Friday, March 5, 2010

Lori Terbakar

Tak sedar lori terbakar

Gambar Hiasan

Oleh Khairulmizan Yahya
am@hmetro.com.my
KUANTAN: “Saya hairan mengapa orang ramai melambai di sepanjang jalan sebelum akhirnya menyedari bahagian belakang lori terbakar selepas melihat api sedang marak,” kata Saari Ngah, 50 yang nyaris rentung apabila lori dipandunya terbakar di Jalan Pekan-Kuantan berhampiran Kampung Sungai Soi di sini, semalam. Saari berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika dia memandu dari Pekan dengan membawa muatan kotak terpakai untuk dikitar semula di sebuah kilang di Kemaman, Terengganu. “Ketika sampai di tempat kejadian, saya melihat beberapa orang yang sedang membaiki jalan di situ melambai-lambai ke arah saya sambil menjerit-jerit. “Mulanya saya hairan namun terkejut selepas melihat belakang lori yang dipandu sedang terbakar dan terus berhenti sebelum cuba memadamkan api,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Katanya, dia terpaksa mengoyakkan kanvas yang menutupi belakang lori dengan menggunakan tangan dan mencuba pelbagai cara untuk menghalang api daripada merebak, namun gagal berikutan angin kencang menyebabkan api cepat marak.“Saya percaya kebakaran itu berpunca daripada kanvas terbabit yang terkena ekzos di bahagian belakang kepala lori sebelum merebak ke bahagian muatan. “Apa yang dikesalkan, tiada siapa datang membantu saya ketika itu sehingga seluruh bahagian lori terbakar barulah pekerja membaiki jalan itu datang memancutkan air dari lori tangki mereka. “Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana selamat dan masih berpeluang berjumpa isteri dan lima anak saya,” katanya yang tinggal di Peramu Maju, di sini. Kejadian itu menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas ke arah Kuantan sepanjang hampir tiga kilometer serta kebakaran kecil semak samun di sekitar tempat kejadian akibat percikan api dari lori berkenaan. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Bukit Ubi, Farid Pisri, berkata pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 3.50 petang dan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian. “70 peratus bahagian lori terbabit musnah dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

No comments:

Post a Comment