Tuesday, July 13, 2010

Dipijak Sampai Pengsan

Pijak sampai pengsan
Gambar Hiasan
Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
JITRA: Hanya kerana seutas rantai tangan, dua peragut sanggup memijak tangan kanan seorang nenek berusia 68 tahun sehingga patah dalam satu kejadian ragut di Kampung Bukit Tinggi, Kepala Batas di sini, Khamis lalu.Puteh Saad, 68, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika dia berseorangan berjalan kaki dari kedai runcit di Taman Tabung Haji, di sini untuk pulang ke rumahnya di kampung berkenaan kira-kira 100 meter dari situ. Katanya, sebelum kejadian dia ternampak sebuah kereta dinaiki dua lelaki berusia 20-an mengekorinya, tetapi tidak mengesyaki apa-apa. Menurutnya, seorang daripada suspek turun dari kenderaan itu sebelum meragut rantai tangannya. “Saya cuba melawan, malangnya saya jatuh tersungkur di atas jalan sebelum lelaki terbabit memijak tangan kanan saya. “Saya merayu supaya dilepaskan, tetapi tidak diendahkan,” katanya ketika ditemui, di rumahnya di sini, semalam. Puteh berkata, dia menjerit meminta tolong, tetapi tidak didengari sesiapa kerana kawasan itu sunyi dan pada masa sama suspek membuka radio keretanya dengan kuat. Katanya, suspek kemudian mengacu pisau di lehernya sambil mengarahkan dia menyerahkan rantai tangannya menyebabkan dia takut dan berhenti melawan. “Mereka memijak saya sehingga pengsan sebelum melarikan diri dan apabila tersedar, saya pulang ke rumah dan terasa tangan tidak dapat digerakkan. “Saya pengsan kali kedua ketika sampai di rumah dan anak lelaki, Mohd Shukri Hashim, 38, membawa saya ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, pada hari kejadian,” katanya.
Menurutnya, dia kini trauma dengan apa yang berlaku dan akan lebih berhati-hati jika mahu keluar sendirian. Katanya, doktor mengesahkan tulang tangannya retak dan patah akibat kejadian itu dan perlu banyak berehat. Berikutan kejadian itu, dia kerugian hampir RM2,000. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin mengesahkan menerima laporan kejadian itu. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan secara berkumpulan dengan menggunakan senjata. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pijaksampaipengsan/Article

No comments:

Post a Comment