Thursday, June 24, 2010

Mati Terminum Penggilap Racun

Menangis minum racun
Oleh Ahmad Othman
KOTA TINGGI: “Anak saya terdengar Danis menangis di dapur lalu bergegas ke sana untuk melihat apa yang berlaku. Ketika itu, Danis memegang setin minuman.“Apabila ditanya mengapa dia menangis, Danis hanya menunjukkan ke arah sebotol air mineral tidak jauh dari tempat dia duduk. Menyedari Danis terminum racun, anak saya terus mencuci mulutnya beberapa kali, tapi budak itu tetap menangis sehingga dua kali dia kejang,” kata nenek kepada Nur Danis Fareel Abdul Rahman, dua tahun, yang meninggal dunia dipercayai akibat terminum cecair penggilap logam, pagi semalam. Dalam kejadian jam 11 pagi di Taman Seri Saujana di sini, nenek mangsa yang hanya dikenali sebagai Asmawati memberitahu, sejurus kejadian, dia teringat baru-baru ini anak lelakinya ada membawa pulang cecair penggilap gelang tangan dan mengesyaki Danis terminum bahan kimia berkenaan. Selepas itu, katanya, anak perempuannya berkali-kali membilas mulut kanak-kanak berkenaan dengan air tetapi cecair terbabit mungkin sudah bertindak balas sehingga akhirnya mangsa mengalami kekejangan. “Menyedari Danis terminum cecair beracun, saya terus meminta bantuan jiran menghantarnya ke klinik berhampiran. Ketika menerima rawatan, petugas klinik itu menghubungi polis yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada hospital. “Bagaimanapun, petugas perubatan hospital yang sampai tidak lama kemudian mengesahkan cucu kesayangan saya ini sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT). Menurut Asmawati, sehari sebelum kejadian, anak lelakinya membawa pulang sejenis cecair untuk menggilap gelang tangan yang dikatakan diperolehnya daripada seorang rakan dan kandungannya tidak banyak iaitu hanya kira-kira satu penutup botol air mineral. Wanita itu bagaimanapun tidak tahu bagaimana cucunya mendapatkan cecair terbabit. “Danis anak keempat daripada lima beradik berusia antara sembilan bulan hingga sembilan tahun. Danis dan dua lagi adik beradiknya di bawah jagaan saya. “Cucu sulung dan yang ketiga pula di bawah jagaan ibu bapa mereka di Ulu Tiram. Ketiga-tiga cucu yang berada di bawah jagaan saya ini diambil ibu bapa mereka setiap hujung minggu,” katanya. Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot ketika ditemui mengesahkan laporan kematian kanak-kanak berkenaan. “Polis masih menunggu hasil bedah siasat sebelum membuat kesimpulan punca kematian mangsa. “Pada masa sama, polis menasihatkan ibu bapa atau ahli keluarga tidak meletak atau menyimpan bahan kimia, racun dan sebagainya yang berbahaya kepada kanak-kanak di tempat tidak sepatutnya demi keselamatan anak kecil,” katanya http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menangisminumracun/Article

No comments:

Post a Comment