Maut dirempuh jentolak sendiri
Gambar Hiasan
KUANTAN- Tindakan Seorang pemandu jentolak turun dari jenteranya untuk memeriksa sebatang pokok di hadapan membawa padah apabila jentera berat itu tiba-tiba menggelongsor lalu merempuhnya hingga parah. Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi di satu kawasan pembalakan berhampiran Hutan Simpan Ulu Jelai, Sungai Koyan dekat Lipis itu, mangsa, Mohamad Anuar Chin Abdullah, 61 disahkan meninggal dunia selepas dihantar menerima rawatan ke Hospital Lipis. Pegawai Turus Urus Setia, Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintenden Noor Asyikin Shamsuri berkata, kejadian disedari seorang penyelia berusia 43 tahun (pengadu) yang kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian. Menurutnya, berdasarkan keterangan pengadu, mangsa yang sedang memandu jentolaknya tiba-tiba memberhentikan kenderaan itu lalu turun untuk memeriksa sebatang pokok. “Bagaimanapun kenderaan itu yang dipercayai masalah brek tiba-tiba bergerak lalu merempuh mangsa yang berada di hadapan. “Akibat rempuhan itu mangsa mengalami cedera parah lalu dihantar rakan sekerja ke hospital bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi hari yang sama,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam. Noor Asyikin berkata, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kemalangan dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
No comments:
Post a Comment