KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tidak sempat menjamah biskut dibeli bersama ibunya apabila dia maut selepas dilanggar sebuah kereta di Kilometer 2, Jalan Pengkalan Kubor-Tumpat, kira-kira jam 5.20 petang kelmarin.
REMUK...kereta yang terbabit dalam kemalangan semalam menyebabkan kematian Xiang Jun (gambar kecil), kelmarin.
Lebih memilukan kemalangan terbabit berlaku kira-kira 10 meter dari rumahnya, menyebabkan bapa kanak-kanak terbabit yang sedang membaiki kenderaan di bengkelnya tergamam sebaik mendengar dentuman kuat. Kejadian itu menyebabkan Lee Phek Hian, 35, bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan isterinya, Pang Chiew Ling, 30, yang mengandung lima bulan serta anak keduanya, Lee Xiang Jun. Lebih memilukan apabila dua beranak terbabit ditemui dalam keadaan terperosok di bawah kereta berkenaan serta berlumuran darah sebelum Lee membawa mereka ke Hospital Tumpat (HT) untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, umur isterinya panjang apabila terselamat meskipun patah kaki kiri sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Namun, nyawa anak lelaki mereka pula tidak dapat diselamatkan selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HT. Menceritakan detik mencemaskan itu, mekanik terbabit berkata, ketika kejadian dia berada di bengkel miliknya dan sedang membaiki motosikal, manakala isteri dan anak keduanya menuju ke kedai runcit di tepi jalan. “Ketika sedang membaiki motosikal terbabit, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi kemalangan dan terkejut melihat mangsa kejadian itu adalah anak dan isteri saya yang mengandung lima bulan. “Sebaik menghampiri kereta terbabit, saya dapati isteri dan anak sudah terperosok di bawah kereta dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Menurutnya, dia bergegas membawa isteri dan anaknya ke HT dengan kereta bagi mendapatkan rawatan kerana keadaan mereka tenat. “Bagaimanapun, Xiang Jun, disahkan meninggal dunia di HT kira-kira sejam kemudian, manakala isteri saya dihantar ke HRPZ II, sebelum dirujuk ke Hospital Pakar Perdana, dekat sini, untuk pembedahan,” katanya. Menurutnya, kejadian itu memang tidak disangka sama sekali kerana isteri dan anaknya ketika itu dalam perjalanan pulang selepas membeli biskut di sebuah kedai runcit kira-kira 100 meter dari bengkelnya. Dia berkata, sebelum kejadian Xiang Jun yang juga anak kedua daripada dua beradik juga tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika keluar bersama isterinya itu.Difahamkan kemalangan berlaku apabila kereta Mazda dipandu seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dari arah Pengkalan Kubor menghala ke Kampung Geting, Tumpat, terbabas ketika melalui selekoh. Kenderaan terbabit terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar sebuah kereta Proton Wira yang berada di tepi jalan, menyebabkan kenderaan itu gagal dikawal sebelum melanggar dua beranak terbabit yang berjalan kaki. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan berkenaan. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kempunanjamahbiskut/Article
No comments:
Post a Comment