Wanita dipaksa bogel
Gambar Hiasan
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md DeninKUALA LUMPUR: Bukan saja diculik selama lebih empat jam malah seorang pengurus syarikat turut menempuh saat memalukan apabila ditelanjangkan tiga penjenayah sebelum tubuh bogelnya itu dirakam menggunakan kamera dari pelbagai posisi.Tindakan mengambil gambar bogel mangsa dilakukan suspek bertujuan menjadikan rakaman terbabit sebagai ‘aset’ untuk mengugut mangsa supaya tidak membuat laporan polis selain dijadikan modal memeras mangsa membayar wang dari semasa ke semasa. Sumber polis berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa berusia 35 tahun memberhentikan keretanya berhampiran Stesen Bas Pekeliling, di sini, kira-kira jam 8.30 malam kelmarin. “Mangsa yang ketika itu bersendirian dalam kenderaan bagaimanapun terkejut apabila seorang lelaki tidak dikenali dipercayai warga Pakistan tiba-tiba meluru masuk ke dalam keretanya sebelum mengacukan parang. “Suspek kemudian mengarahkan mangsa supaya mengikut arahan dengan memandu ke arah Klang, Selangor. Mangsa tidak berani melawan berikutan suspek berulang kali mengacukan parang ke tubuhnya,” katanya. Difahamkan, mangsa kemudian diarah masuk ke sebuah bangunan yang tidak dikenal pasti lokasinya sebelum ‘disambut’ tiga lagi lelaki. “Suspek mengarahkan mangsa menyerahkan semua barang berharga dimiliki ketika itu antaranya kamera video, lesen memandu, kad pengeluaran wang automatik (ATM), wang tunai RM200, telefon bimbit dan komputer riba. “Mereka kemudian memaksa mangsa memberikan nombor PIN kad ATM terbabit sebelum salah seorang daripada mereka pergi ke bank untuk mengeluarkan wang mangsa sebanyak RM800,” katanya. Menurutnya, kumpulan penjenayah terbabit bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jumlah wang diperoleh sebelum mengarahkan mangsa menghubungi kenalannya dan memasukkan wang RM1,000 ke akaun bank diberikan. “Mangsa yang bimbang dicederakan terpaksa akur dengan arahan itu sebelum rakannya bersetuju membantu dengan memasukkan sejumlah wang diminta tidak lama kemudian. “Suspek kemudian sekali lagi mengeluarkan wang itu. Sebaik mendapat wang itu, mangsa diarah berbogel sebelum gambarnya dirakam,” katanya. Menurutnya, suspek memberi amaran gambar bogel itu akan disebarkan menerusi Internet sekiranya mangsa membuat laporan polis.“Suspek kemudian mengarahkan mangsa masuk dan duduk di bahagian belakang keretanya sebelum memandu ke arah Lebuhraya Persekutuan. “Tiba di satu kawasan, semua suspek turun dari kereta dan meninggal mangsa bersendirian. Mangsa kemudian pulang ke rumah tanpa membuat sebarang laporan polis,” katanya. Menurutnya, mangsa bagaimanapun terkejut apabila suspek tiba-tiba menghubunginya semula kira-kira jam 10.30 pagi semalam dan mahu wang RM1,000 lagi. “Suspek meminta mangsa memasukkan wang itu ke dalam satu akaun bank sekiranya tidak mahu gambar bogelnya disebarkan. “Mangsa yang tertekan dengan tindakan itu selain kerugian RM5,000 akhirnya mengambil keputusan nekad membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitadipaksabogel/Article
No comments:
Post a Comment