Saturday, May 8, 2010

Kelindan Mati Kaki Kiri Putus

Kelindan mati kaki kiri putus
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
HULU SELANGOR: Seorang kelindan lori mati dalam keadaan mengerikan apabila kaki kirinya putus sejurus lori dipandu rakannya gagal dikawal lalu merempuh belakang sebuah treler, awal pagi semalam.
ANGKAT...anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang tersepit, semalam.

Kejadian dipercayai berpunca apabila rakan mangsa yang memandu lori penuh dengan peralatan dapur itu tidak dapat menahan mengantuk sebelum melanggar lori di hadapannya hingga menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit. Sumber Polis Trafik berkata, dalam kejadian terbabit, kelindan lori maut di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk. “Kemalangan berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika mangsa memandu lori terbabit melalui Kilometer 432.8, Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur berhampiran susur Bukit Beruntung di sini. “Siasatan awal mendapati, lori dinaiki dua mangsa dalam perjalanan dari Kampar, Perak menuju ibu kota itu dipandu laju,” katanya. Menurutnya, pemandunya dipercayai memandu mengantuk gagal mengelak sebuah treler yang bergerak perlahan di lorong paling kiri lebuh raya. “Lori itu merempuh sisi kanan belakang treler menyebabkan kelindan lori terbabit tersepit di tempat duduk penumpang,” katanya. Susulan itu, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kuala Kubu Bahru bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. “Anggota bomba dan penyelamat menghadapi kesukaran berikutan lori yang remuk teruk terpaksa memotong bumbung lori bagi mengeluarkan mayat. Usaha terbabit mengambil masa hampir satu jam sebelum mangsa ditarik keluar. “Keadaan amat mengerikan apabila mangsa yang dikenali sebagai Kamarulzaman Razali, 49, putus kaki kirinya akibat kemalangan ngeri itu. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bahru untuk dibedah siasat,” katanya. Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Suprintendan Che Hussin Omar berkata pemandu treler yang membawa bahan pembinaan tidak cedera. Menurutnya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kelindanmatikakikiriputus/Article

No comments:

Post a Comment