Thursday, March 25, 2010

Sisa Buangan Berselerak

3 bulan sisa bangunan berselerak
Gambar Hiasan
Oleh Petah Wazzan Iskandar

GEORGETOWN: Segelintir pemilik premis di bandar ini didapati membiarkan sisa runtuhan rumah atau bangunan milik mereka yang dirobohkan sehingga membahayakan penduduk setempat serta mencacatkan pemandangan sekitar. Mereka didapati tidak membersihkan tapak premis apabila kerja merobohkan selesai, sebaliknya membiarkannya sehingga berbulan-bulan. Keadaan itu boleh dilihat di Jalan Nordin, Tanjung Tokong dan Sungai Pinang. Kebanyakan tapak rumah atau bangunan itu dipenuhi serpihan batu-bata daripada runtuhan dan semak-samun yang memenuhi ruang hingga menjadi tempat pembiakan nyamuk serta tikus. Malah, jika hujan lebat untuk tempoh yang lama, ia sudah pasti membawa banjir kilat kerana longkang tersumbat dengan serpihan runtuhan. Masalah ini turut dihadapi di tiga tapak yang pernah menempatkan kedai makan dan asrama berhampiran Balai Bomba Dan Penyelamat Jalan Perak. Lebih teruk lagi, ia mempunyai struktur reput, serpihan kayu tajam, paku berkarat yang bersepah hingga boleh membahayakan kanak-kanak yang merasakan kawasan itu boleh dijadikan taman bermain. Ia juga boleh menjadi tempat persembunyian penagih dadah kerana masih ada struktur bangunan yang menghalang pandangan awam dan tapak terbabit tidak berpagar. Walaupun premis itu sudah berbulan-bulan terbiar, namun tiada tindakan dilakukan pihak berkuasa khususnya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk tindakan selanjutnya. Sehubungan itu, MPPP perlu melaksanakan pendekatan terbaik untuk memastikan premis berkenaan dibersihkan dan tidak mendatangkan kemudaratan penduduk sekitar. Ketua Pasukan Tindakan Khas Parti Cinta Malaysia (PCM), Tham Weng Fatt, berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk yang risau dengan keadaan yang tidak ada penyelesaian dari MPPP sejak tiga bulan lalu. Katanya, pihaknya sedia maklum bahawa ia adalah tanggungjawab tuan tanah tetapi MPPP sebagai pihak berkuasa tempatan perlu memastikan kehidupan masyarakat tidak terjejas. "Daripada pemerhatian, banyak lagi kawasan sekitar bandar ini mengalami masalah sama dan ini menunjukkan MPPP tidak prihatin keselesaan penduduk. "Ia merbahaya untuk kanak-kanak kerana tapak berkenaan tidak dipagar dan boleh mendatangkan kecederaan kepada mereka yang bermain di situ," katanya ketika melawat tapak terbiar itu.

No comments:

Post a Comment