Wednesday, July 7, 2010

Karan Isteri

Cucuh karan badan isteri
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim 2010/07/07
SUBANG JAYA: Seorang lelaki yang berang kerana ditegah isterinya mengambil anak perempuan tunggal mereka berusia enam tahun bertindak ganas apabila mencucuh alat renjatan elektrik ke tubuh wanita berkenaan sehingga pengsan. Sebelum kejadian di sebuah kondominium di Bukit Puchong di sini, kira-kira jam 9 malam kelmarin, pasangan yang dalam proses perceraian itu bertengkar mengenai hak penjagaan anak mereka di hadapan rumah mangsa. Difahamkan, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga lebih 10 tahun, namun tinggal berasingan sejak empat bulan lalu selepas dikatakan tidak lagi serasi dan tiada sefahaman. Menurut sumber polis, semuanya bermula apabila suspek berusia lewat 30-an menghubungi isterinya, awal 30-an, bagi memaklumkan hasratnya menjemput anak perempuan mereka untuk tinggal bersama dengan alasan bagi menjamin masa depan kanak-kanak berkenaan. “Bagaimanapun, tindakan itu kurang disenangi mangsa sebelum wanita terbabit meminta suaminya datang berbincang di rumah,” katanya. Sumber berkata, sebaik tiba di rumah mangsa, berlaku pertengkaran lebih 30 minit kerana masing-masing berkeras mahu menjaga kanak-kanak berkenaan. “Selepas gagal mencapai kata sepakat, mangsa beredar untuk masuk ke rumahnya. Tindakannya itu menyebabkan suspek berang sebelum mengeluarkan alat renjatan elektrik dibawanya. “Suspek mencucuh alat berkenaan ke tubuh mangsa menyebabkan dia terjatuh dan kepala mangsa terhantuk pada lantai di kaki lima rumahnya menyebabkan dia pengsan,” katanya. Sumber itu berkata, suspek yang panik melarikan diri sebelum jiran yang melihat kejadian terbabit segera menghubungi polis. “Beberapa minit kemudian, polis tiba di tempat kejadian sebelum mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya.Menurut sumber itu, mangsa bagaimanapun, hanya dirawat sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang selepas sedar, semalam. Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut. Difahamkan, suspek masih gagal dikesan sehingga kini. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan. “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cucuhkaranbadanisteri/Article

No comments:

Post a Comment