Friday, March 26, 2010

Maut Terkejut Dalam Lombong

Maut terkejut dalam lombong
Gambar Hiasan
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
BATU GAJAH: Terkejut dan sedih selepas mengetahui ibu mentuanya tiada harapan untuk sembuh akibat serangan strok dipercayai menjadi punca seorang menantu lelaki panik sehingga motosikal dinaikinya gagal dikawal sebelum terbabas dan tercampak ke sebuah lombong tinggal kira-kira 50 meter dari tempat kerjanya.M Muniandy, 45, dari Desa Changkat, di sini, yang turut menghidap darah tinggi ditemui lemas telepas tercampak di lombong tinggal di Jalan Changkat Larang berhampiran Kawasan Perindustrian Batu Gajah 2, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam. Isteri mangsa, U Poongothai, 40, berkata pada jam 9 pagi, dia bersama suami melawat ibunya, S Seenama, 56, di Hospital Batu Gajah (HBG). Katanya, beberapa minit kemudian, suaminya meninggalkannya di hospital dan menuju ke tempat kerjanya menaiki motosikal. “Dia baru sebulan lebih bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang konkrit di kawasan perindustrian itu dan sepatutnya memulakan tugas pada jam 11 pagi tadi (semalam),” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad, berkata ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya sebelum motosikal dinaiki tiba-tiba terbabas dan tercampak di lombong tinggal berkenaan. Katanya, mayat Muniandy ditemui tertiarap di dasar lombong sedalam kira-kira 11 meter empat jam selepas kejadian dan dipercayai tersangkut di bawah pokok. “Mangsa yang dipercayai menghidap penyakit darah tinggi dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke tepi lombong sebelum terhumban dengan motosikalnya. “Dia yang dikatakan tidak pandai berenang gagal menyelamatkan diri dan tenggelam ke dalam lombong, sebelum ditemui kira-kira jam 1.50 tengah hari,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. Najib berkata, mayat mangsa ditemui dua penyelam Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh yang memulakan pencarian kira-kira jam 11.30 pagi sebelum menemui mangsa dua jam kemudian. Sementara itu, Eksekutif Worldwide Society Services Sdn Bhd, Ahmad Suhaimi Abdul Karim yang juga majikan mangsa berkata, dia mendapat tahu berita kemalangan itu selepas dimaklumkan pekerja kontrak kilang berkenaan yang ternampak motosikal dinaiki Muniandy terbabas sebelum tercampak ke dalam lombong. Katanya, Muniandy meminta izin daripadanya kelmarin untuk melawat ibu mentuanya di hospital.

No comments:

Post a Comment