Wednesday, June 16, 2010

Nyaris Maut

Empat pemain golf nyaris temui ajal
Gambar Hiasan
KOTA BHARU - Empat peserta kejohanan golf cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki dari Kuala Lumpur merempuh sebuah kedai di Kampung Kadok, dekat sini, awal pagi semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi semalam keempat-empat mangsa termasuk seorang lelaki cedera dan semua dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.Kejadian berlaku ketika pemandu MPV terbabit yang berusia 26 tahun dipercayai dalam keadaan mengantuk dan cuba memotong sebuah kenderaan lain yang datang dari arah yang sama.Pemandu terbabit yang berasal dari Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor dikatakan hilang kawalan lalu merempuh kedai yang berada di kanan jalan.Kejadian disedari seorang penduduk kampung, Omar Awang, 42, yang ketika itu tidur dan terkejut setelah terdengar dentuman kuat.Omar berkata, selepas terdengar dentuman berkenaan dia kemudiannya menjenguk keluar dan mendapati sebuah MPV terperosok di dalam kedai dan beberapa penumpang keluar dan dua daripadanya mengalami kecederaan yang teruk.“Dua daripada mangsa yang cedera dikejarkan ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan dan saya sempat bertanyakan salah seorang daripada mereka tujuan ke Kelantan sebelum dibawa ke hospital.“Saya diberitahu, semua mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk menyertai pertandingan kejohanan golf di Pengkalan Chepa dan MPV terbabit disewa semata-mata untuk menghadiri pertandingan berkenaan,” katanya.Sementara itu, pemilik kedai, Hassan Che Lah, 62, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah bersama isteri menyiapkan keperluan untuk menjual nasi dan mengetahui kejadian itu selepas dihubungi oleh seorang penduduk kampung.“Saya kemudian bergegas keluar untuk melihat keadaan kedai dan terkejut apabila mendapati separuh MPV berada di dalam kedai saya.“Bagi tempoh beberapa hari ini saya tidak dapat berniaga dan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM5,000. Jadi saya terpaksa meminta bayaran ganti rugi untuk membaiki kedai ini,” katanya. http://www.sinarharian.com.my/kelantan/content/story7830815.asp

No comments:

Post a Comment