Monday, March 15, 2010

Pesawat Jatuh Laut

Pesawat jatuh laut

Oleh Hamzah Osman
am@hmetro.com.my

LANGKAWI: “Pesawat itu seolah-olah meluncur dengan senyap di udara sebelum menjunam ke laut,” kata Ulong Ahmad Shahidan, 43, saksi kejadian pesawat sekolah penerbangan HM Aerospace Sdn Bhd (HM Aerospace), yang cuba melakukan pendaratan cemas sebelum menjunam ke laut di pantai Pasir Hitam, dekat sini, pagi semalam.

ROSAK...pesawat Diamond DA-40 TDI syarikat penerbagan HM Aerospace yang terhempas ke dalam laut, semalam.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, jurulatih penerbangan warga Perancis, Kapten Guillaume, 38, dan seorang pelatih warga tempatan yang dikenali Tea, 26, terselamat selepas kedua-duanya sempat terjun dari pesawat sebelum berenang ke pantai dan diselamatkan nelayan. Nahas itu berlaku kira-kira 40 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini, bagi latihan penerbangan biasa. Pesawat jenis Diamond DA-40 TDI dua tempat duduk itu dilaporkan mengalami masalah enjin dan dikatakan terbang rendah melakukan pendaratan kecemasan sebelum menjunam ke laut, kira-kira 500 meter dari pangkalan nelayan pantai Pasir Hitam di sini. Ulong ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia berada di pangkalan nelayan itu bersama rakan membaiki pukat sebelum melihat pesawat itu terbang rendah. “Ia meluncur senyap ketika melintasi Pulau Pasir menghala ke arah kilang Lafarge Cement di Teluk Ewa dengan bahagian kepala menjunam. “Nasib baik ketika kejadian, tiada bot nelayan melalui kawasan itu yang sebelum ini agak sibuk,” katanya yang bekerja sebagai nelayan pantai lebih 30 tahun lalu. Saksi lain, Adenan Saod, 57, berkata sejurus selepas pesawat menjunam ke laut, dua juruterbang yang memakai jaket keselamatan timbul ke permukaan air dan berenang ke arah pantai. Katanya, beliau kebetulan berada di kedai makan berhampiran pantai bersama tiga rakan bergegas mendapatkan sebuah bot gentian kaca sebelum menghampiri kedua-dua mangsa. “Kami mencapai tangan kedua-dua juruterbang sebelum menarik mereka ke bot dan membawa ke pantai. Seorang penduduk menghantar mangsa ke Hospital Langkawi untuk rawatan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Ishak Hasan, berkata pesawat dalam latihan penerbangan itu mengalami kerosakan enjin ketika pada ketinggian 3,000 meter sebelum juruterbang cuba mendarat cemas di kawasan laut.

No comments:

Post a Comment