Perut naik cinta hilang
Gambar Hiasan
Oleh Mary Victoria Dassmaryvictoria@hmetro.com.my
ULU TIRAM: Gara-gara terpedaya dengan janji cinta seorang lelaki ‘buaya darat’, seorang ibu tunggal 13 anak bukan saja menanggung derita apabila ditinggalkan lelaki itu yang menghilangkan diri, malah kini hamil hasil hubungan terlarang mereka.Menurut wanita yang hanya dikenali sebagai P Mala, 36, dia dan lelaki itu mula menjalin hubungan selepas buaya darat itu bersungguh-sungguh mahu memperisterikannya selepas kematian suami beberapa bulan lalu. Katanya, lelaki itu pandai memujuk, malah memberikan semangat kepadanya selain bersungguh-sungguh mahu mengambilnya sebagai isteri dan membesarkan 13 anak bersama-sama. “Akhirnya, saya ‘cair’ dengan segala janji ditabur hingga sanggup menyerahkan maruah diri kepadanya. Hubungan terlarang kami berlarutan sebelum saya disahkan hamil sebelum dia terus menghilangkan diri apabila kandungan saya mencecah usia tiga bulan,” katanya.Kehidupan Mala terus berubah dan dia kemudian terpaksa mendapatkan perlindungan di Persatuan Kebajikan Tiram, Taman Puteri Wangsa di sini. Menurutnya, tembelang lelaki terbabit terbongkar selepas dia menemui SMS menunjukkan lelaki itu sebenarnya sudah berkeluarga.“Saya cuba mendapatkan penjelasan selain memaklumkan kepadanya yang saya hamil tiga bulan. Namun, bagai sudah jatuh ditimpa tangga, dia sebaliknya menghilangkan diri dan gagal dikesan. “Kini, tinggal saya keseorangan manakala jiran pula mengeji terhadap kejadian yang berlaku selepas mengetahui saya hamil. Kehidupan saya anak-beranak kini pula semakin tertekan lalu mengambil keputusan mendapatkan perlindungan di rumah ini,” katanya.Mala yang kini sarat hamil lapan bulan mengakui kesilapan diri kerana terlalu menaruh kepercayaan terhadap lelaki berusia 40-an itu. Wanita berkenaan percaya lelaki terbabit jujur kerana ketika itu, dia begitu memerlukan perlindungan seseorang dan tempat berkongsi duka selepas kematian suami akibat kanser paru-paru lebih setahun lalu. “Perkara itu mengakibatkan saya kemurungan dan nyaris berputus asa, namun demi masa depan anak, saya sanggup menghadapi cabaran hidup,” katanya yang mempunyai anak berusia antara dua tahun hingga 20 tahun. Dia yang menjadi antara ibu hamil terbiar mendapatkan perlindungan di rumah kebajikan itu turut mengatakan sebelum suaminya meninggal, mereka pernah menyerahkan tiga anak sebaik dilahirkan pada pasangan yang tidak mempunyai zuriat akibat kesempitan hidup. “Saya berharap ada pihak tampil membantu anak-anak dengan dua daripada mereka kini tidak bersekolah kerana terpaksa menjaga adik di rumah memandangkan doktor meramalkan saya bakal bersalin dalam tempoh beberapa minggu lagi. “Anak sulung dan kedua bekerja sambilan di kilang dengan pendapatan RM800 sebulan. Kedua-dua mereka juga terpaksa menanggung kos sewa rumah RM300 sebulan,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perutnaikcintahilang/Article
No comments:
Post a Comment