Saturday, March 6, 2010

Risiko Paling Tinggi

Diacah risiko paling tinggi
Oleh NUR AISHAH MOHD. AMIN
BAGI mendapatkan sudut foto terbaik operator kren di tapak pembinaan, jurugambar Kosmo! Nooradzrene Mohd. Noor atau lebih mesra dengan panggilan Bob memijak satu demi satu anak tangga keluli untuk sampai ke kabin kren. Bukan satu atau dua besi tetapi jumlahnya hampir 150 kerana kabin itu berada pada ketinggian 24 meter atau menyamai bangunan empat tingkat. Atas faktor keselamatan penulis menunggu Bob di bawah.Beberapa meter di kepala Bob, operator kren Nooradzley Mohd. Nor, 35, sudah pun hampir sampai ke kabin kren di tapak pembinaan di Puchong, Selangor itu. Selepas beberapa minit, penulis mendongakkan kepala apabila kelibat kedua-dua mereka keluar dari kabin menuruni anak tangga. Sebaik memijak tanah Bob memberitahu "Nak turun sebenarnya lebih susah." Kenapa? Rupa-rupanya ramai yang tidak pernah terfikir untuk turun dari kabin kren kita perlu sentiasa melihat ke bawah. Berada di ketinggian empat tingkat dengan anak tangga yang menegak rasa gayat sudah menguasai diri. Nooradzley kemudian bersuara: "Bayangkan kren berusia tiga tahun buatan China ini boleh dinaikkan sehingga mencapai ketinggian bangunan 40 tingkat." "Kalau angin bertiup batang besi yang dipanjat itu pun bergoyang. Kalau nak turun bagi yang tak biasa lagilah gayat."

BEKERJA sebagai operator kren sentiasa berdepan dengan risiko sama ada ketika mahu memulakan atau menamatkan tugas.

Bagi operator kren yang berasal dari Kuala Lumpur itu, pengalaman tersebut hanyalah secebis daripada pengalaman yang pernah dilalui selama lebih sepuluh tahun dalam bidang itu. Bukan sehari dua tapi itulah rutin lelaki itu setiap hari selama berbulan-bulan di tapak pembinaan. Sehubungan itu kalau dia bertugas di ketinggian kabin 30 tingkat dia terpaksa membuang air kecil dan besar di dalam kabin kecil tersebut sahaja. Di dalam kabin itu hanya ada alat kawalan tangan yang membuatkan anda seolah-olah sedang memandu kapal terbang. Tetapi, alat kawalan itu berperanan mengawal pergerakan kren.

Pertaruhkan nyawa

"Hendak buat macam mana, kalau dah naik memang tidak larat lagi nak turun dan naik semula. Bayangkan nak panjat kren setinggi 30 tingkat itu sahaja sudah mengambil masa lebih daripada setengah jam. Penat lagi, jadi terpaksalah cari apa-apa yang ada untuk buang air besar," kata Nooradzley. Di sebalik cerita rutin operator kren itu, apakah pula keadaan sebenar pekerjaan atas awan itu sendiri? Tidakkah Nooradzley melihat kerjaya itu penuh dengan risiko? Sambil mengukir senyuman Nooradzley berkata, sebenarnya kalau diikutkan sebaik melangkah masuk ke tapak pembinaan hingga menaiki kren semuanya berisiko. Risiko yang dikatakan itu pula melibatkan nyawa. "Semasa naik kren itu pun dah bahaya. Kren itu tiada penghadang, ia adalah besi kosong yang bergoyang apabila ditiup angin," kata Nooradzley. Sambil memberitahu topi keselamatan adalah alat paling penting sepanjang berada di tapak pembinaan, Nooradzley menambah ruang di dalam kabin yang sempit juga menjadikan proses pertukaran syif agak berbahaya. "Ruang kerja kita sempit sebab kabin hanya boleh memuatkan seorang petugas sahaja. Apabila operator lain naik dan saya turun kami akan berselisih. Itu pun sangat berbahaya kren pasti bergoyang-goyang," katanya yang memulakan kerja seawal pukul 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.

SIGNAL Man berperanan sebagai penunjuk arah kepada operator kren.

