Tusuk leher ayah
Gambar Hiasan
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.myKUALA LUMPUR: Angkara anak durjana, seorang bapa berusia awal 40-an cedera parah di leher selepas ditikam dengan gunting ketika bergelut di rumah mereka di Jalan 9, Jinjang Utara di sini, kelmarin.Difahamkan, mangsa ditikam menggunakan gunting selepas suspek yang berusia awal 20-an hilang pertimbangan kerana dilarang menghisap dadah jenis syabu di kediaman berkenaan. Sebelum kejadian kira-kira jam 6 petang, bapa terbabit bertengkar dengan anaknya sehingga dua beranak terbabit bergelut. Menurut sumber, selepas bergelut kira-kira 20 minit, suspek tiba-tiba meluru masuk ke biliknya. “Suspek kemudian mengambil sebilah gunting sebelum menerkam ke arah bapanya dan menikam lelaki berkenaan sebaik keluar dari bilik berkenaan. “Mangsa yang terkena tikaman di leher terjatuh sebelum menjerit meminta tolong,” katanya. Sumber itu berkata, suspek tidak mempedulikan keadaan bapanya walaupun lelaki itu berlumuran darah, sebaliknya dia dikatakan seperti dirasuk hantu apabila terus membelasah bapanya. “Bagaimanapun, jeritan bapa mangsa didengari jiran sebelum seorang daripada mereka segera menghubungi pihak berkuasa,” katanya. Sebaik menerima maklumat, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa yang berlumuran darah terbaring di atas lantai di ruang tamu rumah berkenaan. Menurut sumber itu, suspek yang tersentak dengan kehadiran pihak berkuasa dikatakan kaku dan tidak mampu melarikan diri. “Suspek kemudian diberkas sebelum dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk siasatan, manakala bapa mangsa dikejarkan ke klinik berhampiran untuk rawatan kecemasan,” katanya. Difahamkan, keadaan mangsa agak serius, namun kepantasan pihak berkuasa membawanya ke klinik menyelamatkan nyawa lelaki berkenaan. Mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah, semalam selepas doktor yang merawatnya berpuas hati keadaannya sudah stabil. Sumber itu berkata, suspek ialah seorang penagih dadah tegar dan tinggal berdua dengan bapanya di rumah berkenaan. Difahamkan, suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dilakukan. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tusukleherayah/Article
Anak belasah bapa mahu solat Zuhur
YAN: Seorang anak layak digelar ‘anak setan’ kerana tergamak membelasah bapanya yang bersiap untuk menunaikan solat Zuhur di rumahnya di Kampung Kuala Sedaka, di sini, Selasa lalu, hanya kerana menegur tingkah laku anaknya yang sering keluar malam selain terbabit dengan dadah.Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa Mohd Nasir Ismail, berusia 50-an tergamam selepas ditarik anak lelaki dan adik iparnya sebelum ditumbuk dan dipukul. Difahamkan, sebelum ini, mangsa menegur anak lelakinya yang berusia 20-an dan bekerja sebagai petani kerana sering keluar hingga lewat malam selain terbabit dengan dadah.
Berikutan kejadian itu, mangsa lebam di kaki, tangan dan badan sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Yan dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan. Seorang keluarga terdekat mangsa yang enggan dikenali memberitahu, mangsa yang sudah berpisah dengan isterinya tinggal berseorangan di rumah itu kerana semua anaknya tinggal dengan bekas isterinya. “Saya diberitahu, beberapa hari sebelum kejadian, dia menegur anaknya yang sering dilihat keluar hingga lewat malam dan dipercayai terbabit penyalahgunaan dadah. Namun, anaknya tidak berpuas hati hingga tergamak melakukan perbuatan biadap itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu, berkata suspek yang berusia 20-an dan 30-an ditahan di rumah sama sejurus selepas mangsa membuat laporan. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AnakbelasahbapamahusolatZuhur/Article
No comments:
Post a Comment