Thursday, March 25, 2010

Meletup 5 Kali

Sangka gimik
Oleh Mohamad Hussin
SINTOK: “Saya nampak lampu kecemasan menyala dan menyangka ia sebahagian daripada gimik persembahan formasi. “Selepas itu, saya nampak pesawat terbabit menjunam sebelum meletup lima kali,” kata Muhammad Fairuz Mohd Mokhtar, 22, saksi kejadian pesawat Pilatus PC-7 Mark II terhempas di kawasan hutan simpan Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, semalam. Muhammad Fairuz yang menuntut di UUM berkata, ketika kejadian dia berkumpul bersama rakan menyaksikan majlis perasmian Karnival Konvokesyen ke-23 di Stadium Pusat Sukan universiti berkenaan. Difahamkan, karnival berkenaan yang dirasmikan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat dan dihadiri Naib Canselor UUM, Tan Sri Nordin Kardi, gempar berikutan letupan kuat diikuti asap hitam keluar dari kawasan hutan tempat pesawat itu terhempas. Suasana majlis perasmian itu menjadi gamat apabila kira-kira 1,500 hadirin, terutama penuntut menjerit kerana terkejut. Muhammad Fairuz berkata, pada mulanya dia menganggap itu gimik persembahan, tetapi apabila melihat pesawat itu menjunam dia terkejut. Selepas itu, kedengaran letupan kuat dua kali diikuti asap tebal di kawasan hutan berkenaan. “Selepas 15 minit kejadian, saya dengar tiga lagi letupan kecil dan bergegas ke tempat kejadian di hutan berkenaan,” katanya yang ditemui di tempat kejadian di sini, semalam. Dalam nahas itu, pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Kolej Tentera Udara (KTU) di sini, terhempas di kawasan hutan simpanan UUM, jam 10.15 pagi semalam. Juruterbangnya, Mejar Muhammed Zulrihan Jusof, 39, yang juga jurulatih di Kolej Penerbangan TUDM Alor Star di sini, meninggal dunia di tempat kejadian. Jenazah Mejar Muhammed Zulrihan ditemui pasukan mencari dan menyelamat TUDM berdekatan pesawat yang terhempas dan dibawa keluar dari hutan menggunakan helikopter S61A-4 Nuri untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star. Mangsa yang menetap di Taman Desa Bukit Tinggi Kepala Batas, berasal dari Kampung Pasir Kasar Sering, Kota Bharu, Kelantan, meninggalkan seorang balu, Wizana Abdul Ghani dan tiga anak. Muhammad Fairuz yang mengambil jurusan kaunseling di universiti itu berkata, orang ramai dan penuntut yang menyaksikan persembahan pancaragam terkejut serta tergamam melihat pesawat yang membuat persembahan ketika itu tiba-tiba terhempas di hutan simpan berkenaan. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Zakaria Ahmad, berkata mayat mangsa ditemui kira-kira 15 meter dari pesawat dan dipercayai sempat melonjak keluar menggunakan kerusi anjal. “Kami percaya berdasarkan kedudukan dan kesan di kawasan nahas, mangsa berusaha keluar dari pesawatnya ketika menjunam. “Mayat juruterbang dikeluarkan dari tempat kejadian menggunakan helikopter TUDM sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui, semalam.

No comments:

Post a Comment