KUALA LUMPUR: Seorang lelaki sanggup berkorban apa saja bagi memulih dan mengembalikan isteri ke pangkuannya selepas wanita saudara baru itu dipercayai terpesong akidah dan kembali mengamalkan gaya hidup bukan Islam.
BERBEKAS...Malik menunjukkan kesan libasan penyangkut baju oleh isterinya di belakang badan.
Lebih membimbangkan lelaki berkenaan, dia mendapat maklumat bahawa isteri dan keluarga mentuanya membuat perancangan untuk melarikan anak perempuan bongsunya yang berusia lapan tahun ke Australia sebelum menukar agama sesampai di sana kelak. “Saya tak rela anak saya menjadi bukan Islam. Saya sanggup melakukan apa saja untuk menyelamatkan akidahnya, begitu juga isteri saya,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Malik. Malik, 50, berkahwin dengan isterinya yang kini berusia 43 tahun pada 1999 atas dasar cinta walaupun mendapat tentangan daripada mentuanya. Isterinya menganut Islam dua tahun sebelum mereka berkahwin. “Isteri saya kini sudah menyimpang jauh daripada ajaran Islam. Saya amat bimbang anak bongsu saya juga akan turut terpesong akidah akibat terpengaruh gaya hidup isteri saya itu. “Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan isteri. Ini kerana keluarga mentua tidak pernah berhenti menjalankan usaha untuk menarik isteri saya ke agama asalnya. Mereka memang tidak bersetuju dengan perkahwinan kami kerana berlainan agama,” katanya di sini, semalam. Malik mendakwa sejak mendirikan rumah tangga, keluarga isterinya tidak pernah putus asa menggunakan pelbagai cara untuk menghancurkan perkahwinan mereka sama ada dengan cara kasar dan halus. “Saya tidak lagi tinggal bersama isteri sejak April lalu. Ketika itu, isteri saya bertindak ganas apabila membaling batu alas peti sejuk ke arah saya selepas berlaku perselisihan faham. “Saya kemudian mengambil keputusan keluar dari rumah dan meninggalkan dua anak bersama isteri. “Saya turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan polis menasihatkan saya tidak kembali ke rumah kerana dikhuatiri isteri saya bertindak lebih ganas termasuk membunuh saya,” katanya. Dia berkata, sikap isterinya mula berubah menjadi panas baran selain sering meneguk arak sejak setahun lalu sehingga sanggup memukulnya dan anak dengan pelbagai objek termasuk batu alas peti sejuk dan penyangkut baju sehingga mendatangkan kecederaan. Malah, Malik mendakwa anak perempuan sulungnya pernah dipukul dengan garpu kayu hiasan dinding hanya semata-mata lambat datang ke dapur apabila dipanggil. “Saya sudah melakukan pelbagai ikhtiar untuk memulihkan kembali akidah isteri termasuk menemui 22 pakar agama terkenal, namun sehingga kini masih tidak berjaya. Saya juga sudah menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM16,000 bagi tujuan itu. “Anak sulung saya pernah memberitahu bahawa ibunya selalu membawa dia dan adiknya ke rumah ibadat bukan Islam serta melarangnya memakai tudung dan pakaian menutup aurat,” katanya. Malik berkata, sebelum ini, walaupun tinggal berasingan, dia masih pulang untuk melihat kedua-dua anak perempuannya itu tetapi tidak bermalam. Selepas anak sulungnya memberitahu dipukul dengan garpu hiasan, Malik membawa anaknya itu ke balai polis untuk membuat laporan. “Di balai polis, anak sulung saya menceritakan apa yang berlaku sebelum membuat keputusan tinggal bersama saya. “Saya ada pergi ke rumah isteri di Rawang, awal bulan ini tetapi rumah berkenaan berkunci. Sejak itu, saya tidak tahu di mana isteri dan anak bongsu saya berada. “Saya syak mereka kini berada di Australia kerana keluarga isteri memiliki taraf penduduk tetap (PR) di negara berkenaan,” katanya. Berikutan itu, Malik berkata, dia meminta pihak berkuasa membantunya untuk mengesan isteri dan anak bongsunya itu. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Takutisteri_anakmurtad/Article
No comments:
Post a Comment