Bayi lemas dalam baldi
Gambar Hiasan
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
SEREMBAN: Seorang bayi lelaki berusia 15 bulan maut selepas dipercayai lemas dalam baldi berisi air ketika berkunjung bersama keluarga rumah saudaranya di Taman Bukit Sri Senawang, dekat sini, pagi semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, bayi malang itu, B Thenasaraaj dipercayai bermain-main dalam bilik air di rumah berkenaan. Thenasaraaj sebelum itu dimandikan ibunya dan dia dikatakan berpatah balik ke bilik air ketika ibunya berada di ruang tamu rumah berkenaan. Mangsa ditemui dalam baldi bilik air rumah oleh ibunya yang mencarinya selepas menyedari kehilangannya dan ketika ditemui bayi berkenaan sudah tidak sedarkan diri akibat lemas. Mangsa dikejarkan ke sebuah klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan kecemasan sejurus selepas ditemui, namun gagal diselamatkan. Bapa saudara mangsa, Elumalai Pillai, 32, berkata Thenasaraaj bersama ahli keluarganya yang menetap di Selangor berkunjung ke rumahnya untuk bercuti sejak Sabtu lalu. Dia yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, kebetulan dia pulang ke rumah untuk makan tengah hari dan dimaklumkan kejadian menimpa mangsa. “Tidak dapat dipastikan bagaimana anak saudara saya itu boleh lemas dalam baldi berisi air,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam. Beliau berkata, walaupun sedih dia menerima kejadian yang menimpa anak saudaranya itu sebagai suratan takdir dan reda atas apa yang berlaku. Menurutnya, keluarga mangsa sering datang ke rumahnya untuk bercuti dan dijangka pulang beberapa hari lagi. Usaha wartawan menemubual ibu dan bapa mangsa gagal apabila mereka masih bersedih dengan kematian anak bongsu mereka. Suasana pilu menyelubungi bilik mayat HJTS apabila ahli keluarga bayi malang itu meratapi pemergiannya.Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat HTJS untuk dibedah siasat dan diserahkan kepada ahli keluarganya sebaik bedah siasat selesai dilakukan. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusof Awang yang dihubungi mengesahkan kejadian berkata, kes berkenaan tidak membabitkan sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan mati mengejut (SDR). Katanya, bedah siasat mendapati bayi berkenaan mati akibat lemas. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayilemasdalambaldi/Article
No comments:
Post a Comment