Saturday, March 13, 2010

Bekas Majikan Belasah, Ugut

Bekas majikan belasah, ugut
Gambar Hiasan
Oleh Hadzlihay Hassan dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Ibarat kacang lupakan kulit. Itu yang berlaku kepada seorang timbalan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat apabila dibelasah bekas majikan dan orang suruhannya ketika mahu berbincang mengenai tunggakan gajinya, Jumaat lalu. Mangsa yang berusia 30-an itu pernah membantu bekas majikannya membuat pinjaman bank bernilai RM50 juta dan dijanjikan komisen pada Februari tahun lalu. Bagaimanapun, janji hanya tinggal janji. Malah, mangsa juga tidak dibayar gaji untuk tempoh beberapa bulan menyebabkan dia datang ke pejabat bekas majikannya itu untuk berbincang. Selain itu, dia turut membuat laporan di Pejabat Perhubungan Industri mengenai masalah dihadapi, tetapi bekas majikannya masih berdegil dan enggan membayar tunggakan gajinya. Sejurus meminta pandangan rakannya, mangsa menghubungi bekas majikannya itu untuk berbincang dan menyelesaikan masalah mereka secara baik. Bekas majikannya itu bersetuju mengatur pertemuan di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang dan mangsa ditemani dua rakannya pergi ke restoran dijanjikan kira-kira jam 8 malam. Menurut sumber, kira-kira sejam menunggu, bekas majikannya itu tiba bersama empat lelaki lain dipercayai orang suruhannya, namun dia enggan berbincang dalam restoran berkenaan. “Malah, bekas majikannya itu turut mengeluarkan kata-kata dengan nada keras memberitahu yang dia akan ‘mengutip’ mangsa dan turut menakutkannya dengan mendakwa dia tahu rumah mangsa. “Selain itu, bekas majikannya turut mengugut akan melakukan sesuatu kepada ahli keluarga mangsa membuatkan mangsa mula bimbang,” katanya. Sumber berkata, ketika itu, beberapa lagi rakan bekas majikan mangsa datang ke restoran sama membuatkan suasana bertambah kecoh. “Ketika itu hampir 20 orang rakan termasuk pengawal peribadi bekas majikannya tiba dan mereka terus menarik mangsa menghampiri kereta. “Mangsa cuba ditolak masuk dalam kenderaan, tetapi dia sempat menjerit meminta pertolongan rakan yang kemudian menghalang tindakan itu,” katanya. Rakannya cuba menenangkan keadaan dan meminta supaya mereka berbincang di balai polis, namun bekas majikannya itu enggan.
“Ketika itu, mangsa meloloskan diri dan berlari masuk ke restoran, tetapi dia dipukul beberapa orang suruhan bekas majikannya menggunakan cota. “Selepas puas melihat penderitaannya, bekas majikannya itu memberi amaran dan memberitahu yang mangsa dilepaskan dan jika masih berdegil dia akan melakukan sesuatu yang lebih buruk,” katanya. Mangsa yang takut ugutan itu membuat laporan polis.

No comments:

Post a Comment