Friday, March 12, 2010

Lori Kontena Terbakar

Terjun panik
Gambar Hiasan
Oleh Zulfa Mohamad

SEBERANG JAYA: Bau asap menyelamatkan seorang pemandu lori kontena apabila dia bertindak terjun selepas menyedari bahagian enjin kenderaan dipandunya terbakar, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 tengah hari itu, pemandu lori kontena terbabit, Mohd Najib Mohd Said, 34, dalam perjalanan dari Kuala Kurau, Perak menghantar udang beku ke Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT). Bagaimanapun, ketika tiba di Kilometer 3.4 Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), dia terhidu asap lalu memperlahankan kenderaan dan memasuki laluan kiri. “Bau asap yang semakin kuat menyebabkan saya panik. Saya mengambil beberapa dokumen penting lalu terjun dari lori. “Hanya kira-kira dua minit, api marak di bahagian enjin disusuli beberapa letupan kecil di bahagian tangki menyebabkan minyak melimpah atas lebuh raya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Mohd Najib berkata, semalam adalah kejadian pertama sejak dia bekerja sebagai pemandu lori kontena enam tahun lalu. “Kejadian hari ini (semalam) tidak mematahkan semangat saya malah akan terus bekerja sebagai pemandu,” katanya. Lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth diketuai Pegawai Operasi Radzi Ariffin bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 12.02 tengahari. “Api dapat dikawal tiga minit kemudian. Tiada sesiapa cedera kerana pemandu lori sempat terjun menyelamatkan diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment