Monday, July 26, 2010

Bahana Ubat Nyamuk

Bahana 6 ubat nyamuk
Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my
KAJANG: “Saya mendengar dia menjerit meminta tolong, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana api makin marak,” kata kawan karib kepada mangsa rentung, Syed Omar Ali Syed Zakir, 11.

RENTUNG...asrama Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Hayatul Uloom yang hangus terbakar.

Mangsa, Abdul Rahman Rosmali, 9, ditemui rentung dalam bilik asrama Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Hayatul Uloom akibat tidak sempat melarikan diri bersama tujuh lagi rakannya. “Saya sudah menasihati rakan untuk membakar satu saja ubat nyamuk itu, tetapi mereka berdegil mahu memasang enam dengan alasan malam itu terlalu banyak nyamuk. “Masih terngiang-ngiang lagi suara Abdul Rahman meminta tolong, tetapi api makin marak menyebabkan dia dihempap kayu, saya dan enam lagi rakan juga dipaksa keluar dari bilik itu bagi menyelamatkan nyawa kami. Dalam kejadian 2 pagi itu, lot banglo dua tingkat itu yang menempatkan 20 pelajar, hangus menyebabkan Abdul Rahman yang terperangkap dalam bilik itu rentung. Bapanya, Rosmali Saad, 37, berkata, dia reda dengan ketentuan itu dan menerima berita sedih berkenaan dengan tenang. “Saya menerima panggilan jam 2 pagi mengatakan pusat pengajian tahfiz itu terbakar, saya bergegas ke tempat kejadian dan pada mulanya saya tidak menyangka budak rentung itu anak saya. “Arwah seorang yang pendiam, dia budak yang baik dan rajin, apa pun saya reda dengan pemergiannya, mungkin ini ujian Tuhan untuk kami sekeluarga. Rosmali berkata, kali terakhir dia menemui anaknya itu pada Jumaat lalu di masjid berdekatan ketika mahu solat Jumaat. “Seperti biasa dia hanya tersenyum pada saya dan tidak menunjukkan apa-apa petanda dia mahu pergi meninggalkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Haji Palir, Batu 15 1/2, Hulu Langat di sini, semalam. Abang mangsa, Abdul Malik, 14, berkata, dia percaya, punca kejadian akibat ubat nyamuk yang dipasang dalam bilik itu. “Saya ada bertanya kepada rakan adik mengenai punca kejadian dan mereka mengatakan ubat nyamuk yang dipasang menyambar pakaian yang ada di bilik itu, malah turut menyambar kaki seorang rakan yang lain, tapi berjaya dipadamkan,” katanya yang juga penuntut di pusat pengajian sama. Jenazah Abdul Rahman dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Dusun Tua jam 2 petang, semalam. Ketua Balai Bomba Kajang, Shauki Abdullah, berkata 14 anggota dan dua jentera dikejar ke sana bagi memadamkan api dan ketika tiba di tempat kejadian, hampir 80 peratus asrama tahfiz itu sudah terbakar. “Kebakaran berjaya dikawal setengah jam kemudian daripada merebak ke kediaman berhampiran,” katanya. Shauki berkata proses memadamkan kebakaran itu turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah. Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, namun tidak menolak kemungkinan berpunca daripada lingkaran ubat nyamuk yang dipasang. Pengasas rumah tahfiz terbabit, Dr Shahrir Hussin berkata dia menyerahkan kepada polis dan bomba untuk mentafsir kerugian serta punca kejadian. “Bagaimanapun saya reda dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi kehilangan seorang pelajar yang amat baik dan tidak banyak kerenah seperti Abdul Rahman,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bahana6ubatnyamuk/Article

No comments:

Post a Comment