Monday, July 26, 2010

Maut Di Festival Muzik

19 maut di festival muzik
BEBERAPA pengunjung diberikan rawatan perubatan selepas mereka pengsan.
DUISBURG, Jerman -
Seramai 19 orang terbunuh dan 242 cedera kelmarin dalam insiden tolak-menolak di sebuah terowong yang merupakan satu-satunya jalan menuju ke satu festival muzik yang dianggap parti muzik tekno terbesar dunia, Love Parade. Festival itu yang dihadiri oleh ramai penduduk di seluruh Eropah telah berhimpun untuk menari dan mendengar lagu. Pada asalnya ia diadakan di Berlin pada 1989 sebelum dipindahkan ke kawasan perindustrian Ruhr, barat Jerman pada 2007. Pengasas festival berkenaan, Rainer Schaller berkata, parti tersebut tidak akan diadakan lagi pada masa depan selepas tragedi menyayat hati itu berlaku. Media Jerman melaporkan seramai 1.4 juta orang menghadiri parti itu. Ketua Polis Duisburg, Detlef von Schmeling berkata, empat warga asing antara yang terbunuh dan mereka terdiri daripada rakyat Itali, China, Australia dan Belanda. Menurutnya, umur mereka dalam lingkungan lebih 20 tahun hingga 40 tahun. Beberapa saksi menganggap insiden itu sebagai mengerikan kerana orang ramai saling berasak-asak dan bertindih di atas pengunjung yang terjatuh. Seorang pengunjung, Udo Sandhoefer memberitahu pemberita stesen televisyen n-tv, orang ramai masih memasuki terowong itu walaupun beberapa pegawai bandar raya mengarahkan mereka keluar dan memasuki semula ke arah yang berlainan. "Pada satu ketika, barisan orang ramai terhenti kemungkinan terdapat sekatan di depan terowong dan kami boleh melihat kumpulan pertama pengunjung terbaring di atas jalan," katanya. Beberapa pegawai bandar raya memilih untuk tidak menutup lokasi itu kerana ia mungkin mencetuskan panik manakala sejumlah pengunjung meneruskan parti dan tidak tidak mengetahui terdapat mangsa yang terbunuh. Anggota-anggota penyelamat membawa mangsa yang cedera semasa muzik tekno masih bergema.
SEBAHAGIAN pengunjung berlari mendaki sebuah bukit selepas panik di Festival Love Parade, Duisburg kelmarin.
Beberapa pekerja lain mengalami masalah untuk menyelamatkan sejumlah mangsa kerana dihalang oleh bilangan pengunjung yang terlalu ramai. Media tempatan melaporkan sistem komunikasi telefon bimbit di bandar raya ini tergendala buat sementara waktu manakala ibu bapa cemas untuk menghubungi anak-anak mereka semasa kejadian. Pada masa yang sama, kebanyakan jalan raya disekat oleh polis manakala lebuh raya menuju ke bandar raya ini sesak.Beberapa media melaporkan helikopter penyelamat mengalami kesukaran untuk membawa mangsa yang cedera kerana tidak mempunyai ruang untuk mendarat. Canselor Jerman, Angela Merkel menyuarakan perasaa terkejut dengan berkata: "Golongan muda datang untuk berpesta tetapi sebaliknya mereka terbunuh dan cedera. Saya berasa amat terkejut." - AP http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Post a Comment