Sunday, May 9, 2010

Gegaran Gempa Bumi Dirasai

Gegaran gempa bumi dirasai di beberapa negeri Semenanjung Malaysia

Gambar Hiasan

Pelajar M'sia: 'Gegaran bumi buat saya pening, mual'
May 9, 10 6:22pm
Gegaran bumi yang berlaku akibat gempa berkekuatan 7.2 pada skala Richter di Meulaboh, Aceh telah menyebabkan sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi yang sedang mengadakan aktiviti di Pantai Ujong Batee, Banda Acheh turut menjadi cemas. Mereka termasuklah empat pelajar Malaysia yang menyertai 160 pelajar Indonesia dari Institut Agama Islam Negeri, Ar Raniri, yang sedang menjalani program Rehlah (Hari Keluarga) Fakulti Usuluddin institut itu di pantai tersebut. "Waktu itu saya baru selesai makan tengah hari bersama beberapa rakan lain dan nak ke masjid untuk solat, tiba-tiba sahaja kepala saya rasa pening. Tak lama kemudian, bumi bergegar lebih kuat untuk kali keduanya dan pada masa itu bukan sahaja rasa pening malah seperti nak termuntah pula," kata Abdullah Hakimi Zainal Abidin. Abdullah Hakimi, 21, yang pertama kali mengalami kejadian gempa berkata gegaran kedua itu menyebabkan rakan-rakan mereka yang lain turut cemas."Mereka yang sedang mandi manda di laut, terus berlari naik ke daratan dan tak berapa lama selepas itu, siren amaran tsunami turut dibunyikan di pantai itu," katanya ketika di hubungi dari sini. Badan Meterologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia yang mengeluarkan amaran potensi tsunami berikutan kejadian gempa di kedudukan 66km Barat Daya Meulaboh, Acheh pada pukul 12.59 tengah hari itu, telah menarik balik amaran itu kemudiannya. Belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda diterima berikutan kejadian gempa itu. Abdullah Hakimi, yang juga Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Aceh, berkata selepas mendengar siren tsunami itu beliau dan tiga rakan pelajar Malaysia meluru ke motosikal dan bergegas meninggalkan kawasan pantai itu. Tiga lagi pelajar Malaysia yang ada bersama beliau pada masa itu ialah Muhammad Muslim Amran, 20, Abdul Halim, 27, dan Syed Muzaffar, 24. Mereka telah pergi ke pantai itu pagi ini menaiki dua motosikal. Pada masa yang sama Abdullah Hakimi berkata beliau juga telah dihubungi Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia Datuk Paduka Dr Junaidy Abu Bakar yang menasihatkan mereka semua untuk segera meninggalkan kawasan pantai berikutan amaran tsunami oleh pihak berkuasa Indonesia.Pelajar jurusan ijazah Sarjana Muda Akidah dan Falsafah itu berkata, dalam perjalanan pulang dari pantai itu beliau melihat ramai sekali penduduk Aceh meninggalkan rumah masing-masing menaiki kereta dan motor sehingga jalan raya menjadi sesak dengan lalu lintas untuk seketika kerana suasana pada masa itu cemas sekali. Keadaan di Banda Aceh kembali normal sejak pukul 3 petang ini setelah warganya mendapat berita penarikan balik amaran tsunami oleh pihak BMKG. Abdullah Hakimi berkata, pelajar-pelajar Indonesia yang ada bersama mereka di pantai itu kurang cemas kerana sudah berpengalaman dengan beberapa gempa bumi sebelum ini. Semasa dihubungi, beliau sedang berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Pengarah Sukan Kementerian Pengajian Tinggi Dr Shaharuddin Ismail, yang sememang dijadual sampai di Banda Aceh petang ini. Untuk sementara waktu ini, katanya kesemua pelajar Malaysia di institut itu ditempatkan di rumah Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Aceh di Darussalam sehingga Yang Dipertua persatuan itu mengeluarkan arahan baru.Sementara itu Dr Junaidy dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata ada sejumlah 165 pelajar Malaysia sedang menuntut di Institut Agama Islam Ar Raniri, Aceh. engarah MSD Indonesia itu berkata selain empat pelajar berkenaan yang berada di tepi pantai, kesemua pelajar Malaysia yang lain berada di lokasai lain yang jaraknya 10km dari pantai. "Maklumat yang diperolehi daripada pemimpin pelajar, semua pelajar dalam keadaan selamat. Para pelajar telah diberitahu agar mengikuti SOP kecemasan sekiranya berlaku lagi gempa susulan dan tsunami. "Pihak Jabatan Penuntut Malaysia sedang memantau keadaan para pelajar Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk membantu para pelajar Malaysia sekiranya keadaan semakin buruk," katanya. Beliau meminta ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat tentang anak-anak mereka di Aceh supaya menghubunginya di talian +6281 80 88 11111 (Dato' Dr Junaidy) atau email jun@ukm.my.- Bernama

GEORGETOWN: Gempa bumi berukuran 7.1 skala Richter berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada 1.59 petang tadi, menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia. Jurucakap jabatan itu berkata, antara negeri yang merasai gegaran selama dua minit itu ialah Pulau Pinang, Perlis, Lembah Kelang, Kedah, dan Langkawi. Bagaimanapun, di Malaysia tiada ancaman tsunami dilaporkan dan Jabatan Meteorologi sedang memantau keadaan. Sementara itu, di Pulau Pinang, ribuan penduduk bangunan tinggi di sekitar George Town dan Bayan Lepas, keluar dari rumah masing-masing selepas mendapati rumah mereka bergoyang selama hampir dua minit. Seorang penghuni di rumah pangsa Nusantara di sini, Hanisah Othman, 40, berkata, beliau terasa pening selepas rumahnya bergoyang tetapi tidak melarikan diri kerana dikhuatiri terperangkap. Beliau yang tinggal di tingkat enam bangunan itu, berkata, bagaimanapun ratusan penduduk lain melarikan diri dengan turun ke tingkat bawah. Jabatan Meteorologi melaporkan empat kawasan di Pulau Pinang merasai gegaran itu. "Antara kawasan yang merasai gegaran itu ialah Seberang Jaya, Batu Feringgi, Sungai Dua dan Batu Kawan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. - Bernama http://www.malaysiakini.com/news/131356

No comments:

Post a Comment