Saturday, March 13, 2010

Alahan Bawa Maut

Alahan bawa maut
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
KUALA LUMPUR: Orang ramai yang gemar mendapatkan ubat daripada orang perseorangan atau yang dijual di kedai tepi jalan diingatkan bahawa pengambilan ubat tanpa preskripsi doktor bertauliah boleh menyebabkan alahan kronik sehingga membawa maut. Pegawai Perubatan Am Mediviron TTDI Jaya, Dr Sharifah Abd Ghaffar, berkata setiap pesakit perlu diperiksa terlebih dulu dan sejarah perubatan termasuk alahan kepada jenis ubat perlu diambil kira bagi mengelak kesan sampingan. Beliau berkata, setiap ubat perlu diketahui jenis, kandungan bahan, kesan sampingan dan dos sesuai supaya tidak menyebabkan alahan dan jika berlaku alahan, doktor perlu tahu cara merawatnya. “Apa yang paling ditakuti doktor adalah alahan kerana jika sekadar reaksi alahan biasa tidak mengapa, tetapi jika teruk, ia boleh menyebabkan komplikasi seperti paru-paru bengkak hingga membawa maut. “Orang ramai perlu berhati-hati mengambil ubat kerana setiap ubat yang dihasilkan secara sah melalui pelbagai kajian juga mampu memberikan alahan kepada sesetengah pesakit, inikan pula ubat yang dihasilkan mengikut ramuan sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau mengulas laporan Harian Metro, semalam, mengenai seorang warga emas berlagak ala profesor apabila dikesan merumus ribuan botol ubat sakit sendi dan pil rangsangan seks walaupun langsung tidak mempunyai pendidikan dalam bidang perubatan. Kegiatan ‘profesor gila’ itu cukup berbahaya kerana kebanyakan ubat dihasilkannya menggunakan resipi pelbagai campuran bahan kimia berbahaya yang boleh mengancam nyawa penghidap sakit sendi dan mati pucuk. Hasil kegiatan haramnya, warga emas terbabit mampu memiliki rumah dan deretan kereta mewah dipercayai hasil kegiatan menjual ubat beracun berkenaan. Kegiatan lelaki berusia lewat 60-an itu terbongkar apabila sepasukan pegawai penguat kuasa farmasi Kementerian Kesihatan menyerbu rumahnya di Sungai Petani, Kedah, kelmarin. Dalam operasi jam 9.30 pagi itu, pegawai penguat kuasa farmasi melakukan serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat selepas pemiliknya dikesan menjadi dalang penjualan pelbagai ubat-ubatan tradisional dan rangsangan seks. Dr Sharifah berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira apabila seseorang itu diberi ubat antaranya usia dan penyakit dihidapi pesakit terbabit kerana kebiasaannya golongan yang menghadapi masalah sendi atau mati pucuk adalah golongan berusia, jadi perhatian lebih perlu diberikan supaya keadaan mereka tidak mudarat.

No comments:

Post a Comment