Selain itu, kata Nooradzley keadaan di atas kabin yang terdedah juga memungkinkan pelbagai bahaya tanpa diundang. Cerita beliau lagi, sejak menjadi operator kren sedekad lalu, sudah beberapa kali kren disambar petir. Antara kejadian paling berbahaya apabila kilat itu menyebabkan peralatan dan sistem komputer dalam kabin terbakar akibat litar pintas.
"Mujur percikan apinya kecil. Saya duduk diam-diam di dalam kabin. Reda dan berdoa sehingga keadaan selamat. Saya tidak boleh turun sehinggalah ribut petir berhenti kerana jika tidak saya berisiko terkena renjatan jika turun ketika disambar petir," ujar lelaki yang baru berumah tangga tahun lalu. Tambah Nooradzley, tugas operator kren akan dibantu oleh seorang signal man. Dia berperanan sebagai penunjuk arah kepada operator untuk mengendalikan kren.
"Kalau tak ada orang buat isyarat dari bawah ketika kami mengendalikan kren mengguna peralatan dengan sistem komputer di dalam kabin, mungkin kami akan langgar semua benda. Bukan bangunan yang tengah bina, tapi mungkin juga pekerja yang berada di tapak pembinaan," katanya. Selain itu menurut Nooradzley, model dan jenis kren ditentukan mengikut panjang kren kemampuan muatan sesebuah kren mengangkat barang.

Rasa gayat

Difahamkan kebanyakan kren yang ada di negara ini dibeli dari Jerman, China dan Perancis.
Sementara ukuran terpanjang sebuah kren ialah di antara 50 hingga 60 meter dengan kapasiti mengangkut bebanan kira-kira 1.3 tan pada satu-satu masa. Sekiranya sesebuah syarikat membina bangunan yang tinggi seperti Menara Berkembar Petronas, kren akan dibina pada pada aras tertentu bangunan itu seperti di tingkat 30. Walaupun kren dilihat seperti rangka besi, semata-mata tetapi harga bagi setiap kren dianggarkan di antara RM500,000 hingga mencecah berjuta-juta ringgit. Kata Nooradzley, untuk menjadi operator kren individu itu hanya perlu mengambil lesen yang daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) selama empat hari. Selama kursus itu, calon akan dilatih secara terperinci cara-cara pengendalian kren selain ciri-ciri keselamatan ketika berada di dalam kren dan cara mengendalikannya. "Dulu tak ada kursus seperti ini, pengurus projek hanya tawarkan pekerjaan itu jika kita ada pengalaman dan kemahiran. Tapi sejak awal 2000 lalu, NIOSH sudah sediakan kursus itu dengan yuran RM1,600," ujarnya yang mendapat cuti dua hari seminggu. Dalam pada itu, Jamal Yusof, 34, seorang operator kren juga berbangga dengan tugas yang dilakukan itu biarpun ia mempertaruhkan nyawa. Jamal yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini menikmati kehidupan mewah seperti seorang yang berkelulusan ijazah.
"Kerja bahaya macam ini tak ramai orang nak buat, jadi kami buat. Semua risiko kami tanggung sendiri asalkan keluarga dan anak-anak dapat hidup selesa," ujar Jamal sambil memberitahu pendapatan sebulan sebagai operator kren mencecah sehingga RM5,000."Bagi yang ada pengalaman dan mengendalikan kren yang besar, gaji mereka bermula dari RM10,000 ke atas.

NOORADZLEY menceritakan sistem komputer dalam kabin terbakar akibat litar pintas
selepas disambar petir.

Insurans operator kren disediakan oleh majikan. Jika berlaku kemalangan pada operator, majikan akan menanggung segala kos perubatan. Selain gemar dengan budaya kerja bebas sebagai operator kren, Jamal memberitahu, dia mempunyai minat terhadap peralatan mesin.
Bagaimanapun, Jamal tidak nafikan ada perasaan gayat dengan ketinggian pada awal penglibatan kerjaya sebagai operator kren. "Memang setiap hari ada perasaan takut, sebab kita saya tidak tahu apa yang akan terjadi pada hari saya ada di dalam kabin itu. "Peralatan dalam kabin semua sudah pakai sistem elektronik, tinggal lagi kita mengawal bebanan yang diangkut itu sahaja," kata Jamal yang sudah bekerja selama sedekad. Menurut bapa kepada tiga anak itu, di belakang kren terdapat bebanan yang berperanan sebagai pengimbang. Ia berfungsi untuk menstabilkan barang yang diangkut. "Biasanya bebanan yang diletak itu ialah batu konkrit. Ada enam keping batu konkrit dan setiap keping batu konkrit itu beratnya satu tan. "Yang penting mesti seimbang, kalau belakang ringan, barang yang diangkat pula terlalu berat, kren boleh terbalik. Kalau kren itu terbalik, operator kren memang akan melambung sekali," ujar Jamal yang berasal dari Johor Bahru ketika ditemui baru-baru ini. Antara barang-barang yang diangkut menggunakan kren adalah bahan-bahan yang digunakan di tapak pembinaan seperti konkrit, besi dan longgokan sampah di tapak pembinaan. Selain itu, Jamal dan Nooradzley mempunyai pengalaman manis untuk dikongsi bersama. "Kami pernah melihat kemalangan dan kejar mengejar penjenayah dengan pihak berkuasa dari atas kabin. Biasanya kami akan laporkan kepada pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment