Tuesday, June 8, 2010

Maut Kereta Bertembung Treler

Meluru sambil meraung
Oleh Zaitie Satibi
PEKAN: “Berapa mak? Hah! Semua?” kata Saudi Sulaiman, 40, penuh kesedihan sejurus dimaklumkan ibu mentuanya isteri bersama semua empat anaknya serta seorang adik iparnya terbunuh dalam kemalangan ngeri dengan sebuah lori di Kilometer 78, Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, malam kelmarin.
PILU...Saudi (dua dari kanan) tidak dapat menahan sebak selepas menatap wajah arwah isterinya sebelum dikebumikan, semalam.
Situasi menyayat hati itu disaksikan sebaik saja Saudi tiba di Rumah Mayat Hospital Pekan (HP) dan meluru menemui ibu mentuanya, Arfah Sulung, 54. Isteri Saudi yang terkorban dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu ialah Nor Faizah Mansur, 31, yang juga pengusaha kantin, manakala empat anaknya ialah Nur Sahera Atikah Saudi, 13, Nor Safiana Atikah, 10, Nor Suhaila Asirah, 7, dan Md Sahrul Amir, 3. Adik lelaki Nor Faiza yang terkorban ialah Mohamad Saiful Anwar, 14. Sebaik saja dimaklumkan mengenai lima kematian itu, Saudi bergegas ke bilik mayat dan mengecam semua jenazah mangsa sebelum meraung sekuat hati memanggil nama isteri dan anak-anaknya yang terbujur kaku. Terdahulu, Saudi tiba di bilik mayat itu kira-kira jam 3 pagi kerana ketika kejadian, dia berada di tempat kerja di dalam hutan di Bukit Ibam, Muadzam Shah, sejak seminggu lalu. Raungan pilu Saudi menyebabkan suasana duka menyelubungi perkarangan bilik mayat berkenaan yang dipenuhi anggota keluarga lain serta kenalan yang menunggu jenazah seawal jam 12 tengah malam. Semua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas Proton Iswara dipandu Nor Faizah dari Muadzam Shah menuju Pekan bertembung lori terbabit. Keadaan semakin pilu apabila Saudi meraung menyebut ‘adik’ iaitu panggilan untuk anak bongsunya kerana jeritan itu lebih panjang dan hiba berikutan kanak-kanak itu paling rapat dan manja dengannya. Menurut Saudi, kali terakhir dia menemui isteri dan anak-anak seminggu lalu di rumah mentuanya di Felda Keratong Dua, Muadzam Shah, sebelum dia masuk ke hutan meneruskan kerjanya membuat jalan. “Ketika itu, saya baru saja membelikan isteri sebuah kereta terpakai di Segamat, Johor, dengan harga kira-kira RM9,000 untuk kegunaannya berulang-alik ke kantin memandangkan sebelum ini dia sering meminjam kereta bapanya (Mansur Hamid, 55) untuk ke tempat kerja. “Walaupun tidak menemui keluarga lebih seminggu, saya menghubungi mereka setiap hari bertanyakan khabar terutama anak bongsu kerana dia lebih rapat dengan saya,” katanya. Saudi berkata, sebelum tragedi itu, dia menghubungi arwah sebelum isterinya memaklumkan mahu bertolak ke Pekan malam kelmarin bagi menghadiri mesyuarat pusat mingguan sahabat peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang diadakan setiap Selasa. “Arwah isteri memaklumkan akan memandu ke Pekan pada sebelah malam, tetapi saya melarang kerana bimbangkan keselamatannya dan anak-anak berikutan laluan gelap selain risau jika dia hilang tumpuan memandu akibat terkena silauan lampu kenderaan lain. “Saya memintanya memandu pada keesokan pagi, namun arwah tetap mahu meneruskan perjalanan malam tadi (kelmarin),” katanya. Saudi berkata, dia berasa tidak sedap hati sepanjang malam itu dan firasat buruknya menjadi kenyataan selepas menerima panggilan keluarga isteri memaklumkan berita buruk itu. “Adik ipar menghubungi saya dan hanya memberitahu kakak sulungnya kemalangan serta meminta saya segera ke HP tanpa memberitahu isteri dan semua anak saya sudah meninggal dunia. “Hancur luluh hati saya selepas melihat jenazah mereka. Saya terkilan kerana baru bercadang untuk bercuti minggu depan dan membawa mereka ke Melaka,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Melurusambilmeraung/Article
Enam sekeluarga maut kereta bertembung trelerGambar Hiasan
PEKAN: Enam sekeluarga terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di KM78 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan pada 8.45 malam tadi.Mereka dikenali Norfaizah Mansor, 31, dan empat anaknya Norsyahira Atika Saudi, 13, Norsufia Saudi, 10, Norsuhaila Saudi, tujuh, dan Mohd Shahrul Amir Saudi, tiga, serta adik Norfaizah, Mohd Saiful Anwar Mansor, 14. Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintendan Amran Sidek berkata, ketika kejadian, kesemua mangsa yang menaiki kereta Proton Iswara yang dipandu Norfaizah, dalam perjalanan pulang ke Pekan dari rumah ibu bapanya di Keratong 2, Pekan. "Sampai di tempat kejadian yang berhampiran dengan Kampung Runchang, kenderaan yang dinaiki mangsa dari arah Segamat cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya namun gagal dan bertembung dengan sebuah treler," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Amran berkata, kereta yang dipandu Norfaizah itu terperosok ke bahagian bawah treler berkenaan. Beliau berkata, kesemua mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan dada, manakala pemandu treler yang berusia 44 tahun serta isterinya berusia 43 tahun cedera ringan di kaki. Ayah Norfaizah, Mansor Hamid, 55, berkata kebiasaannya, cucu beliau yang paling kecil, Mohd Shahrul Amir, jarang ikut ibunya balik ke Pekan. "Tetapi hari ini semua nak ikut balik," katanya yang mengetahui kemalangan itu pada 11 malam sebelum terus bergegas ke tempat kejadian. Beliau berkata, anaknya sekeluarga berangkat pulang ke Pekan sekitar 7 malam tadi kerana Norfaizah sebagai Ketua Pusat Amanah Iktiar Malaysia (AIM) kawasan Tanah Putih, terpaksa pulang ke rumahnya bagi membuat persiapan menghadiri satu mesyuarat AIM hari ini. Ibu Norfaizah, Arfah Sulung, 54, pula berkata, anaknya itu pulang kerana mahu menemui suaminya yang jarang ditemui kerana bekerja di Bukit Ibam, Muadzam Shah. "Menantu saya juga berhasrat untuk membawa arwah sekeluarga pergi bercuti di Melaka sempena cuti sekolah ini," katanya.-Bernama http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Enamsekeluargamautkeretabertembungtreler/Article

No comments:

Post a Comment