Wednesday, July 28, 2010

Sijil Halal

Hanya 25 hotel ada sijil halal
Gambar Hiasan
KUANTAN - Pengguna dinasihatkan supaya memastikan hotel yang dipilih untuk menikmati bufet Ramadan mempunyai sijil halal sama ada yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) ataupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, setakat ini hanya 25 hotel dan resort di negeri ini mempunyai sijil halal bagi restoran yang sudah diperiksa Jaip selepas permohonan sijil halal dibuat. Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan, 13 hotel tersebut adalah di Kuantan, empat di Bentong dan Rompin, satu di Temerloh dan Raub manakala dua di Cameron Highlands. “Kita sedia maklum, pada Ramadan, pelbagai promosi bufet ditawarkan hotel dan pengguna mungkin teruja dengan tawaran yang dibuat menyebabkan ramai yang kurang prihatin serta terlepas pandang mengenai soal halal. “Saya meminta, hotel yang belum memohon sijil halal supaya berbuat demikian kerana ia membabitkan pengguna Islam,” katanya kepada Sinar Harian.Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak mempunyai kuasa menghalang hotel yang tidak mempunyai sijil halal menawarkan promosi itu. “Tindakan hanya akan diambil sekiranya kami menerima aduan dan mempunyai bukti yang sahih berhubung soal itu ataupun kami mendapati hotel berkenaan sangat tidak layak untuk menyediakan juadah yang dimasak kerana tidak menggunakan ramuan yang halal,” katanya. Noridzuan berkata, sekiranya pihak hotel mengemukakan permohonan itu dalam masa terdekat, Jaip akan memproses permohonan segera malah bersedia untuk membantu membimbing dan memberi nasihat ke arah pensijilan halal. http://www.sinarharian.com.my/pahang/content/story7995444.asp

No comments:

Post a Comment