'Kenapa dia diam'
Oleh Mohd Fauzi Abdullah
PEKAN: “Ketika hendak mengeluarkan wanita yang tersepit di tempat duduk penumpang depan, dia berkali-kali bertanya keadaan pemandu di sebelahnya yang kelihatan tak bergerak lagi,” kata Ketua Operasi Menyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Jasmiat Gusdi.Bagaimanapun, katanya, anggota pasukan penyelamat itu hanya mampu mendiamkan diri kerana tidak sampai hati memberitahu wanita berkenaan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria yang dipercayai suaminya sudah meninggal dunia ketika itu.Wanita berkenaan bertanya demikian ketika usaha mengeluarkannya dari kenderaan yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan meragut nyawa lima sekeluarga di Kilometer 87 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Paloh Hinai di sini, pagi semalam.Kemalangan kira-kira jam 7.45 pagi itu membabitkan MPV berkenaan dengan sebuah treler tanpa muatan.Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai guru penolong kanan sebuah sekolah di Muar, Johor, yang juga pemandu Naza Ria terbabit, Roland Wee Seng Hock, 56, bersama dua anaknya, Josh Wee, 23, dan Jelyn Wee, 16, serta ibu mentua, Lim Kim Boon, 79. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian.Seorang lagi anak mangsa, Jasinth Wee, 18, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan (ICU) Hospital Muadzam Shah, Rompin. Isteri mangsa yang berusia 54 tahun, Chew Chin Loi serta dua anaknya, Jemima Wee dan Josiah Wee, masing-masing berusia 17 dan 13 tahun dilaporkan cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.Jasmiat berkata, ketika tiba di tempat kejadian, beliau mendapati MPV berkenaan berada kira-kira tiga meter dari treler terbabit dan hanya dua mangsa masih berada di tempat duduk masing-masing iaitu pemandu serta penumpang di sebelahnya. “Mereka tersepit dalam Naza Ria itu. enumpang lain, termasuk yang terbunuh dan cedera sudah dikeluarkan orang ramai,” katanya.Menurutnya, anggotanya mendapati seorang lelaki yang berada di tempat duduk pemandu sudah tidak bernyawa manakala wanita di sebelahnya masih sedar, tetapi tidak mampu mengeluarkan suara.“Namun ketika anggota saya hendak mengeluarkannya, wanita itu berkali-kali bertanya mengenai keadaan lelaki di tempat duduk pemandu yang matanya sudah tertutup dan sudah tidak bergerak.“Kami yang mengetahui lelaki itu sudah tidak bernyawa, hanya mampu mendiamkan diri kerana tidak sanggup berterus-terang, selain bimbang wanita berkenaan akan lebih trauma.“Sebaliknya, saya memaklumkan kepadanya mungkin dia (pemandu) pengsan dan akan mengeluarkannya kemudian. Bagaimanapun, wanita itu masih bertanya dengan suara perlahan ‘kenapa dia diam?’,” katanya.Menurut Jasmiat, anggotanya terpaksa mengeluarkan wanita itu dengan berhati-hati kerana dipercayai tangan dan kaki kanannya patah akibat tersepit dalam kenderaan yang remuk itu.Beliau berkata, anggotanya berusaha menenangkan wanita itu dengan memintanya bersabar dan memberi kerjasama ketika operasi mengeluarkannya daripada kenderaan berkenaan.Pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira satu jam bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum mereka dibawa ke hospital.Menurut Jasmiat, tujuh anggotanya terbabit dalam operasi menyelamat itu. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kenapadiadiam/Article
No comments:
Post a Comment