiapkan rumah baru milik adik iparnya yang terletak tidak jauh dari situ. “Arwah dibawa ke hospital Jeli jam 5 petang sebelum dirujuk ke Hospital Tanah Merah dan seterusnya dihantar ke HRPZII. Anak saya disahkan meninggal dunia jam 9 pagi semalam,” katanya. “Saya reda apa yang berlaku dan kami sekeluarga memohon rohnya ditempatkan di kalangan orang soleh. Jenazah arwah dibawa pulang dari HRPZ II pada jam 12.21 tengah hari,” katanya. Menurutnya, jenazah anaknya yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Gemang (SKG) dikebumikan di perkuburan Islam Kampung Gemang. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohamed Hanifah Ab Malek ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

Saturday, March 13, 2010

Ibu Hamil Terperosok Bawah Kren

Ibu hamil terperosok bawah kren

KULIM: Seorang ibu yang sarat mengandung nyaris maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah lori kren yang dipercayai hilang kawalan dalam kemalangan di Jalan Kulim Hi-Tech Park berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, di sini, petang kelmarin.

NAHAS...anggota bomba mengeluarkan wanita hamil yang tersepit dalam kereta.

NGERI...kereta mangsa yang dihempap kren.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lori kren yang datang dari arah Kulim Perdana, di sini, turut merempuh lima lagi kereta yang berada di laluan berkenaan. Bagaimanapun, wanita berusia 30-an itu bernasib baik kerana hanya cedera di bahagian kaki walaupun kereta Proton Wira yang dipandunya remuk teruk selepas dirempuh dan diseret sejauh kira-kira lima meter oleh lori kren berkenaan sehingga terperosok ke dalam longkang berhampiran. Jurucakap polis berkata, dalam kejadian itu lori kren berkenaan tiba-tiba hilang kawalan ketika hendak membelok ke Jalan Kelang Lama di persimpangan lampu isyarat di situ dan memasuki laluan bertentangan serta merempuh kereta wanita terbabit. Kejadian itu turut menyebabkan lima lagi kenderaan di belakang kereta Proton Wira berlanggar sesama sendiri akibat perlanggaran itu.
“Wanita terbabit bernasib baik kerana kesan pelanggaran itu tidak mengenai bahagian perutnya yang sarat mengandung. Hanya kakinya yang tersepit di bahagian pemandu,” katanya.
Jurucakap polis berkata, bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan mangsa kerana mereka perlu berhati-hati dengan keadaan mangsa. Wanita terbabit dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut dan beberapa mangsa dari kereta lain menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital yang sama.

Bekas Majikan Belasah, Ugut

Bekas majikan belasah, ugut
Gambar Hiasan
Oleh Hadzlihay Hassan dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Ibarat kacang lupakan kulit. Itu yang berlaku kepada seorang timbalan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat apabila dibelasah bekas majikan dan orang suruhannya ketika mahu berbincang mengenai tunggakan gajinya, Jumaat lalu. Mangsa yang berusia 30-an itu pernah membantu bekas majikannya membuat pinjaman bank bernilai RM50 juta dan dijanjikan komisen pada Februari tahun lalu. Bagaimanapun, janji hanya tinggal janji. Malah, mangsa juga tidak dibayar gaji untuk tempoh beberapa bulan menyebabkan dia datang ke pejabat bekas majikannya itu untuk berbincang. Selain itu, dia turut membuat laporan di Pejabat Perhubungan Industri mengenai masalah dihadapi, tetapi bekas majikannya masih berdegil dan enggan membayar tunggakan gajinya. Sejurus meminta pandangan rakannya, mangsa menghubungi bekas majikannya itu untuk berbincang dan menyelesaikan masalah mereka secara baik. Bekas majikannya itu bersetuju mengatur pertemuan di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang dan mangsa ditemani dua rakannya pergi ke restoran dijanjikan kira-kira jam 8 malam. Menurut sumber, kira-kira sejam menunggu, bekas majikannya itu tiba bersama empat lelaki lain dipercayai orang suruhannya, namun dia enggan berbincang dalam restoran berkenaan. “Malah, bekas majikannya itu turut mengeluarkan kata-kata dengan nada keras memberitahu yang dia akan ‘mengutip’ mangsa dan turut menakutkannya dengan mendakwa dia tahu rumah mangsa. “Selain itu, bekas majikannya turut mengugut akan melakukan sesuatu kepada ahli keluarga mangsa membuatkan mangsa mula bimbang,” katanya. Sumber berkata, ketika itu, beberapa lagi rakan bekas majikan mangsa datang ke restoran sama membuatkan suasana bertambah kecoh. “Ketika itu hampir 20 orang rakan termasuk pengawal peribadi bekas majikannya tiba dan mereka terus menarik mangsa menghampiri kereta. “Mangsa cuba ditolak masuk dalam kenderaan, tetapi dia sempat menjerit meminta pertolongan rakan yang kemudian menghalang tindakan itu,” katanya. Rakannya cuba menenangkan keadaan dan meminta supaya mereka berbincang di balai polis, namun bekas majikannya itu enggan.
“Ketika itu, mangsa meloloskan diri dan berlari masuk ke restoran, tetapi dia dipukul beberapa orang suruhan bekas majikannya menggunakan cota. “Selepas puas melihat penderitaannya, bekas majikannya itu memberi amaran dan memberitahu yang mangsa dilepaskan dan jika masih berdegil dia akan melakukan sesuatu yang lebih buruk,” katanya. Mangsa yang takut ugutan itu membuat laporan polis.

