Tuesday, March 23, 2010

Anak Tercampak

Cemas empat anak tercampak
Oleh Khairul Hamizy Ramlee
KUALA TERENGGANU: “Sukar untuk saya bayangkan apabila melihat empat anak tercampak ke tengah jalan menerusi tingkap kereta manakala suami, Muhammad Razali Manan, 46, pula berlumuran darah di tempat pemandu. “Saya bergegas keluar dari kenderaan yang remuk dan mengheret mereka ke bahu jalan,” kata Latifah Majid, 39, menceritakan detik cemas kemalangan yang menimpa suami dan enam anaknya di Kampung Kelulut, Marang, Selasa lalu.
Kejadian kira-kira jam 7 malam itu berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan ke Kuantan dan singgah di Kampung Kelulut, Marang untuk membeli keropok lekor sebelum Proton Wira dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda dari belakang ketika membuat pusingan ‘U’. Ibu kepada enam anak yang tidak cedera dalam kemalangan itu ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkata dia tidak menduga percutian ke rumah ibunya di Kampung Badak, Bachok, Kelantan berakhir tragedi. Menurutnya, suaminya menerima lebih 200 jahitan dan doktor terpaksa menjalankan pembedahan plastik di muka manakala bahu dua anaknya patah serta luka di beberapa bahagian badan. Katanya, dua anaknya iaitu, Nur Farisa Nadia, 18, dan Muhammad Iqbar, 12, serta suami, kini masih dirawat di HSNZ manakala empat lagi anaknya dirawat sebagai pesakit luar. “Ketika melalui jalan berkenaan untuk pulang ke rumah di Sungai Isap, Kuantan, anak memberitahu mereka mahu makan keropok dan suami singgah di Kelulut untuk memenuhi permintaan mereka. “Selepas beberapa minit singgah di kedai keropok terbabit, kami menaiki kereta dan suami membuat pusingan ‘U’ untuk ke Kuantan dan tidak menyedari kehadiran kenderaan lain dari arah belakang sebelum merempuh Proton Wira dinaikinya,” kata isteri kepada peniaga ikan terbabit. Latifah memberitahu ketika kemalangan dia duduk bersebelahan suaminya dan kejadian itu berlaku dengan pantas serta tidak sempat memberi bantuan kepada pasangannya yang parah di muka itu kerana ingin menyelamatkan empat anaknya yang tercampak di tengah jalan. Katanya, dia bersyukur ketika anaknya tercampak tiada kenderaan lain melalui jalan terbabit dan keadaan itu membolehkannya mengalihkan seorang demi seorang anaknya ke bahu jalan sebelum dibantu orang ramai. “Ambulans tiba selepas beberapa minit dihubungi, semua anak dibawa ke HSNZ untuk rawatan manakala suami yang luka serius di muka dan mengalami pendarahan ditempatkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke wad pembedahan lelaki selepas menerima lebih 200 jahitan,” katanya. Dia berkata, dua anaknya yang parah kini di bawah pemerhatian doktor kerana kecederaan sama. “Walaupun kenderaan kami remuk akibat dirempuh, saya bersyukur kerana tiada seorang pun ahli keluarga kehilangan nyawa dan saya percaya ada hikmah di sebalik tragedi ini,” katanya. Sementara itu, jurucakap Polis Bahagian Trafik Balai Polis Daerah Marang, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil memberikan keterangan.

No comments:

Post a Comment