Saturday, March 27, 2010

Maut DiTetak

Duda maut ditetak
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Nor Azimah Othman
PORT DICKSON: Seorang ahli perniagaan maut dalam keadaan ngeri dengan beberapa kesan tetakan di paha manakala teman sebiliknya parah dipercayai diserang di sebuah chalet, awal pagi semalam.Ramli yang juga seorang duda beranak dua mati dipercayai kerana kehilangan banyak darah akibat beberapa tetakan di bahagian kiri dan kanan paha serta kaki dan mayatnya ditemui di atas katil. Kejadian itu disedari selepas wanita berkenaan menghubungi pihak chalet berkenaan memaklumkan kejadian berkenaan jam 6 pagi sebelum pengawal keselamatan bergegas ke tempat kejadian. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata wanita yang cedera di tangan, paha dan kaki kanan itu sempat membuka pintu bagi membolehkan pengawal keselamatan masuk ke dalam bilik berkenaan sebelum dia rebah. “Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menemui kesan pecah masuk pada bahagian depan dan belakang chelet disewa mangsa,” katanya. Beliau berkata, polis percaya hanya seorang penyerang yang terbabit dalam kejadian itu dan siasatan lanjut mengenai motif sebenar kes itu masih diteruskan.
Menurutnya, polis tidak menemui sebarang senjata namun percaya kedua-dua mangsa ditetak menggunakan parang. “Polis juga tidak menolak kemungkinan penyerang mangsa datang melalui jalan laut. Kita juga sedang menjalankan pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (cctv) di kawasan chelet berkenaan untuk membantu siasatan. “Berdasarkan kepada penemuan beberapa barang berharga di tempat kejadian, polis menolak kemungkinan pembunuhan itu bermotifkan samun,” katanya. Difahamkan, ahli perniagaan itu mendaftar masuk menginap di chalet berkenaan jam 3 petang kelmarin. Sepasukan polis dari Unit Forensik dan Anjing Pengesan (K9) turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu kerja-kerja penyiasatan. Mayat mangsa yang beralamat di Shah Alam, Selangor dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk dikebumikan. Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati. Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999 atau balai polis berhampiran.

No comments:

Post a Comment