Alahan Bawa Maut

Alahan bawa maut
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
KUALA LUMPUR: Orang ramai yang gemar mendapatkan ubat daripada orang perseorangan atau yang dijual di kedai tepi jalan diingatkan bahawa pengambilan ubat tanpa preskripsi doktor bertauliah boleh menyebabkan alahan kronik sehingga membawa maut. Pegawai Perubatan Am Mediviron TTDI Jaya, Dr Sharifah Abd Ghaffar, berkata setiap pesakit perlu diperiksa terlebih dulu dan sejarah perubatan termasuk alahan kepada jenis ubat perlu diambil kira bagi mengelak kesan sampingan. Beliau berkata, setiap ubat perlu diketahui jenis, kandungan bahan, kesan sampingan dan dos sesuai supaya tidak menyebabkan alahan dan jika berlaku alahan, doktor perlu tahu cara merawatnya. “Apa yang paling ditakuti doktor adalah alahan kerana jika sekadar reaksi alahan biasa tidak mengapa, tetapi jika teruk, ia boleh menyebabkan komplikasi seperti paru-paru bengkak hingga membawa maut. “Orang ramai perlu berhati-hati mengambil ubat kerana setiap ubat yang dihasilkan secara sah melalui pelbagai kajian juga mampu memberikan alahan kepada sesetengah pesakit, inikan pula ubat yang dihasilkan mengikut ramuan sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau mengulas laporan Harian Metro, semalam, mengenai seorang warga emas berlagak ala profesor apabila dikesan merumus ribuan botol ubat sakit sendi dan pil rangsangan seks walaupun langsung tidak mempunyai pendidikan dalam bidang perubatan. Kegiatan ‘profesor gila’ itu cukup berbahaya kerana kebanyakan ubat dihasilkannya menggunakan resipi pelbagai campuran bahan kimia berbahaya yang boleh mengancam nyawa penghidap sakit sendi dan mati pucuk. Hasil kegiatan haramnya, warga emas terbabit mampu memiliki rumah dan deretan kereta mewah dipercayai hasil kegiatan menjual ubat beracun berkenaan. Kegiatan lelaki berusia lewat 60-an itu terbongkar apabila sepasukan pegawai penguat kuasa farmasi Kementerian Kesihatan menyerbu rumahnya di Sungai Petani, Kedah, kelmarin. Dalam operasi jam 9.30 pagi itu, pegawai penguat kuasa farmasi melakukan serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat selepas pemiliknya dikesan menjadi dalang penjualan pelbagai ubat-ubatan tradisional dan rangsangan seks. Dr Sharifah berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira apabila seseorang itu diberi ubat antaranya usia dan penyakit dihidapi pesakit terbabit kerana kebiasaannya golongan yang menghadapi masalah sendi atau mati pucuk adalah golongan berusia, jadi perhatian lebih perlu diberikan supaya keadaan mereka tidak mudarat.

