Gambar Hiasan
KELANA JAYA: Tidak sampai 24 jam percubaan memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Taman Tenaga, Puchong, kelmarin, satu lagi cubaan dilakukan menggunakan modus operandi sama di sebuah pasar raya besar di sini, pagi semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pasar raya berkenaan dipecah masuk dengan cara menebuk dinding bagi mengalih mesin ATM berkenaan sebelum cuba memecahkannya menggunakan bahan letupan. Ketika kejadian, pasar raya terbabit sudah menamatkan operasi dan tiada pengawal keselamatan kerana waktu beroperasi hanya sehingga jam 10 malam. Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 9 pagi dan ketika tiba di tempat kejadian, polis mendapati sebuah mesin ATM di dalam premis itu kelihatan seperti cuba dipecahkan. Menurutnya, pihaknya percaya cubaan samun itu dilakukan empat suspek, namun mereka gagal kerana teknik yang digunakan bagi memecahkan mesin ATM itu memakan masa panjang. “Premis ini mempunyai dua sistem penggera, namun kedua-duanya gagal berfungsi ketika kejadian berlaku,” katanya di sini semalam. Katanya, berdasarkan siasatan awal dan bukti serta keadaan di tempat kejadian menunjukkan kes itu dilakukan secara terancang oleh kumpulan penjenayah yang mahir dan tahu selok-belok pasar raya berkenaan. Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin yang turut berada di tempat kejadian berkata, kejadian itu nampak hampir sama dengan satu lagi cubaan memecahkan mesin ATM di stesen minyak di Puchong, kelmarin. “Bagi kes di Puchong, kami sudah menahan empat orang berusia antara 20 hingga 25 tahun yang dipercayai dapat membantu siasatan. “Kami masih menyiasat sama ada dua kes ini dilakukan kumpulan penyamun sama,” katanya. Harian Metro semalam melaporkan cubaan tiga lelaki memecahkan mesin ATM menggunakan alat kimpalan di stesen minyak itu. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GunabahanletupancubapecahmesinATM/Article
No comments:
Post a Comment