Saturday, May 8, 2010

Remaja Berakit Lemas Di Lombong

Tiga remaja lemas rakit terbalik di lombong
SEREMBAN: “Kejadian berlaku begitu pantas apabila rakit kayu berkenaan tiba-tiba hilang keseimbangan dan terbalik hingga menyebabkan kami berempat terhumban ke dalam air,” kata Muhd Zarul Asyraf, 14, ketika menceritakan semula detik cemas dalam kejadian lemas, petang semalam.

ANGKAT...anggota bomba mengangkat mayat mangsa, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dua beradik iaitu S Joganathan, 13, dan adiknya, S Jayamalini, 10, serta remaja lelaki dikenali Mohd Asyraf Azmi, 14, lemas apabila rakit daripada kayu dan tong plastik yang dinaiki mereka terbalik di sebuah lombong di Taman Desa Cempaka, Nilai, dekat sini. Muhd Zarul berkata, sebelum itu pada kira-kira jam 4.30 petang, dia bersama Mohd Asyraf dan tiga rakannya ke lombong berkenaan yang terletak berdekatan rumah mereka untuk memancing. “Sejurus tiba, kami melihat dua beradik iaitu masing-masing lelaki dan perempuan itu asyik bermain air di kawasan berkenaan. “Tidak lama kemudian, kami ternampak sebuah rakit kayu hanyut di tepi tebing lombong berkenaan dan terus menariknya menggunakan sebatang kayu. “Saya dan Asyraf serta pasangan adik-beradik itu cuba menaiki rakit berkenaan sebelum ia tiba-tiba tidak dapat dikawal lalu terbalik hingga menyebabkan kami terjatuh ke dalam air,” katanya di sini, semalam. Menurutnya, dia sempat melompat ke arah tebing sebelum ditarik seorang rakannya, Putera Alif Azlan, 14, sebelum mendapati tiga mangsa lain sudah tenggelam dan langsung tidak kelihatan. “Dalam keadaan panik itu, beberapa rakan lain segera berlari mendapatkan bantuan dan saya cuba mencari mangsa di sekitar kawasan tepi tebing berkenaan sebelum merasai seolah-olah terpijak sesuatu objek. “Apabila diperiksa, saya terkejut apabila mendapati objek berkenaan tangan kanak-kanak perempuan terbabit dan segera menariknya ke atas,” katanya. Sementara itu, penduduk, R Seelan, 43, berkata dia yang dalam perjalanan untuk menghantar anaknya ke pusat tuisyen di kawasan berdekatan segera memberhentikan kenderaan sejurus melihat beberapa kanak-kanak melambai-lambai sambil menjerit meminta pertolongan. “Saya terkejut apabila melihat kanak-kanak perempuan berkenaan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan segera memberikan bantuan pernafasan kepadanya,” katanya. Difahamkan, kanak-kanak terbabit bagaimanapun sudah meninggal dunia, manakala dua mangsa lain mati di tempat kejadian. Mayat kedua-dua itu ditemui dan dibawa keluar sepasukan anggota mencari dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), kira-kira jam 6 petang. Ketiga-tiga mereka dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tigaremajalemasrakitterbalikdilombong/Article

No comments:

Post a Comment