Friday, March 12, 2010

Lori Kontena Terbakar

Terjun panik
Gambar Hiasan
Oleh Zulfa Mohamad

SEBERANG JAYA: Bau asap menyelamatkan seorang pemandu lori kontena apabila dia bertindak terjun selepas menyedari bahagian enjin kenderaan dipandunya terbakar, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 tengah hari itu, pemandu lori kontena terbabit, Mohd Najib Mohd Said, 34, dalam perjalanan dari Kuala Kurau, Perak menghantar udang beku ke Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT). Bagaimanapun, ketika tiba di Kilometer 3.4 Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), dia terhidu asap lalu memperlahankan kenderaan dan memasuki laluan kiri. “Bau asap yang semakin kuat menyebabkan saya panik. Saya mengambil beberapa dokumen penting lalu terjun dari lori. “Hanya kira-kira dua minit, api marak di bahagian enjin disusuli beberapa letupan kecil di bahagian tangki menyebabkan minyak melimpah atas lebuh raya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Mohd Najib berkata, semalam adalah kejadian pertama sejak dia bekerja sebagai pemandu lori kontena enam tahun lalu. “Kejadian hari ini (semalam) tidak mematahkan semangat saya malah akan terus bekerja sebagai pemandu,” katanya. Lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth diketuai Pegawai Operasi Radzi Ariffin bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 12.02 tengahari. “Api dapat dikawal tiga minit kemudian. Tiada sesiapa cedera kerana pemandu lori sempat terjun menyelamatkan diri,” katanya.

Tong Gas Meletup

Tong gas masak meletup
METRO
SUNGAI PETANI: Beberapa tong gas memasak yang disimpan dalam stor sebuah rumah kedai dua tingkat yang dalam pembinaan di Taman Batik, Jalan Lencongan Timur di sini, meletup menyebabkan tiga parah dan seorang cedera ringan, lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang, tiga lelaki berusia 20-an dan seorang lelaki berusia 40-an itu dipercayai melakukan pemindahan gas secara haram di premis itu sebelum ia tiba-tiba meletup.Difahamkan, dua daripada mangsa yang parah itu hancur kedua-dua tangannya dan cedera di hampir keseluruhan badan manakala seorang lagi turut cedera pada seluruh badan. Lelaki berusia 40-an yang juga pemilik rumah kedai itu pula cedera ringan. Identiti semua mangsa belum dikenal pasti dan mereka dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini dan tiga daripada mereka dilaporkan kritikal. Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Anuar Zaini Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 7.19 malam sebelum dua jentera bomba bersama 18 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

PERIKSA...anggota bomba memeriksa bangunan kedai dua tingkat yang pecah akibat letupan gas, semalam.

CEDERA...dua mangsa yang cedera.

Nyaris Maut

Dua artis berselisih ajal
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hadzlihady Hassan
am@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Dua anggota kumpulan One Nation Emcees (One) nyaris maut apabila kereta Mazda 3 milik seorang anggota kumpulan itu terbabas ketika cuba mengelak kenderaan lain di Lebuh Bandar Utama, Damansara, dekat sini, semalam.

TERBALIK...kereta anggota kumpulan One yang terbabit kemalangan, semalam.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, kereta dipandu Shamimi Amalina Norhisham (Mimi), 23, terbalik dengan keempat-empat tayarnya ke atas dan tergantung di longkang berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Puah Chai 2, Bandar Utama di sini.
Keadaan itu menyebabkan Mimi dan seorang lagi anggota One, Nur Hasan Baias (Jojoe), 34, terpaksa merangkak keluar untuk menyelamatkan diri. Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta itu cuba mengelak sebuah kenderaan lain menyebabkannya terbabas dan berpusing beberapa kali sebelum terbalik dalam longkang. Kemalangan persis aksi filem itu, bagaimanapun sukar dipercayai apabila kedua-dua artis berkenaan terselamat dari maut walaupun kereta rosak teruk. Ketika kejadian, kedua-dua penyanyi dalam perjalanan ke Sri Pentas, Bandar Utama untuk menghadiri jemputan bagi rancangan terbitan TV3, Malaysia Hari Ini (MHI).
Biarpun kereta dinaiki rosak teruk, namun kedua-dua penyanyi terbabit, Mimi dan Jojoe tidak cedera serius. Mimi ketika ditemui ketika membuat laporan di Bahagian Trafik, Balai Polis Petaling Jaya di sini, berkata kereta yang dipandunya hilang kawalan apabila cuba mengelak sebuah Proton Satria yang memotong mendadak dari arah kiri. Menurutnya, kereta terbabit yang dipandu laju dan berbahaya menyebabkan dia terkejut sebelum terbabas ke bahu jalan.
“Kemalangan berlaku selepas saya menjemput Jojoe di rumahnya di Kelana Jaya untuk menghadiri sesi temubual dan mengadakan persembahan bagi program HMI sempena mempromosikan album sulung kami yang baru dilancarkan minggu lalu. “Sebaik sampai di hadapan sekolah itu, sebuah kereta yang berada di lorong sebelah kiri jalan tiba-tiba memotong masuk ke kanan menyebabkan kereta saya hilang kawalan ketika cuba elak melanggarnya,” katanya. Menurutnya, susulan itu keretanya berpusing sebelum melanggar pokok dan terhumban dalam longkang. “Kami bernasib baik kerana tiada kenderaan lain di belakang ketika kemalangan. Mimi mendakwa, sebaik keretanya berhenti, Jojoe yang berada di sebelahnya segera keluar dari pintu kiri dan menariknya keluar dari kereta yang terbalik. Menurutnya, dia yang ketika itu masih dalam keadaan terkejut menghubungi rakan baiknya, Farah Fauzana yang bertugas di konti radio Hot FM di Sri Pentas. “Farah segera membantu menghantar kami ke Balai Polis Petaling Jaya untuk membuat laporan,” katanya. Akibat kemalangan itu, kata Mimi, mereka terpaksa membatalkan temubual dengan HMI yang dijadualkan jam 8.30 pagi dan sesi fotografi dengan majalah hiburan pada sebelah petang. Menurut Mimi, ini pengalaman pertamanya terbabit kemalangan, manakala kereta itu baru dibeli setahun lalu menggunakan wang hasil pendapatan sebagai artis. Kedua-dua mereka ahli kumpulan One yang dinobatkan juara GangStarz Ke-2 pada 2008. Selain Mimi dan Jojoe, kumpulan hip hop dari Sabah ini turut dianggotai Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae) dan Mohd Norzaidi Edris (Zydee).

