Thursday, March 18, 2010

Nasihat Pelajar Utamakan Keselamatan

PPD nasihatkan pelajar utamakan keselamatan
Gambar Hiasan
KUALA KRAI - Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mengingatkan semua pelajar di daerah ini supaya mengutamakan keselamatan semasa menjalankan sebarang aktiviti termasuk pada musim cuti persekolahan. Pegawai Pelajaran Daerah, Zulkifli Mohd Noor berkata, walaupun mereka bebas melakukan apa jua aktiviti pada musim cuti sekolah, faktor keselamatan perlu sentiasa diberikan keutamaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Menurutnya, ibu bapa juga perlu mengawasi pergerakan anak-anak dan mengambil tahu bentuk aktiviti yang mereka lakukan untuk menghabiskan cuti persekolahan. “Kalau mereka (pelajar) nak bermain waktu cuti, tidak ada masalah tetapi biarlah pada masa yang sesuai dan lebih penting, mengutamakan keselamatan kerana malang tidak berbau. “Saya juga nak nasihatkan pelajar agar memanfaatkan musim cuti sekolah dengan aktiviti berfaedah yang dapat memberi impak kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tragedi yang mengorbankan dua pelajar berusia 13 tahun dalam kejadian lemas di Sungai Lebir, dekat Kampung Manjor, Manek Urai, kelmarin. Kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu meragut nyawa pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pahi, Wan Suzaimi Wan Ali dan Muhammad Irfan Mustafha, juga pelajar tingkatan satu dari SMK Sultan Yahya Petra 1, dekat sini. Zulkifli yang turut berada di tempat kejadian ketika mayat dua pelajar itu ditemui kelmarin berkata, mewakili seluruh warga PPD Kuala Krai, dia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka bersabar menerima hakikat apa yang sebagai ujian daripada Allah SWT. Dalam pada itu, beliau turut meminta ibu bapa terutama yang mempunyai anak di prasekolah, tahun 1 dan tahun 2 agar memastikan anak-anak mereka mengulangkaji pelajaran sepanjang musim cuti khususnya bila cuti panjang. Menurutnya, proses pembelajaran dan latih tubi di rumah terutama pada waktu malam amat penting memandangkan ramai pelajar di peringkat awal persekolahan dikesan gagal mengingati apa yang dipelajari walaupun selepas bercuti dua hari pada hujung minggu. Katanya, sokongan ibu bapa dalam membantu pelajar mengulangkaji pelajaran di rumah amat penting kerana rata-rata pelajar di daerah ini bergantung sepenuhnya kepada guru dan tidak ada kelas tuisyen seperti pelajar di bandar. “Banyak kes yang kita (PPD) kesan membabitkan pelajar terutama di peringkat permulaan ini yang baru boleh membaca dan menulis tetapi bila sahaja cuti walaupun dua hari, mereka sudah lupa bila balik semula ke sekolah kerana tidak berlaku proses pembelajaran di rumah,” kata Zulkifli.

No comments:

Post a Comment