Monday, March 29, 2010

Wira Muda

Abang jadi ‘Superman'
Gambar Hiasan
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
IPOH: Remaja lelaki berusia 13 tahun bagaikan Superman mengharungi api yang marak untuk menyelamatkan empat adiknya berusia antara tiga hingga 11 tahun selepas kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran, di Rapat Setia, kira-kira 4 pagi semalam. Selepas dikejutkan ibu, remaja berkenaan bergegas mengejutkan semua adiknya sebelum mengumpulkan mereka di dapur rumah selepas sebuah bilik serta ruang tamu rumah marak dijilat api. Tanpa memikirkan keselamatan diri, dia mendukung adik bongsunya berusia enam dan tiga tahun serta mengheret dua lagi adiknya berusia sembilan dan 11 tahun keluar melalui pintu depan rumah biarpun terpaksa berdepan kesukaran kerana api marak dan asap tebal. Dalam kejadian itu, sebuah rumah yang didiami sepasang suami isteri bersama lima anak mereka musnah dijilat api selain memusnahkan sebuah kereta, lori dan motosikal milik keluarga berkenaan. Remaja terbabit, Mohd Azraey Normansor, berkata sebaik dikejutkan ibunya, dia segera bangun dan mengejutkan adiknya yang tidur dalam sebuah bilik manakala ibunya, Norlina Mat Lias, 34, cuba menyelamatkan beberapa dokumen. “Saya bernasib baik kerana tidak cedera. Kebakaran berlaku sangat pantas dan saya bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya, semalam.
Sementara itu, Norlina berkata, dia nekad membawa keluar sebuah kenderaan pacuan empat roda miliknya bagi mengelak dari terbakar namun gagal mengalihkan sebuah lagi kenderaan.
Suaminya, Normansor Mat Jini, 50, yang juga pengusaha kilang memproses ayam, berkata dia keluar bekerja kira-kira jam 3 pagi. “Isteri hubungi saya. Sebaik tiba kira-kira jam 5 pagi, rumah berkenaan sudah musnah terbakar namun saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak selamat,” katanya. Sementara itu, Pegawai Kanan II, Bomba dan Penyelamat Balai Ipoh, Mahir Saad berkata, pihaknya dengan tiga jentera serta 16 anggota tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit selepas dihubungi kira-kira 4.15 pagi dan dapat memadamkan kebakaran lima minit kemudian. Katanya, sebaik pasukannya tiba, rumah setingkat itu sudah 90 peratus terbakar, namun usaha memadam kebakaran terus dilakukan.

No comments:

Post a Comment