Friday, July 2, 2010

Bil Berdarah

Adik kejam
Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki menemui ajal di tangan adiknya sendiri akibat ditikam berkali-kali dengan pisau serta dipukul menggunakan objek keras sehingga otaknya bersepai selepas kedua-dua mereka bertengkar disebabkan bil elektrik rumah didiami bersama tertunggak mencecah RM2,000.
DI SINI...tempat mayat Amir Khan ditemui berlumuran darah.
Amir Khan Abdullah, 53, ditemui terbaring dalam bilik tengah rumahnya di Kampung Laksamana, Gombak di sini, dalam keadaan berlumuran darah serta kesan tikaman pada badan, kira-kira jam 9.45 pagi semalam. Difahamkan, perbalahan mangsa yang tinggal bersama adiknya itu sejak 10 tahun lalu dan tidak memiliki pekerjaan berlaku kira-kira jam 4 pagi berpunca daripada bil elektrik yang tertunggak menyebabkan bekalan elektrik di rumah itu hampir dipotong. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada adik mangsa, namun sebaik tiba di lokasi, mangsa sudah meninggal dunia. “Polis menemui mangsa di atas tilam di bilik tengah dengan berseluar pendek dan tidak memakai baju manakala kepalanya ditutup bantal. “Siasatan mendapati mangsa ditikam tujuh kali di kepala, tiga di dada serta dihentak menggunakan objek tumpul dan keras di muka sehingga menyebabkan otak mangsa bersepai dengan kesan darah terpercik pada dinding,” katanya. Menurutnya, siasatan turut menemui sebilah pisau sepanjang 31 sentimeter di bawah tilam dalam bilik suspek. “Pada mulanya adik mangsa mendakwa hanya menyedari abangnya dibunuh kira-kira jam 9 pagi dan tidak mendengar sebarang bunyi pergaduhan kerana tertidur. Dia mendakwa, sebaik bangun dari tidur dia terperanjat melihat abangnya mati dan meminta tolong jiran menghubungi polis.“Banyak kesan darah terpercik di dinding tempat mayat mangsa ditemui, mangsa dipercayai bergelut dengan seseorang sebelum dibunuh. “Namun, polis percaya adik mangsa bertanggungjawab dalam jenayah ini selepas menemui sebilah pisau disembunyikan dalam biliknya. Berikutan itu, lelaki terbabit yang berusia 47 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya. Selain itu, kata Abdul Rahim, siasatan turut mendapati mangsa memiliki dua rekod jenayah berkaitan dadah dan curi manakala adik mangsa memiliki satu rekod jenayah berkaitan curi. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Adikkejam/Article

No comments:

Post a Comment