Tuesday, March 9, 2010

Budak Melayang

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Saya nampak seorang kanak-kanak melayang sebelum menghempap sebuah kereta, disusuli dentuman kuat.

RETAK...cermin kereta yang retak dihempap budak jatuh tingkat 15.

UMI SHARA...ibu mangsa

“Kejadian itu membuatkan saya tergamam dan hanya mampu menjerit meminta tolong,” kata seorang penjual nasi lemak yang hanya mahu dikenali sebagai Siah, 40-an yang ternampak kanak-kanak terbabit terjatuh dari tingkat 15 sebuah pangsapuri di Plaza Prima, Kepong di sini, malam tadi. Menurutnya, ketika itu orang ramai hanya mampu melihat kanak-kanak terbabit yang terjatuh di atas kereta sebelum tubuhnya terpelanting di atas jalan. “Dia masih bernyawa ketika itu, namun keadaannya yang lembik dan hanya bertarung dengan maut membuatkan orang ramai tak berani menyentuh tubuhnya. “Tidak lama kemudian ambulans datang dan membawa kanak-kanak itu ke hospital,” katanya. Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa Monalisa Khder Safwan, 3, maut sejurus tiba di Hospital Selayang akibat cedera di beberapa bahagian badan. Difahamkan, sebelum kejadian itu, mangsa sedang tidur manakala ibunya pula membasuh kain di bilik air. Malah, ibu mangsa sempat mendengar anaknya itu yang terjaga dari tidur dan memanggil bapanya sebelum keadaan menjadi sunyi. Wanita terbabit cuba meninjau dan terkejut apabila mendapati tingkap rumahnya terbuka dan sejurus memandang ke bawah dia hanya mampu melihat sekujur tubuh anaknya yang terjatuh. Mangsa adalah anak tunggal manakala bapanya pemilik kedai roti Arab dari Lubnan dan ibunya Umi Shara, 30-an, warga Indonesia. Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan masih diteruskan. “Siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan ketika itu berada bersama ibunya yang sedang membasuh kain dan mangsa mati sejurus tiba di hospital,” katanya.
Sementara itu, pasangan terbabit yang ditemui di Hospital Selayang enggan ditemubual dan ibu mangsa dilihat hanya mampu menahan kesedihan.

No comments:

Post a Comment