Tuesday, March 9, 2010

Mati Langgar Lembu

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
RAWANG: Gara-gara seekor lembu melintas di lebuh raya, tiga kenderaan terbabit kemalangan menyebabkan seorang maut dan lima lagi cedera di Kilometer 445, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Rawang, awal pagi semalam.

ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat wanita yang maut dalam kemalangan di hadapan SMT Teknik Sungai Buloh, semalam.

REMUK...kereta Perodua Viva yang terbabit merempuh lembu di Lebuhraya Utara-Selatan dekat susur keluar Rawang arah utara, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, lembu susu seberat 100 kilogram itu turut mati.
Ketika kejadian, ternakan itu dikatakan melintasi lebuh raya di laluan laju sebelum dirempuh sebuah kereta BMW 5 Siri dari arah Kuala Lumpur dipandu seorang lelaki berusia 40-an menyebabkan lembu itu terpelanting sejauh tujuh meter ke kiri lebuh raya. Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata akibat rempuhan itu kereta terbabit gagal dikawal sebelum terbalik.
Pada masa sama, katanya, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Frontier dinaiki tiga lelaki berusia 30-an terlanggar pembahagi jalan dalam cubaan mengelak kereta BMW yang terbalik itu. “Selepas itu, sebuah lagi kereta, iaitu Perodua Viva gagal mengelak sekali lagi melanggar lembu berkenaan hingga menyebabkan penumpang di tempat duduk sebelah kiri parah dan maut di tempat kejadian. “Mangsa seorang pesara berusia 55 tahun. Mayatnya yang tersepit dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Rawang. “Lembu itu juga mati serta-merta di tempat kejadian akibat rempuhan kedua itu,” katanya. Bagaimanapun, katanya, pemandu kereta BMW, pemandu kenderaan pacuan empat roda serta dua penumpang dan pemandu kereta Perodua Viva hanya cedera ringan. Difahamkan, kemalangan itu turut menyebabkan lebuh raya itu mengalami kesesakan luar biasa lebih sejam sebelum tempat kejadian dibersihkan Plus Expressways Berhad (Plus). Dalam kejadian berasingan kira-kira jam 7.25 pagi semalam, seorang pekerja kantin Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sungai Buloh maut dirempuh lori satu tan tanpa muatan ketika melintas jalan di hadapan sekolah itu. Mangsa, seorang wanita warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Mistijah, 32, mati di tempat kejadian kerana parah termasuk kepalanya hampir pecah. “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk dibedah siasat. Difahamkan, mayat mangsa sudah dituntut suaminya. “Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran,” katanya. Menurutnya, polis turut merayu supaya individu yang mempunyai binatang ternakan tidak melepaskan sesuka hati tanpa pengawalan bagi mengelak tragedi sama berulang.

No comments:

Post a Comment