'Saya boleh lemas ibu?'
Oleh Adnan Mohamad am@hmetro.com.myPASIR MAS: “Apabila saya larang dia bermain dekat perigi, dia bertanya saya sama ada dia boleh lemas atau tidak jika terjatuh ke dalamnya,” kata Umi Kalsom Ahmad, 31, mengimbas perbualan dengan anaknya, Mohd Aiman Arif Mohd Pelle, 6, sebelum kanak-kanak berkenaan ditemui lemas bersama dua pupunya berusia lima tahun di perigi terbabit, kelmarin.Umi Kalsom berkata, dia melarang Aiman ke situ kerana perigi sedalam tiga meter di Kampung Tok Perah, Tok Uban itu bahaya disebabkan tiada penghadang, tetapi akhirnya anak dan anak saudaranya, Danny Haizat Che Musa, ditemui lemas di dalamnya.Mayat kedua-dua mereka ditemui jam 11.30 pagi oleh bapa saudara Danny yang hendak mandi di perigi tanah liat terbabit berikutan masalah bekalan air di kampung berkenaan sejak sebulan lalu.Umi Kalsom berkata, pada jam 9.30 pagi kelmarin, anak kedua daripada tiga beradik itu meminta 50 sen untuk membeli aiskrim dan memberitahu dia mahu bermain dengan Danny.“Sebelum dia keluar, saya berpesan jangan bermain jauh dan jangan ke perigi itu, tapi saya tak sangka ini terjadi kepadanya dan Danny,” katanya sambil menambah anaknya tidak pernah ke perigi itu yang terletak 400 meter dari rumahnya.Dia berkata, ketika melihat beberapa penduduk kampung datang ke rumahnya dan bertanya sama ada Mohd Aiman ada di rumah kerana ada kanak-kanak lemas di perigi itu, hatinya berdegup kencang. “Apabila ke sana dan melihat selipar dan aiskrim dalam beg plastik yang disangkut pada pokok, hancur luluh hati saya kerana saya tahu itu anak saya,” katanya.Sementara itu, ibu Danny, Jabidah Ismail, 47, berkata dia menyangka anak bongsunya itu keluar bersama suaminya, Che Musa Hamzah, 51. “Saya tak sangka ini yang terjadi kepada kedua-dua mereka,” katanya.Dia berkata, seorang saudaranya yang hendak mandi di perigi terbabit terkejut apabila melihat mayat kanak-kanak terapung di dalamnya.“Dia terjun ke dalam perigi berkenaan dan cuba menyelamatkan mereka, tapi gagal dan tak sangka kedua-dua kanak-kanak itu saudaranya,” katanya.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Haliluddin Rahim ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.Kedua-dua kanak-kanak terbabit dikeluarkan penduduk kampung sebelum jenazah mereka dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayabolehlemasibu_/Article
No comments:
Post a Comment