Pukau

Saya dipukau
Oleh Siti Nor Hidayah Razali
KOTA BHARU: “Saya macam dipukau dan hanya menurut perintahnya,”dakwa Hussin Mat Salleh, 54, yang menikahkan anak perempuannya, Siti Nur Zubaidah, 11, untuk dijadikan isteri keempat seorang rakan jemaahnya di sebuah madrasah berhampiran Masjid Besar Machang pada 19 Februari lalu.
RINDU...Hussin dan isteri, Siti Sarnan Mat Ali menunjukkan gambar Siti Nur Zubaidah. Hussin berkata, dia baru mengenali rakan jemaahnya yang berusia 41 tahun itu, tiga hari sebelum berlangsungnya pernikahan berkenaan.
“Dia kata ini ikut sunnah Nabi, jadi saya setuju saja tanpa sempat berfikir panjang,” katanya. Sehari selepas majlis pernikahan itu yang tidak dihadiri Siti Nur Zubaidah, katanya, dia bersama ‘menantunya’ itu pulang ke rumahnya di Kampung Jelawang, Dabong, Kuala Krai untuk membawa anaknya ke rumah isteri kedua lelaki itu. Hussin berkata, pada mulanya Siti Nur Zubaidah enggan menurut perintah dan menangis tidak mahu mengikut 'suaminya'. "Bagaimanapun, selepas dipujuk dan berjanji akan pulang pada hari yang sama, dia menurut perintah dan keluar dari rumah pada 20 Februari lalu. “Bagaimanapun, sehingga kini dia belum pulang selepas dibawa ‘suaminya’ dan kami tidak tahu di mana Siti Zubaidah. Saya memohon agar dia dikembalikan kerana Siti Nur Zubaidah terlalu muda dan masih belajar,” katanya.Hussin berkata dia akan berusaha menjejaki anak kedua daripada enam beradik itu dan cuba mendapat bantuan pelbagai pihak untuk membawanya kembali ke pangkuan keluarga.“Sekiranya ada sesiapa yang menjumpai atau ternampak Siti Nur Zubaidah bolehlah menghubung saya di talian 013-2272755 013-2272755,” katanya. Berikutan itu, Hussin membuat permohonan mufarakah (dipisahkan) di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada kira-kira jam 4 petang semalam bagi membolehkan pasangan terbabit dipisahkan sementara.Katanya, tuntutan mufarakah itu difailkan berikutan pernikahan Siti Nur Zubaidah dengan lelaki itu belum diketahui status sama ada sah atau sebaliknya. Sementara itu, Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Abu Bakar Abdullah Kutty mengesahkan ibu bapa Siti Nur Zubaidah membuat tuntutan mufarakah di mahkamah bagi mengasingkan anak perempuan mereka dengan ‘suaminya’. Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan dan jika disabit kesalahan, seseorang sama ada bapa atau ‘suami’ Siti Zubaidah boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002 Mahkamah Tinggi Syariah.Peruntukan mengikut enakmen terbabit membolehkan individu didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara. “Perkahwinan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun sepatutnya didaftarkan di mahkamah terlebih dulu dengan mengemukakan alasan kukuh. “Sekiranya siasatan mendapati perkahwinan kanak-kanak itu ada unsur paksaan atau kepentingan, kita akan mengambil tindakan,” katanya.

