Thursday, May 13, 2010

Bagaikan Perangkap Maut

Bagaikan perangkap maut
Oleh MOHAMAD HANIPAH TEH
utusanperak@utusan.com.my

Keadaan jalan rosak yang mengundang bahaya kepada penguna jalan raya di Kilometer 31, Gerik-Pengkalan Hulu.

GERIK - Pengguna jalan raya terutama pemandu dan penunggang motosikal meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya segera memperbaiki laluan di Kilometer 31, Gerik-Pengkalan Hulu yang hampir putus bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Mereka mendakwa, keadaan jalan rosak yang mengundang bahaya kepada pengguna itu sudah sekian lama terbiar tanpa ada sebarang tindakan daripada pihak JKR. Sebaliknya, kawasan yang rosak itu hanya ditutup dengan kanvas oleh jabatan berkenaan. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, selain hampir putus dan keadaan bengkang-bengkok, permukaan jalan di kawasan tersebut terlalu bahaya seperti terlalu curam ketika menuruni bukit sejauh lebih satu kilometer. Seorang pemandu teksi, Abd. Halim Mohamed, 57, dari Taman Mutiara dekat sini ketika ditemui berkata, sikap pihak berkuasa membiarkan keadaan jalan yang hampir putus begitu sahaja boleh menjadi perangkap maut kepada pengguna sepertinya. "Sebagai pemandu teksi, saya sering berulang-alik menggunakan laluan ini. Walaupun sudah biasa dengan keadaannya, tetapi saya masih cemas jika hari hujan dan akan cuba mengelak daripada berselisih dengan kenderaan lain," katanya di sini baru-baru ini. Menurut Abd. Halim, dia hairan mengapa tindakan begitu lewat diambil sedangkan keadaan jalan raya yang pada asalnya mempunyai dua lorong, kini hanya tinggal satu lorong sahaja akibat hakisan. Dia amat berharap, pihak berkuasa tidak menunggu sehingga berlaku kejadian buruk untuk mengambil tindakan memperbaikinya. Seorang lagi pemandu, Mohd. Azhar M. Darus, 42, dari Felda Bersia pula berkata, dia kesal dengan sikap "tunggu dan lihat" JKR. Katanya, ini kerana jabatan itu seolah-olah tidak mengambil berat terhadap keselamatan pengguna yang sering menggunakan laluan tersebut.
"JKR tidak patut terlepas pandang atau sengaja menunggu kejadian buruk berlaku seperti tragedi yang meragut banyak nyawa di laluan cerun Baling-Pengkalan Hulu tidak lama dulu," katanya. Ketika itu katanya, semua pihak akan turun beramai-ramai untuk mengkaji dan menyiasat secara terperinci sebab-sebab kejadian. "Dan kalau pemandu yang menyebabkan kemalangan panjang umur, dia mungkin akan dihumban ke dalam lokap," katanya penuh kesal.
Menurut Mohd. Azhar lagi, kemungkinan kenderaan terjunam ke dalam gaung di kawasan itu adalah besar memandangkan laluan sedia ada begitu sempit. Dalam pada itu, seorang suri rumah, Laila Zaini, 30, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuak, Pengkalan Hulu dekat sini berkata, sebelum ini dia sering menggunakan jalan tersebut untuk menziarahi keluarganya di Gerik memandangkan keadaan laluan itu agak baik dibandingkan laluan Lepang Nenering yang tidak rata. Bagaimanapun, sejak jalan tersebut rosak teruk hampir setahun lalu, dia terlalu takut untuk melaluinya lagi. "Saya rasa gayat apabila tiba di kawasan tersebut kerana permukaan jalannya nampak amat menggerunkan apa lagi jika lalu semasa hujan, memang amat membimbangkan. "Saya harap pihak bertanggungjawab mengambil kira masalah ini dan bertindak segera untuk memperbaiki jalan itu," katanya. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm

No comments:

Post a Comment