Bakal isteri keempat
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.myKUALA LUMPUR: Didikan agama diberi secukupnya manakala batas pergaulan sentiasa dipantau keluarga, namun angkara cinta buta, seorang gadis rela menggadai maruah sehingga melahirkan anak luar nikah.
ALEEYA... tewas dalam dakapan suami orang.
“Saya bukan jenis liar sebab ayah dan ibu menjaga saya dengan sempurna. Saya diberi didikan agama manakala batas pergaulan saya sentiasa dipantau keluarga. “Entah bagaimana, perkenalan dengan seorang lelaki berusia 30-an membuatkan saya hanyut. Saya lupa keluarga... lupa dosa dan pahala,” kata Aleeya ketika ditemui baru-baru ini. Baginya, lelaki itu membuatkan hidupnya bahagia sehingga dalam tempoh singkat dia dengan rela hati menyerahkan tubuhnya.“Bukan saya tidak tahu perbuatan itu (seks sebelum berkahwin) berdosa. Saya juga tahu apa dibuat itu boleh membuatkan mengandung. “Bagaimanapun, apabila nafsu menguasai diri, saya lupa segala-galanya. Saya merelakan diri diperlakukan seperti isteri,” katanya. Menurutnya, lelaki ditemuinya disifatkan sangat baik dan bijak berkata-kata, membuatkan dia pasang impian untuk hidup bahagia. “Saya berkenalan dengan lelaki itu di kedai makan ketika melanjutkan pelajaran di sebuah kolej di ibu kota dua tahun lalu. Perkenalan singkat itu membuahkan cinta sehingga kami kerap keluar bersama. “Dia terlalu baik dan budiman. Selepas beberapa kali bertemu, secara terus terang dia beritahu dia sudah berkahwin dan ada anak, namun kerana perasaan sayang yang mendalam, saya rela menerimanya,” katanya. Keyakinan Aleeya terhadap lelaki itu semakin kukuh apabila turut diperkenalkan dengan isteri lelaki terbabit. “Isteri lelaki itu menerima saya seadanya. Itu membuatkan saya rela menjadi isteri lelaki itu, sekali gus hidup bermadu. Namun hasrat bergelar isteri tidak kesampaian kerana keluarga tidak membenarkan saya berkahwin, sebaliknya mahu saya menumpukan kepada pelajaran,” katanya yang mengakui hubungannya dengan lelaki itu diketahui keluarganya. Aleeya berkata, keluarganya meminta dia memberi tumpuan kepada pelajaran dan melupakan cintanya, tetapi dia tetap meneruskan hubungan terlarang itu. “Setahun melakukan hubungan seks terlarang, saya dapati berlaku perubahan pada diri saya. Saya tidak datang haid selama dua bulan. Apabila melakukan pemeriksaan menggunakan alat ujian kehamilan, rupa-rupanya saya mengandung,” katanya. Perasaan panik menyelubungi Aleeya, namun dia tidak merujuk masalahnya kepada sesiapa melainkan kepada kekasihnya. “Lelaki itu mahu bertanggungjawab dan segera mengahwini saya. Dia ajak pulang ke kampung saya dan memberitahu perkara sebenar kepada keluarga saya, namun saya tidak berani. “Ketika itu saya berasa selamat kerana lelaki itu menunjukkan kesungguhannya mahu bertanggung jawab,” katanya. Ketika mabuk bercinta, dia mendapat tahu bahawa lelaki itu sebenarnya mempunyai bukan seorang tetapi tiga isteri. Aleeya turut difahamkan, lelaki itu berkahwin lebih daripada satu menggunakan sindiket.“Maklumat itu diperoleh daripada pihak tertentu. Saya berterus terang dengan lelaki itu dan dia menafikannya,” katanya. Dia terus menaruh keyakinan dengan kejujuran lelaki itu sehingga sanggup menipu keluarga tidak pulang ke kampung ketika cuti semester kononnya mahu bekerja. “Lama kelamaan saya tertekan dengan keadaan sedemikian. Saya akur dengan permintaan lelaki itu yang mahu membawa saya pulang ke kampung. Lelaki itu menjadi jurucakap saya kerana saya tidak berani berterus terang,” katanya. Selepas rahsia terbongkar, lelaki itu menyatakan hasrat mahu memperisterikan Aleeya, namun tidak dipersetujui keluarga.“Mereka (keluarga) tidak mahu melihat saya menderita, apatah lagi selepas mengetahui sisi gelap lelaki itu, termasuk dakwaan kononnya dia beristeri empat,” katanya.Menurut Aleeya, itu kali terakhir dia bertemu lelaki itu, namun cinta yang mendalam membuatkan mereka tetap berhubung. “Isteri lelaki itu turut sentiasa bertanya khabar saya.Apa pun saya sedar, saya masih perlukan keluarga. Saya bersyukur keluarga masih menerima saya dan mahu memelihara anak yang dikandungkan. “Saya sedar pengorbanan keluarga terlalu besar... mereka sanggup menanggung malu dan memberi semangat untuk terus kuat membina hidup baru,” katanya. Aleeya berkata, keluarganya mahu dia meneruskan pelajaran dan berjaya dalam hidup. “Apabila di samping keluarga, perasaan menyesal menerpa tak sudah-sudah. Saya hanya mampu menangis dan menyesali apa dibuat,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bakalisterikeempat/myMA/myArticle
No comments:
Post a Comment