Amuk komando
Oleh Fuad Hadinata Yaacob, Mohamad Hussin dan Nor Husaini Nor Majid am@hmetro.com.mySIK: “Kira-kira jam 11 pagi tadi (semalam), dia membeli parang di sini dan saya lihat dia tidak banyak bercakap serta hanya serius, tidak seperti biasa. “Namun, kira-kira jam 2 petang, ramai polis berkumpul di depan kedai sebelum saya dimaklumkan dia mengamuk mahu membunuh ahli keluarganya,” kata Mohd Fazli Bakar, 31, peniaga runcit di Kampung Masjid, Jeneri, dekat sini, yang terkejut dengan tindakan lelaki dikenali sebagai Man Komando mengamuk selepas membeli senjata itu di kedainya, semalam. Dalam kejadian itu, seorang bekas komando berusia 35 tahun yang dipercayai baru keluar penjara dua minggu lalu, mengamuk dengan parang dan mengugut membunuh ahli keluarganya dipercayai akibat masalah keluarga. Berikutan kejadian itu, kira-kira 20 polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian, malah polis terpaksa mengambil hampir lima jam untuk berunding dengan suspek sebelum mengambil keputusan menggunakan gas pemedih mata bagi menahannya. Sepanjang operasi itu, empat polis turut terkena gas pemedih mata. Mohd Fazli berkata, lelaki yang dipanggil Man itu tidak mahu berbual walaupun disapa, malah dia hanya membayar RM40 untuk parang itu walaupun harga sebenar RM53. “Dengan muka dan nada serius, dia berkata hanya ada RM40 sebelum berlalu pergi. Saya nampak dia meletakkan parang itu dalam baju di belakang badan.Saya pelik dengan sikapnya sedangkan kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak sekolah rendah. “Sepanjang mengenalinya, dia rakan yang baik dan saya tidak tahu mengapa dia bertindak sedemikian,” katanya yang tidak mahu gambarnya dirakamkan. Sementara itu, saudara suspek yang enggan dikenali berkata, bekas komando itu mengamuk sejak kelmarin dan mahu membunuh ibu, abang serta kakaknya. Bagaimanapun, katanya, dia tidak mengetahui punca lelaki itu mahu membunuh ahli keluarganya. “Saya terkejut apabila mendapat tahu dia bertindak demikian hingga keluarganya terpaksa menghubungi polis,” katanya. Sementara itu, sumber polis berkata, suspek ditahan kira-kira jam 4.45 petang selepas polis menggunakan gas pemedih mata berikutan dia enggan menyerah diri walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memujuknya. Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek baru dibebaskan dari Penjara Alor Setar dua minggu lalu selepas diikat jamin abangnya berikutan direman berhubung kes bunuh pada 2008. Katanya, suspek yang masih di bawah pengawasan penjara mengamuk sejak Sabtu lalu. Katanya, suspek sebelum ini berkhidmat sebagai di Kem Sungai Udang, Melaka selama 10 tahun sebelum dikenakan tindakan berikutan masalah disiplin. Katanya, suspek yang berasal dari Kampung Banggol, dekat sini, kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sik untuk siasatan lanjut. Dalam pada itu, Ketua Polis Sik, Deputi Superintendan Zaidong Mustapha ketika dihubungi berkata, polis menerima panggilan kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin dan keluarga lelaki itu membuat laporan di Balai Polis Jeniang, dekat sini, kira-kira jam 7 pagi semalam. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amukkomando/Article
No comments:
Post a Comment