Saturday, May 8, 2010

Maut Sebelum Nikah

Tunang maut sebelum nikah
Oleh Norfaisal Jahuri
JASIN: Impian seorang gadis untuk mendirikan rumah tangga dengan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak kesampaian apabila bakal suaminya menemui ajal tidak sampai 24 jam sebelum mereka diijabkabulkan.Mangsa, Laskar Udara Kanan Mohd Redzuan Abu, 28, terkorban dalam kemalangan di Kilometer 281.6 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Seremban, Negeri Sembilan, kira-kira jam 8.15 malam kelmarin. Tunang mangsa, Nurhidayah Yahya, 26, berkata mengikut perancangan, mereka sepatutnya diijabkabulkan malam tadi di kampungnya di Masjid Binjal Luar, Kuala Ketil, Kedah. Katanya, semua persiapan pernikahannya sudah disiapkan dan hanya menanti ketibaan pengantin lelaki. Bagaimanapun, semuanya berubah apabila dia menerima panggilan kira-kira jam 11 malam kelmarin daripada sepupunya yang menyatakan tunangnya terbabit kemalangan di Seremban, tetapi tidak menjelaskan keadaan Mohd Redzuan pada masa itu. Dia yang ditemani beberapa saudara bergegas ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, bagi melihat keadaan tunangnya. Ketika menerima berita itu, saya berasa tidak sedap hati kerana mengagak sesuatu tidak kena apabila maklumat yang saya terima seperti ada sesuatu yang hendak dirahsiakan. “Ketika dalam perjalanan melalui Alor Pongsu (di Perak), saya menerima panggilan menyatakan tunang saya sudah meninggal dunia. “Hancur luluh hati saya ketika itu apabila mengetahui tunang saya sudah pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga bakal suaminya itu di Kampung Kesang Jaya, dekat sini, semalam. Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan selepas solat Jumaat, semalam. Selepas pengebumian itu, Komandan Institut Latihan Tentera Udara (ILTU), Ipoh, Perak, Kolonel Ahmad Tarmizi Elias bersama pegawai TUDM lain menyerahkan Jalur Gemilang dan surat ucapan takziah serta sumbangan kepada bapa Allahyarham, Abu Latip, 56. Nurhidayah berkata, kali terakhir dia menemui tunangnya pada Rabu lalu iaitu di ILTU Ipoh ketika singgah di tempat bakal suaminya bertugas sebelum pulang ke kampung untuk cuti perkahwinan mereka. Katanya, dia bertemu tunangnya selepas diminta berbuat demikian kerana sebelum ini tidak berpeluang menemuinya ketika menduduki peperiksaan di Georgetown, Pulau Pinang. “Arwah mengajak saya makan, tapi ketika itu hujan lebat menyebabkan saya hanya menemuinya di pos pengawal ILTU dan kami berbual seketika sebelum saya meneruskan perjalanan pulang ke kampung. “Saya tak sangka itu pertemuan terakhir dan selepas itu kami hanya berhubung menerusi telefon dan SMS,” katanya yang bertugas sebagai pengawal stor di Klang, Selangor. Menurut Nurhidayah, kali terakhir dia menerima SMS daripada tunangnya kira-kira jam 6.30 petang kelmarin apabila Allahyarham singgah di rumah sewanya di Bukit Subang, Selangor. Dia yang juga anak sulung daripada lima beradik berkata, dalam SMS itu, Allahyarham bertanya kenapa dia tidak mengunci motosikal dengan baik ketika pulang bercuti. “Saya membalas SMS itu, tapi tidak sempat untuk berpesan supaya ‘jalan elok-elok seperti kebiasaannya’,” katanya. Menurutnya, tunangnya tidak menunjukkan sebarang perubahan, tetapi sering bertanya sama ada dia bersedia menjadi isterinya. Katanya, mereka berdua sudah membuat persiapan untuk majlis perkahwinan sejak enam bulan lalu. “Semua persiapan untuk majlis pernikahan itu sudah disiapkan dan hanya menunggu waktu, namun hajat kami tidak kesampaian,” katanya yang berkenalan selama setahun dan mengikat tali pertunangan hampir dua tahun. Sementara itu, Abu berkata, dia menerima panggilan terakhir daripada Mohd Redzuan yang juga anak sulung daripada lima beradik kira-kira jam 5 petang kelmarin. Dia yang juga pesara polis berkata, ketika itu Allahyarham menyatakan dia berada di Tanjung Malim, Perak, untuk berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan. “Saya menanti agak lama juga dan pelik mengapa arwah masih tidak sampai ke rumah dan dikejutkan dengan panggilan daripada polis (di Seremban) menyatakan dia (Mohd Redzuan) terbabit kemalangan maut. “Saya terkejut dan bergegas ke Seremban bersama keluarga,” katanya yang sepatutnya bertolak bersama arwah pada pagi semalam untuk ke Kedah bagi majlis pernikahannya. Abu berkata, Allahyarham sudah berkhidmat dengan TUDM lapan tahun dan menyifatkan anaknya sebagai seorang yang periang.

No comments:

Post a Comment