Bayi tiga bulan maut tercekik susu
Oleh Johan Afandi
NOOR SARIMA menunjukkan gambar Aqil Adam yang meninggal dunia akibat tercekik susu di pusat jagaan, semalam.Doktor sahkan mangsa alami pendarahan otak
JOHOR BAHRU: Seorang ibu tidak menyangka perasaan berat hati dan tangisan anak sulung berusia tiga tahun ketika dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak di Taman Impian Emas di sini, petanda beliau kehilangan bayi yang juga anak bongsunya berusia tiga bulan selepas dipercayai mati akibat tersedak susu. Lebih menyedihkan Noor Sarima Ruslan, 28, bayinya, Aqil Adam Azrul sempat dua kali bernafas ketika dalam perjalanan ke klinik berhampiran pusat jagaan berkenaan, walaupun sebelum itu dia dimaklumkan sudah tidak bernafas. Noor Sarima ketika ditemui Berita Harian di rumahnya, berkata Isnin lalu, anak sulungnya, Amirul Adam menangis ketika dihantar ke pusat jagaan itu pada sebelah pagi seperti baru pertama kali berada di situ tetapi beliau membuang segala prasangka buruk dan menganggapnya perkara biasa. Sangkaan itu menjadi kenyataan apabila menerima panggilan daripada pengasuh kira-kira jam 2 petang sebelum bergegas ke sana. “Ketika sampai, saya dapati Aqil Adam dalam keadaan lemah manakala muka dan bibirnya pucat, sebelum saya membawanya ke klinik berhampiran. “Doktor kemudian memberikan bantuan pernafasan, selepas lebih 10 minit, beliau menyatakan bayi saya tidak mempunyai harapan untuk hidup berikutan lewat dihantar untuk mendapatkan rawatan,” katanya. Katanya, beliau diberitahu seorang penjaga di situ kejadian berpunca akibat anaknya dihempap bayi lain di pusat jagaan berkenaan. “Seorang lagi penjaga mendakwa dia meninggal anak saya untuk membuat susu sebelum datang semula dan mendapati bayi saya tidak lagi bernafas. Saya tidak tahu mana yang betul... laporan bedah siasat hospital pula menyatakan anak saya meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak, “ katanya. Sementara itu, suami Noor Sarima, Azrul Nuraizam Hamzah, 29, berkata beliau tidak akan lagi menghantar anaknya ke mana-mana pusat jagaan selepas ini, kerana trauma dengan kejadian yang menimpa. “Apa yang saya kesalkan ialah tindakan pusat jagaan yang lewat memaklumkan kami berhubung kejadian serta tidak menghantar Aqil untuk mendapatkan rawatan segera selepas tidak sedarkan diri akibat dihempap bayi lain, ” katanya. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Bayitigabulanmauttercekiksusu/Article/
No comments:
Post a Comment