Saturday, March 20, 2010

Konkrit Terbang

Konkrit terbang

Gambar Hiasan

Oleh Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my
KOTA BHARU: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang berlaku kepada seorang guru wanita Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) yang nyaris maut sebaik dirinya dihempap serpihan batu konkrit, petang semalam. Kejadian kira-kira jam 4.30 petang berlaku ketika mangsa, Nor Shuhada Lee Abdullah, 41, sedang membuang sampah berdekatan bangunan Perkim dua tingkat terbabit. Peristiwa mencemaskan itu berlaku selepas tangki simen yang terletak berdekatan tapak projek Bazar Tok Guru rebah dan mengenai sebahagian bangunan Perkim menyebabkan serpihan konkrit sebesar dua pemeluk jatuh di situ. Situasi itu menyebabkan guru terbabit yang berada di lokasi kejadian jatuh tertiarap selepas badannya terkena serpihan konkrit bangunan dua tingkat terbabit ketika berada di tepi kanan bangunan itu. Dia yang luka di lutut dan lenguh-lenguh di bahagian anggota badan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dengan menaiki sebuah ambulans untuk mendapatkan rawatan. Menceritakan detik cemas itu, Nor Shuhada berkata, sebelum kejadian dia sibuk membersihkan bangunan terbabit berseorangan sebagai persiapan untuk sesi pembelajaran yang akan bermula Ahad ini. Katanya, sebaik selesai menyapu dia keluar untuk membuang sampah di hadapan bangunan Perkim berkenaan dan tiba-tiba terdengar dentuman kuat yang jatuh berhampirannya. “Dengan tidak semena-mena badan saya terus berada dalam keadaan tertiarap selepas terkena serpihan konkrit bangunan yang jatuh sebaik dihempap tangki simen di kawasan berkenaan. “Tanpa memikirkan apa-apa, saya bangun dari lokasi terbabit untuk menyelamatkan diri, walaupun ketika itu habuk simen memenuhi ruang kawasan berkenaan,” katanya di Balai Polis Kota Bharu, semalam. Menurutnya, dalam keadaan kelam-kabut, dia turut nyaris terpijak wayar elektrik. Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan petang semalam dan siasatan lanjut masih dilakukan.

No comments:

Post a Comment