Sunday, May 16, 2010

Racun Berjadual

Pendaftaran 3 produk kecantikan dibatal kerana ada racun berjadual
Gambar Hiasan
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan membatalkan pendaftaran tiga produk kecantikan kerana dikesan mengandungi racun berjadual tretinoin dan hydroquinone.Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi kementerian Eisah A Rahman berkata, produk berkenaan ialah Zara Rejuvenation Cream keluaran Mum Bio Cos Manufacturing Sdn Bhd, Beauty Line Beautitude Multi-Purpose Cream keluaran Beauty Line Skin Care & Cosmetic Sdn Bhd, dan Pigmentation Recovery Complex keluaran Mycreme Skin Care Products. Penggunaan tretinoin dan hydroquinone adalah tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik kerana ianya boleh membawa kesan sampingan kepada pengguna sekiranya digunakan tanpa nasihat doktor, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Katanya, kedua-dua bahan itu boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, kulit menggelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari. Penggunaan hydroquinone juga boleh menghalang proses pigmentasi menyebabkan kulit terdedah kepada pancaran ultra ungu dan sinaran matahari berlebihan yang boleh membawa kepada kanser kulit. "Sesiapa yang mempunyai stok produk tersebut dinasihatkan agar menghentikan penjualan, pengedaran dan penggunaan produk itu serta-merta kerana pemilikan produk-produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya. Eisah berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya. "Syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," kata beliau.-Bernama. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pendaftaran3produkkecantikandibatalkeranaadaracunberjadual/Article

No comments:

Post a Comment