Diserang Geng Gores

Serangan sindiket gores
Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, patah dua jari tangan kanan manakala pekerjanya menerima beberapa jahitan pada bahagian belakang selepas dibelasah sekumpulan 20 lelaki ketika mereka cuba berunding dengan ahli sindiket gores dan menang.

TAHAN...ahli sindiket yang ditahan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin di sebuah bangunan rumah kedai di Metro Prima, Kepong di sini, Nadzim dan pekerjanya mendakwa dibelasah lebih 15 minit oleh kumpulan terbabit yang bersenjatakan pedang samurai, pisau, besi dan cota. Difahamkan, Nadzim dan pekerjanya itu pergi ke premis terbabit bersama seorang warga emas berusia 60-an yang mahu menuntut wang RM6,000 bagi menebus barang kemas mangsa yang digadaikan ahli sindiket itu. Menurut Nadzim, dia dan pekerjanya pergi ke premis terbabit untuk berunding selain mendapatkan semula wang mangsa. “Saya ke sana bersama mangsa dan dua orang anaknya serta pembantu, namun setibanya di premis itu seorang lelaki berusia 30-an enggan mengaku mengenai kegiatan gores dan menang yang didalanginya lalu mengarah kami pulang.“Kami cuba berlembut dengannya dan suspek mengarahkan kami masuk ke sebuah bilik untuk berunding. Ketika itu suspek memberi amaran dan mengugut mencederakan kami sekiranya tidak meninggalkan premis terbabit dengan segera,” katanya ketika ditemui, semalam.Memandangkan Nadzim bertegas meminta wang itu dipulangkan, suspek menghamburkan kata-kata kesat menghalaunya hingga berlaku pertikaman lidah menyebabkan dia ditumbuk.“Pada masa sama, suspek menjerit memanggil rakannya dipercayai tonto dan datang menyerang kami bersenjatakan pedang samurai, pisau, besi dan cota. “Kami yang dibelasah hanya mampu mempertahankan diri dan berserah kepada nasib kerana pintu premis terbabit dikunci menyebabkan kami gagal melarikan diri,” katanya. Nadzim berkata, dia dan pekerjanya, Afif, 20, dibelasah hampir 15 minit menyebabkan dua jari tangan kanannya patah manakala pekerjanya cedera pada bahagian belakang akibat ditoreh dengan pisau. “Mangsa sempat menghubungi polis. Menyedari ketibaan polis, beberapa ahli sindiket itu melarikan diri membawa senjata yang digunakan,” katanya. Pihak berkuasa tiba kira-kira lima minit kemudian memberkas 10 lelaki termasuk dalang sindiket itu. Nadzim dan pekerjanya diarahkan membuat laporan di Balai Polis Sentul di sini, untuk membantu siasatan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), mendapatkan rawatan susulan.

Thursday, March 11, 2010

Keselamatan Kanak-Kanak

Guru, 3 murid tadika diserang lelaki kurang siuman
BERDARAH...keadaan bilik darjah tadika dengan kesan darah mangsa apabila diserang seorang lelaki tidak dikenali dipercayai kurang siuman mengakibatkan
seorang guru dan tiga murid cedera, hari ini.
MUAR: Tiga murid dan seorang guru tadika cedera parah selepas diserang dengan tukul besi oleh seorang lelaki dipercayai tidak siuman dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi di sebuah tadika di Lorong Haji Ali, Jalan Abdul Rahman, di sini hari ini. Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata Nur Nadrah Nabila Mohd Yusri, 6, dan Alex Tan Kar Eik, 6, mengalami keretakan di bahagian kepala manakala seorang lagi murid Vincent Tey Hui Seng, 6, dan guru Boon Kiun Sew, 45, mengalami kecederaan di badan. "Kesemua mangsa dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini dan keadaan mereka dilaporkan stabil," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika 60 murid tadika berkenaan sedang menikmati sarapan pagi. "Seorang lelaki bertopi keledar dan memakai pakaian serba hitam telah menceroboh tadika berkenaan dengan memanjat pagar lalu memukul guru wanita terbabit menggunakan tukul besi sebelum memukul bahagian kepala tiga orang kanak-kanak," katanya.

OSH Dialogue With DOSH State Director