15 pelajar selisih maut
Gambar Hiasan
Oleh Mohd Harzrul Aminuddinharzrul@hmetro.com.my
LEDANG: “Jaket keselamatan yang disediakan tidak mencukupi, malah kami terpaksa berkongsi bagi menyelamatkan rakan lain yang tidak tahu berenang,” kata Salihin Abdul Jalal, 15, seorang daripada pelajar yang nyaris maut apabila bot yang dinaiki mereka untuk ke sekolah karam, semalam.Dalam kejadian jam 12.11 tengah hari itu, 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggong Ahmad, Kundang Hulu berdepan saat getir apabila terpaksa terjun dari bot yang karam akibat lebih muatan. Bagaimanapun, semua pelajar berkenaan berjaya menyelamatkan diri selepas mendapat bantuan daripada penduduk kampung berhampiran. Mengimbau kembali pengalamannya, Salihin mengatakan dia terkejut kerana bot yang dinaiki mereka itu tiba-tiba dimasuki air dengan cepat. “Sepatutnya setiap bot dibenarkan membawa lapan penumpang saja, tetapi pada hari ini (semalam), bot penambang itu dinaiki 16 penumpang termasuk jurukemudinya. “Sejurus tiba di tengah sungai, bot tiba-tiba dimasuki air dan kami mula panik. Menyedari kejadian itu, kami terpaksa berdiri dan terjun untuk menyelamatkan diri masing-masing,” katanya ketika ditemui, di Jeti Kampung Liang Batu. Lebih malang lagi, Salihin berkata, empat pelajar perempuan yang berada di dalam bot itu tidak tahu berenang dan mereka hanya menjerit meminta tolong. Pada saat getir itu, Salihin mengarahkan rakan yang pandai berenang menanggalkan jaket keselamatan supaya dapat diberikan kepada pelajar perempuan berkenaan. “Kejadian menyebabkan penduduk kampung terjun ke sungai menyelamatkan mereka. Tiada kemalangan jiwa, tetapi seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun pengsan sebaik diselamatkan kerana tertelan air ketika menyelamatkan diri,” katanya. Pelajar berkenaan dihantar ke klinik berhampiran dan dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Ibu kepada seorang daripada mangsa, Nurhaliza Zakaria, 40, berkata anak perempuannya fobia untuk ke sekolah dengan menaiki bot selepas ini.“Mungkin dia terpaksa ke sekolah menggunakan jalan darat iaitu berjalan sejauh 10 kilometer pergi dan balik setiap hari,” katanya. Sementara itu, Ketua Kampung Liang Batu, Aman Ayub menggesa kerajaan negeri mahupun Persekutuan supaya menyegerakan pembinaan jambatan yang dipohon penduduk sejak bertahun lalu. “Kita bernasib baik kerana tiada nyawa melayang hari ini (semalam), tetapi sampai bila pelajar terpaksa menaiki bot untuk ke sekolah. “Hampir setiap hari mereka terpaksa berdepan risiko termasuk mati lemas atau bot karam, jadi kami harap permintaan mendapatkan jambatan dapat direalisasikan segera,” katanya. Dalam masa sama, Aman turut berharap pihak berkuasa dapat menyediakan sampan yang lebih besar serta lengkap dengan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan sebagainya yang bersesuaian. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/15pelajarselisihmaut/Article
No comments:
Post a Comment